Tiada Tempat Untuk Mereka Yang Sombong Disyurga
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ
مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ
يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ
يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di
hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”.
Berkata seorang lelaki: ‘Sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya cantik
dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah
dan sukakan keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan memandang rendah
kepada manusia”.
Huraian:
Di dalam hadith ini kita dapati Islam amat menentang sifat sombong, takbur
dan apa sahaja yang melambangkan keangkuhan. Tiada manusia berakal yang akan
menafikan betapa buruknya sifat ini apabila ia mula menjadi tabiat dalam diri
seseorang. Oleh itu Islam datang membawa penegasan tentang keburukan dan
kemudharatan sifat ini, bukan sahaja di dunia ini, malah kesannya akan turut
berkekalan hingga ke akhirat.
TIDAK MASUK SYURGA
Terdapat perbincangan dalam kalangan ulama tentang maksud sebenar sabda
Rasulullah SAW – ‘Tidak akan masuk syurga’ dalam hadith ini. Malah kata-kata
ini juga kita dapat dalam hadith-hadith yang lain. Apakah ia membawa maksud
tidak akan masuk syurga selamanya? Atau ia membawa maksud lain?
Apa yang pasti, sekiranya seorang manusia itu sombong dalam keadaan dirinya
kufur dan menolak Islam, maka sudah pasti ia membawa maksud dia akan kekal di
dalam neraka bersama kekufurannya dan kesombongannya.
Namun sekiranya seseorang manusia itu beriman, maka hadith-hadith sebegini
membawa maksud - seseorang yang beriman, jika dia melakukan perkara sebegini,
maka dia tidak akan masuk syurga ketika ahli syurga yang awal mula
memasukinya. Dia akan disiksa terlebih dahulu berdasarkan dosanya dan pada
akhirnya akan dimasukkan juga ke syurga berdasarkan keimanannya. Maka hadith
ini bukanlah bermakna orang yang beriman tetapi mempunyai sifat sombong tidak
akan masuk syurga selama-lamanya.
MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH BUKAN SOMBONG
Ingin kelihatan indah dan elok dipandang bukanlah semestinya menjadi bukti
bahawa manusia itu sombong atau angkuh. Malah keindahan, kekemasan dan
kecantikan adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Lihatlah betapa
Rasulullah SAW memberikan gambaran tentang keindahan ini dengan sabdanya
’Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan’. Ini bermakna Rasulullah
SAW telah memberikan satu penegasan bahawasanya keindahan itu adalah tuntutan
agama malah disukai Allah SWT. Lalu Rasulullah SAW kemudiannya memberikan
penjelasan dan maksud tepat terhadap perkataan ’sombong’ iaitu ’menolak
kebenaran dan memandang rendah kepada manusia’.
MENOLAK KEBENARAN
Kebenaran bukanlah milik sesiapa. Ia adalah milik semua manusia dan sesiapa
yang mengikuti kebenaran adalah orang-orang yang berjaya. Namun begitu wujud
segelintir manusia yang mempunyai sifat negatif dan kepentingan tertentu yang
menjadikan mereka sanggup menolak kebenaran. Terkadang kebenaran yang dibawa
kepadanya adalah terlalu pahit dan tidak sesuai dengan keinginan jiwanya,
maka kebenaran itu ditolak dengan pelbagai alasan. Kenapa perlu menjadi musuh
kepada kebenaran? Orang sebegini tidak lain dan tidak bukan telah dijangkiti
penyakit sombong dan angkuh seperti yang disebut oleh hadith ini. Apa yang
menyedihkan, penolak kebenaran akan menjadi golongan yang rugi dunia dan
akhirat. Di dunia mereka akan dibenci, di akhirat pula mereka akan diseksa di
atas keangkuhan mereka menolak kesucian kebenaran dengan kotoran kesombongan.
MEMANDANG RENDAH KEPADA MANUSIA
Siapakah anda dan saya sehingga kita begitu angkuh lalu memandang rendah
kepada manusia lain? Inilah keburukan sikap sombong yang menjadikan manusia
lupa asal-usulnya. Walaupun manusia berbeza dari pelbagai segi, namun Islam
melarang kita memandang rendah kepada manusia lain tanpa sebab yang
munasabah. Orang yang sombong akan merasakan dirinya lebih tinggi dari orang
lain. Setiap pendapat, pandangan dan cadangan orang lain semuanya dilihat
lebih ’rendah’ dan tidak perlu diberikan perhatian. Mereka akan sentiasa
mencari jalan keluar untuk menolak pandangan orang lain, walaupun merugikan
mereka di dunia dan akhirat!
Marilah kita menilai kembali diri kita, adakah kita telah dijangkiti penyakit
sebegini buruk – sombong dan angkuh, menolak kebenaran dan memandang rendah
kepada orang lain? Semoga diri kita sentiasa mengikuti kebenaran – walaupun
pahit – dan sentiasa merendahkan diri serta menghormati orang lain.
|
oleh : Ustaz Adlan (alitantawi)