Setiap insan
mempunyai kecenderungan yang tersendiri dalam dirinya. Sama ada kecenderungan
kepada kebaikan dan mengajak orang lain juga untuk melakukan kebaikan atau
kecenderungan kepada keburukan dan mempengaruhi orang lain agar melakukan
keburukan. Anda golongan yang mana satu?
Rasulullah
saw bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya
di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup
keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka
keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah
jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi
orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.[ Ibnu Majah, dihasankan oleh Al-albani]
Jadilah
pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan
syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan
menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya.
Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah
SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa
kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa
upah dan ganjaran. Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.
Jangan jadi
golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan
kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi
perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang
yang mengikutinya.
Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang
memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya
dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun
ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di
dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya
selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka. ( Imam Muslim )
Hindarilah
diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang
bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain.
Era IT yang
serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat
di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan
blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan
gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video
lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah
turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara
melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa
yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.
Namun
Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih
untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan
yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka
ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari
blog-blog mereka. golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya
dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis nabi
saw.
Semoga Allah
merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan
menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah
membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.
oleh: AbuAqilAdnan
No comments:
Post a Comment