Soalan
Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam
menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam
perkara ini?
Jawapan
Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk
mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan
zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui “hawl” (tempoh wajibnya)
sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita
mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri.
Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan
oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.
Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak
menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam
menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada
unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.
Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan
sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun
baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope
Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta
bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.
Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun
melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan
bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan
ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama.
Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat
dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil
perhatian dalam sambutannya:-
* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau
‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia
diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas.
Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang
boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia
adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS
DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak
bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah ” Al-‘Adat
Muhakkamah”
Ertinya : “Adat yang tidak bercanggah dengan Syara’
boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan”. (Rujuk Al-Madkhal
al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid
al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).
Terdapat satu keadah lain berbunyi : ” Innama tu’tabaru
al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat”
Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang
tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh
majority”. (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)
* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang
bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat
ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh
badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan
terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan
menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.
* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang
bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih,
wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya
dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka
sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).
* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah
bertepatan dengan kehendak syara’. Majlis sambutan tahun baru dengan
penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan
pada pandangan saya. Sambut di sini
oleh : Ust Zaharuddin
No comments:
Post a Comment