Ketika Abdullah bin
Mubarak ra melakukan haji, beliau tertidur di Masjidil Haram, dalam tidurnya
beliau bermimpi melihat dua orang malaikat turun dari langit. Berkata seorang
malaikat kepada seorang lagi :
"Berapa ramai
orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?" Berkata malaikat
yang seorang lagi : "Enam ratus ribu orang."
Bertanya malaikat yang
bertanya :"Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima
haji mereka?"
Berkata malaikat yang
menjawab : "Di antara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya
diterima, namanya ialah Muwaffaq dia tinggal di Damsyik. Dia adalah seorang
tukang kasut, dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji
Muwaffaq kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima."
Abdullah yang sedang
tidur terkejut dari tidurnya maka dengan segera dia berangkat ke Damsyik,
sampai sahaja dia di Damsyik dia mencari-cari tukang kasut yang disebutkan
dalam mimpinya dan akhirnya dia dapat mencari rumah tukang kasut itu. Apabila
sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu,maka Abdullah mengetuk pintu.
Pintu pun di buka dan keluar seorang lelaki dari dalam.
Abdullah bertanya
lelaki itu : "Apa nama saudara." Berkata lelaki itu :"Nama saya
Muwaffaq." Abdullah bertanya : "Tolong terangkan kepadaku amalan
apakah yang telah kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang
tinggi?"
JawabMuwaffaq :
"Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku maka
aku tidak dapat menunaikan haji. Tetapi dengan cara mendadak aku mendapat wang
300 dirham dari kerja menampal sepatu, lalu aku niat untukberhaji pada tahun
ini.
"Isteriku pula
sedang hamil, suatu hari isteriku tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ia
ingin memakan makanan yang terbau itu (mengidam), lalu aku pergi ke rumah
jiranku dan aku ketuk pintu. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun
beritahu hajat isteriku itu kepadanya."
Jiranku itu berkata :
"Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka aku terpaksa memberitahumu,
sebenarnya anak-anak yatim ku sudah tiga hari tidak makan oleh itu aku keluar
mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan akubertemu dengan bangkai himar,
maka aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masak, maka makanan ini adalah
halal untuk kami dan haram untuk kamu."
Apabila aku dengar
sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil 300 dirham
yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu danaku katakan kepadanya :
"Belanjakan wang ini untuk anak-anakmu. Dan aku berkata pada diriku :
Hajiku di muka pintu rumahku (Rumah jiranku) maka kemanakah aku akan
pergi."
Wahai
saudara-saudaraku, Allah tidak memandang pada harta yang kita miliki tetapi ia
memandang pada niat yang suci.
Pernah orang bertanya
kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku amal perbuatan
yang mana bila aku amalkan akan masuk syurga."
Sabda Rasulullah SAW :
"Jadilah kamu orang yang baik." Orang itu bertanya lagi :
"Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh mengetahui bahawa aku ini telah
berbuat baik?"
Sabda Rasulullah SAW
: "Tanyalah pada jiran tetanggamu, kalau mereka berkata kamu baik,
maka baiklah kamu. Kalau mereka mengatakan kamu buruk, maka buruklah
kamu."
Wallahua'lam