Batasan Pakaian Supaya Tidak Isbal
1 – Diturunkan sehingga ke pertengahan betis atau ke bawah
sedikit. Berdasarkan dari hadis dari Ibnu ‘Umar dan asy-Syarid di atas tadi.
2 – Atau selagi mana tidak menjulur ke bawah melebihi batas atau
paras mata kaki (buku lali).
Imam Ibnu Hazm rahimahullah berkata di dalam kitabnya, al-Muhalla:
وحق كل ثوب يلبسه
الرجل أن يكون إلى الكعبين لا أسفل البتة
Haq setiap pakaian bagi lelaki adalah sehingga mata kaki, dan
sama sekali tidak boleh lebih rendah lagi (dari itu). (Ibnu Hazm, al-Muhalla,
4/73)
Adakah Kasut Boleh Menyebabkan Isbal?
Isbal berlaku adalah disebabkan kain pakaian dari atas yang
dijulurkan ke bawah sehingga melepasi mata kaki. Dari itu, kasut tidak termasuk
ke dalam pakaian yang menyebabkan isbal.
Mengangkat Kain/Pakaian Sehingga Melampaui Pertengahan Betis
Dalam persoalan ini, Imam Ibnu Abi Syaibah ada membawakan sebuah
riwayat daripada Ibnu Sirin:
عن ابن سيرين
قال: كانوا يكرهون الازار فوق نصف الساق
Maksud: Berkata Ibnu Sirin (rahimahullah):
Mereka membenci kain/seluar yang diangkat sehingga melampaui
pertengah betis. (Rujuk: Ibnu Abi Syaibah, al-Mushonnaf, 6/29)
Larangan Menyinsing, Mengumpul, atau Melipat Pakaian Ketika
Solat
عَنْ ابْنِ
عَبَّاسٍ
أَنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى
سَبْعَةِ أَعْظُمٍ الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ
وَالرِّجْلَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَلَا
الشَّعْرَ
Maksud: Daripada Ibnu ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam telah berkata:
Aku telah diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud dengan tujuh
anggota tubuh yang utama termasuk dahi. Dan beliau dalam masa yang sama
menunjukkan ke arah hidung, tapak tangan, kaki, dan jari jemari kaki. Serta
(diperintahkan) untuk tidak mengikat rambut serta tidak mengumpulkan
(menggulung/melipat) pakaian. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, Kitab
as-Solah, 3/45, no. 758)
Berkenaan hadis ini, Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
ثُمَّ مَذْهَب
الْجُمْهُور أَنَّ النَّهْي مُطْلَقًا لِمَنْ صَلَّى كَذَلِكَ سَوَاء تَعَمَّدَهُ
لِلصَّلَاةِ أَمْ كَانَ قَبْلهَا كَذَلِكَ لَا لَهَا بَلْ لِمَعْنًى آخَر، وَقَالَ
الدَّاوُدِيّ يَخْتَصّ النَّهْي بِمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ لِلصَّلَاةِ ، وَالْمُخْتَار
الصَّحِيح هُوَ الْأَوَّل ، وَهُوَ ظَاهِر الْمَنْقُول عَنْ الصَّحَابَة
وَغَيْرهمْ
Maksud: Kemudian majoriti ulama berpendapat bahawa larangan
(menyinsingkan pakaian) tersebut adalah bersifat mutlak, berlaku bagi sesiapa
sahaja yang solat di dalam keadaan seperti itu. Sama ada dia sengaja
menyinsingkan untuk solat, atau sebelum solat memang dia telah seperti itu kerana
adanya urusan yang lainnya (bukan kerana solat). Ada pun imam ad-Dawudi
berpendapat bahawa larangan tersebut berlaku khusus bagi seseorang yang memang
melakukannya untuk solat. Namun yang lebih tepat (benar) serta terpilih adalah
pendapat pertama. Dan itulah zahir dari pendapat yang dinukilkan oleh para
sahabat dan yang selainnya. (Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim,
2/240, no. 758)
Maka dengan ini, untuk mengelakkan isbal, dan dalam masa yang
sama mengelakkan dari perbuatan melipat atau menggulung pakaian, maka
pakaian/seluar/kain yang menjulur ke bawah hendaklah dipotong dan dijahit.
