Kita Tidak
Menghukum, Tetapi Menyatakan Kaedah
Datang
seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya; “Dr! adakah saya
masuk neraka kerana saya tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan
melakukan ibadah-ibadah yang lain?”. Saya beritahu kepadanya: “Adapun saya
bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak
berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari
neraka.
Ini adalah
kekuasaan mutlak Tuhan Yang Menciptakan neraka. Di akhirat neraka dimasuki oleh
sesiapa yang ditentukan ALLAH sebagai ahli neraka. Demikian juga syurga. Namun
ALLAH memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firmanNya
(bermaksud) : “adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), Maka ia berada
dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya
(amal baiknya), Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah", Dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (Haawiyah
itu ialah): api yang panas membakar” (Surah al-Qariah 6-11). Adapun saya yang
dhaif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat
kelak. Bahkan nasib saya sendiri saya tidak tahu, bagaimana mungkin saya boleh
tahu nasib orang lain?!! Namun jika saudari bertanya saya, adakah perbuatan
saudari salah atau betul? Tentu jawapannya: ia satu kesalahan. Apakah perbuatan
itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka?........
Maka jawapan
“dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan ke neraka”. Namun timbangan
amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab sahaja. Ia
merangkumi segala bentuk kebaikan dan keburukan. “Sesiapa beramal dengan
kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat
biji sawi keburukan juga akan dinilai”. Kemudian jika natijah dari nilaian itu
menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika
sebaliknya, rugilah dia. Dalam hidup ini, ada pula ujian dan cubaan. Sesiapa
yang sabar dengan ujian dan cubaan, diberi pahala dan dihapuskan dosa.
Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindahkan kepada kita,
atau dosa kita diberikan kepadanya -seperti dalam hadith al-Imam Muslim-. Maka
keputusan neraka dan syurga adalah hak ALLAH terhadap hamba-hambaNya. Apa yang
pasti dosa menyumbang ke arah neraka. Pahala menyumbang ke arah syurga. Jika
ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibubapa dan seumpamanya ke arah mana?
Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan
buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga.
ALLAH yang Maha Adil akan menimbangnya dan menentukannya. Demikian semua insan.
Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan ditimbang di akhirat kelak.
Saya
timbulkan ini kerana ada juga orang bertanya saya tentang hadith:
“..Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang
banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa
al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan
gigitlah ianya dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan
(dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap yang
bid’ah itu sesat”. (Hadith ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud,
al-Tirmizi dengan menyatakan ianya “hasan sahih”, Ibn Majah dan al-Darimi dalam sunanmereka.
Demikian juga Ibn Hibban dalam sahihnya dan al-Hakim dalam dalam al-Mustadrak dengan
menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi).
Katanya:
“Jika bid’ah masuk neraka, apakah datuk nenek kita dan sebahagian golongan
agama akan masuk neraka disebabkan beberapa perkara bidah yang mereka lakukan”.
Saya katakan; pertama hadith ini sahih, maka kita jangan
mempersenda-sendakannya. Kedua, seperti yang disebut tadi; sesiapa yang berat
amalan baiknya maka dia masuk syurga. Begitu sebaliknya. Adapun bid’ah bukan
pembawa ke arah syurga. Kita mengharapkan bagi mereka amalan soleh yang jauh
lebih besar dari kesilapan mereka. Dengan itu beratlah kebaikan mereka melebihi
kesalahan mereka. Keempat, kita disuruh oleh agama untuk bersangka baik dengan
muslim yang lain. Justeru, kita katakan; mungkin mereka tidak tahu, atau
menyangka ia sunnah walaupun sebenarnya tidak. ALLAH Maha Mengampuni
hamba-hambaNya. ALLAH berfirman (maksudnya): Allah tidak memberati
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami !
Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah
Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan
kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya
memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan
berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami
untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Surah
al-Baqarah: 286).
Kita
mendoakan keampunan mereka, namun dalam masa yang sama kita tidak boleh
menyatakan kepada diri kita bahawa kesalahan yang dibuat itu betul. Bahkan kita
mesti menghindari kesilapan yang lalu setelah sampai kepada kita ajaran
al-Kitab dan al-Sunnah. Kita menyampaikan hukum ALLAH dan kaedah agama. Kita
tidak menghukum individu. Jika kita ditanya apakah hukuman terhadap pencuri
dalam perundangan Islam. Kita jawab: Dalam hukum Islam pencuri dipotong
tangannya. Namun jika dia bertanya adakah si A boleh saya potong tangannya
kerana saya lihat dia mencuri. Kita katakan: Tidak! Sehingga melalui proses
perbicaraan yang dituntut oleh syarak. Apa yang saya beritahu ‘pencuri dipotong
tangan’ ialah kaedah. Adapun perlaksanaan memerlukan penelitian yang lebih.
Bidah,
khurafat, riba, arak adalah pembawa kepada jalan neraka. Sesiapa yang
mengamalkannya, menuju ke neraka. Ini adalah kaedah umum. Namun apabila hendak
memutus si fulan ahli neraka. Tiada siapa yang berhak. Ini kerana kita tidak
tahu amalannya yang lain, taubatnya, istighfarnya, dan kemaafan ALLAH untuknya.