Pelaku Isbal Menyerupai Wanita
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
Yang membezakan di antara jenis pakaian lelaki dengan pakaian
wanita adalah kembali kepada apa yang bertepatan bagi kaum lelaki dan apa yang
bertepatan dengan kaum wanita, iaitu pakaian yang sesuai dengan apa yang
diperintahkan kepada kaum lelaki dan dengan apa yang diperintahkan kepada kaum
wanita. (Syaikh al-Albani, Jilbab Wanita Muslimah, m/s. 152, Pustaka at-Tibyan)
عَنْ ابْنِ
عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
لَعَنَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ
بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksud: Daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, katanya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam melaknat lelaki yang
menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki. (Hadis Riwayat
al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/239, no. 5435)
Batas larangan yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Salam berkenaan penyerupaan wanita dengan lelaki atau yang
sebaliknya tidaklah hanya merujuk kepada apa yang dipilih oleh sama ada kaum
lelaki atau wanita berdasarkan apa yang biasa mereka pakai. Tetapi, apa yang lebih
penting adalah perlunya merujuk kembali kepada apa yang wajib dikenakan bagi
kaum lelaki dan wanita berpandukan kepada perintah syara’ yang mewajibkan
menutup aurat menurut kaedahnya. (Lihat: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh
Wanita, jil. 2, m/s. 152, Pustaka Ibnu Katsir)
Apa yang dapat kita fahami adalah:
1 – Pakaian yang labuh, sehingga menutup kaki itu adalah khusus
bagi para wanita.
2 – Pakaian yang tidak labuh dan tidak melebihi paras buku lali,
itu adalah batas pakaian bagi lelaki.
3 – Maka, hendaklah kaum lelaki dan kaum wanita memahami
persoalan ini dengan baik dan tidak mengenakan yang saling bertentangan. Dan
sekiranya lelaki mengenakan pakaian yang labuh sehingga melepasi batas buku
lali, maka itu sebenarnya telah mengambil situasi pakaian wanita, dan begitulah
sebaliknya.
Ini dapat difahami juga melalui hadis sebagaimana berikut,
sekali lagi dinukilkan:
عَنْ ابْنِ
عُمَرَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ
يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
فَقَالَتْ أُمُّ
سَلَمَةَ فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ قَالَ يُرْخِينَ شِبْرًا
فَقَالَتْ إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ قَالَ فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا لَا
يَزِدْنَ عَلَيْهِ
Maksud: Daripada Ibnu ‘Umar, katanya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata: Sesiapa sahaja
yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah
Subhanahu wa Ta’ala tidak akan melihatnya dengan pandangan kasih sayang pada
hari kiamat.
Maka Ummu Salamah pun bertanya: Apa yang perlu dilakukan oleh
para wanita dengan hujung pakaiannya?
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab: Hendaklah mereka
menurunkan (melabuhkannya) satu jengkal dari pertengahan betis.
Ummu Salamah berkata: Jika begitu, sudah tentu telapak kaki
mereka masih akan tersingkap (kelihatan).
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menerangkan:
Sekiranya begitu, hendaklah mereka menurunkannya satu hasta dan tidak boleh
lebih dari itu. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 6/343, no. 1653. at-Tirmidzi
menyatakan, hadis ini Hasan Sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani)
Meninggalkan Isbal Adalah Sebahagian Dari Ciri-ciri Taqwa
Ini adalah berdasarkan kepada hadis di atas daripada asy-Syarid,
di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bertindak menegur seseorang yang
isbal dengan katanya:
ارْفَعْ
إِزَارَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ قَالَ إِنِّي أَحْنَفُ تَصْطَكُّ رُكْبَتَايَ
Maksud: “Angkatlah kain pakaianmu (dari dilabuhkan dan terseret)
dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala”. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad
Ahmad, 39/470, no. 18656. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Silsilah
ash-Shahihah, 4/15, no. 1441)
Penutup
Demikianlah tulisan dan catatan yang serba ringkas berkaitan
persoalan isbal bagi kaum lelaki. Semoga kita dapat mengambil manfaat darinya.
Wallahu a’lam…Jom Umrah
Artikel asal daripada: Abu Numuair Nawawi Subandi
No comments:
Post a Comment