Hal ini
perlu dijelaskan untuk dua pihak. Pertama mereka yang tidak faham tentang
maksud kaedah-kaedah yang disampaikan lalu menuduh yang bukan-bukan. Kedua
kepada golongan pendakwah sendiri yang terlalu cepat menghukum individu tanpa
penelitian. Jadilah kita bagaikan khawarij. Atau pro-khawarij di zaman ini yang
cepat mengkafirkan muslim yang lain.
Justeru kita
perlu ingat, sikap tergopoh-gapah menghukum sebelum mengetahui latarbelakang
orang dicegah atau disuruh adalah perbuatan yang salah. Golongan yang gopoh ini
akan menghukum dengan hukuman kafir atau sesat tanpa terlebih dahulu memahami
masalah. Bahkan mungkin mereka sendiri tidak faham hukum-hakam tersebut dengan
jelas. Sedangkan mereka lupa, tidak semua maksiat membawa kepada kekufuran.
Tidak semua pula perbuatan dan ucapan kufur menjadikan pelakunya kafir.
Demikian tidak semua perbuatan bid’ah menjadikan pembuatnya ahli bid’ah. Kata
Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya sesuatu ucapan menjadi kufr seperti mengingkari
kewajipan solat, zakat, puasa dan hajj. Namun pengucapnya mungkin tidak sampai
kepada khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut), maka tidak
dikafirkan dia disebabkan keingkarannya. Ini seperti mereka yang baru menganut
Islam dan hidup di daerah pendalaman yang jauh dan tidak sampai kepadanya
syariat-syariat Islam”( Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa,2/220). Di
tempat yang lain beliau menyebut: “Sesiapa yang menghadiri majlisku mengetahui,
sesungguhnya aku adalah manusia yang paling membantah menyandar seseorang
individu kepada kekafiran, atau kefasikan, atau kemaksiatan, melainkan setelah
ditegakkan hujah dan dalil yang menunjukkan sesiapa yang menyanggahinya (dalil
tersebut) menjadi kafir, atau fasiq, atau ahli maksiat. Sesungguhnya aku
bertegas bahawa ALLAH mengampuni kesilapan umat ini. Ini merangkumi pemasalahan
akidah dan amalan” (Ibid, 2/147).
Al-Qaradawi
menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para
`ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan
jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan
“Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum
syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini
maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini
berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini,
maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat
sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya
sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran
untuknya. Perkara ini pernah disebut oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan
pengucapnya. Dikatakan “Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir”. Tetapi
peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga
ditegakkan hujjah yang membukti kuffur sesiapa yang meninggalkannya
(meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas tersebut-pen)” (Al-Qaradawi, Zahirah
al-Ghulu fi al-Takfir, m.s. 26-27, Mesir: Maktabah Wahbah (1989).
Keadaan
manusia ini berbagai-bagai, ada di kalangan mereka yang membuat kesalahan
kerana terlupa, atau jahil atau terdesak. Kita hendaklah memahami latarbelakang
yang berbagai ini sebelum menghukum. Sikap ini telah ditunjukkan oleh Nabi
s.a.w dalam tindakan-tindakan baginda, antaranya, daripada ‘Ali bin Abi Talib,
katanya: “Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Marthad dan al-Zubair-kami
semua adalah penunggang kuda- baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga
sampai ke Raudah Khakh, sesungguhnya di sana ada seorang perempuan dari
kalangan Musyrikin, bersamanya surat dari Hatib bin Abi Balta`ah kepada
Musyrikin”. Maka kami pun mendapatinya, dia menaiki unta sepertimana yang
dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: “Surat!”. Dia
menjawab: “Tidak ada bersama kami sebarang surat”. Maka kami pun menduduk dan
memeriksanya. Namum kami tidak dapati sebarang surat pun. Kami berkata:
“Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut
atau kami akan telanjangkan engkau!”. Apabila dia melihat kesungguhan kami maka
dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat
tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w. Kata
`Umar: “Wahai Rasulullah!, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah
mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang Mukminin, biarkan aku pancung
kepalanya!”. Baginda bersabda (kepada Hatib): “Apa yang mendorong tindakanmu?”.
Kata Hatib: “Demi Allah! Bukan aku tidak beriman kepada Allah dan RasulNya
s.a.w. tetapi aku ingin mendapat bantuan di sisi kaum (Quraish) yang dengannya
Allah akan menyelamatkan keluargaku dan hartaku. Tidak ada seorang pun di
kalangan sahabatmu melainkan baginya di sana kaum kerabat yang mana dengannya
Allah selamatkan keluarga dan hartanya”. Sabda baginda: “Dia benar!
Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik”. `Umar berkata: “Sesungguhnya
dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang mukminin, biarkan
aku pancung kepalanya”. Baginda bersabda: “Tidakkah dia di kalangan anggota
Perang Badar?”. Sabdanya lagi: “Mudah-mudahan Allah melihat kepada ahli Perang
Badar dan berfirman “ buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti
untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua”. Maka menangislah ‘Umar
seraya berkata Allah dan RasulNya lebih mengetahui . (Riwayat al-Bukhari)
Lihat
bagaimana baginda meraikan keadaan terdesak yang dihadapi oleh Hatib. Baginda
tidak terus menghukumnya sebelum mengetahui keadaannya. Demikian juga kita
lihat sikap baginda dalam kes-kes yang lain. Maka kita dalam banyak hal
dituntut agar cuba memahami keadaan orang yang kita dakwah. Kita mesti
membezakan antara kaedah dan hukuman.
(sumber: http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=362al-qayyim.net