Saturday, August 4, 2012

FATWA: MEROKOK HARAM


Fatwa semasa mengenai hukum merokok menjurus kepada haram
Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok’ yang dikeluarkan oleh bererapa orang Mufti / Ulama’;
1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.
2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lajnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram adalah pendapat yang kuat.
4. Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu mantan Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.
6. Ulama terkenal masa kini Dr Yusof Qaradhawi juga telah menfatwakan bahawa merokok adalah HARAM disisi agama.
7. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.
8. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.
9. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.
10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.
11. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram. [Harakahdaily.net]
Melihat kepada senarai ini, merokok sudah difatwakan haram oleh majlis ulama Malaysia sebelum tahun 2000 tetapi entah mengapa fatwa ini hanya diwartakan beberapa tahun kemudian. Mungkin mereka ingin memberi peluang kepada syarikat rokok untuk lebih bersedia menangani kesan dari fatwa ini. Namun apa yang jelas sama ada diwartakan atau tidak, bilangan mereka yang merokok terus meningkat.
Maka sudah jelas dan terang sekali bahawa perbuatan merokok bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam dan maqasid al-syariah iaitu menjaga lima perkara; Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta Benda.
Tabiat buruk merokok secara kesimpulannya merosakkan kesemua lima perkara tersebut diatas dan melibatkan juga kesan buruk yang lain seperti dibawah ini:-

1- Menjejaskan akal/mental.
2- Membahayakan kesihatan fizikal.
3- Membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
4- Membahayakan keturunan.
5- Mengganggu manusia lain.
6- Menimbulkan akhlak buruk.
7- Menyia-nyiakan waktu hidup.
8- Bercanggah dengan maruah keIslaman.
9- Membazirkan harta (wang).
10- Menimbulkan permusuhan di antara manusia.

Friday, August 3, 2012

WASIAT IBN 'UMAR (Radhiallahu 'Anhuma)


     Ada beberapa ulama menyangka bahawa pernah diriwayatkan dari Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya beliau berwasiat apabila beliau wafat (meninggal dunia) supaya dibacakan di atas kuburnya surah al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah.  Athar dari Ibn 'Umar inilah antara yang dijadikan hujjah oleh mereka yang menghalalkan perbuatan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah (al-Quran) atau bacaan bertahlil untuk arwah orang-orang yang telah mati.

     Menurut penelitian para ulama hadis dan kalangan ulama Ahli sunnah wal Jamaah, ternyata athar dari Ibn ‘Umar ini adalah batil kerana bertentangan dengan amalan para sahabat radiallahu 'anhum.  Athar ini juga didapati terlalu lemah dan syaaz (bertentangan dengan hadis sahih), maka athar ini tidak dapat diterima untuk dijadikan hujjah, menghalalkan amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran untuk arwah dan bertahlil beramai-ramai untuk orang mati sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam sejak sekian lama.

      Riwayat ini juga tidak pernah diterima walaupun oleh seorang sahabat dan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana keterangan di bawah ini:

وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ.
"Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya.  Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat."[1]

Begitu juga tidak ada suruhan membacakan al-Quran kepada orang mati atau yang sedang nazak.  Adapun hadis yang menyuruh agar dibacakan ayat al-Quran kepada orang yang sedang nazak atau orang yang telah mati terutamanya surah Yasin adalah merupakan hadis lemah.  Di dalam sanad hadis ini terdapat seorang yang bernama Saad yang dikenali oleh ulama hadis sebagai Abu 'Uthman.  Dia telah dipastikan oleh ulama hadis sebagai orang yang tidak diketahui keadaannya (مجهول الحال)Hadis yang dimaksudkan ialah:

اِقْرَؤُوْهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ.
"Bacakanlah oleh kamu (surah Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". Hadith lemah.[2] 
 
Menurut hadis yang sahih, perkara yang sunnah dilakukan kepada orang nazak (bukan orang mati) ialah mengajarkan kalimah tauhid sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis di bawah ini:
لَقِّنُوْا عَلَى مَوْتَاكُمْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ
"Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah:  La ilaha illallah".[3]

   Adapun membacakan al-Quran ke atas orang mati telah diketahui ia perbuatan yang diharamkan oleh Imam Syafie dan sama sekali tidak ada nas yang mengizinkan untuk melakukan perbuatan tersebut malah bertentangan dengan nas al-Quran sebagaimana di bawah ini:
اِنَّكَ لاَ تُسْمِعُ الْمَوْتَى.
"Sesungguhnya engkau tidak boleh menjadikan orang-orang yang telah mati itu mendengar".
 AN NAML, 27:80.
Melalui hujah-hujah di atas adalah jelas bahawa kenduri tahlilan hanyalah merupakan amalan tradisi sesuatu bangsa.  Ia kemudian dianggap sebagai amalan agama kerana ramai yang mengamalkannya.  Tetapi pada hakikatnya ia bukanlah suruhan atau amalan sunnah sebagaimana yang disangka oleh sebahagian masyarakat yang tidak mengkaji asal usul kenduri tahlilan tersebut.

     Ada juga beberapa riwayat mengenai suruhan bacaan surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas kemudian pahalanya dihadiahkan kepada arwah orang yang telah mati.  Riwayat-riwayat tentang perkara ini juga tidak sah (batil) kerana ianya juga bertentangan dengan al-Quran, hadis yang sahih dan perbuatan (amalan) para sahabat, tabi'in dan tabi'ut at-tabi'in (para salaf asSoleh) dikurun al-mufadalah (kurun terbaik).  Antara hujjah untuk menguat dan menghalalkan perbuatan mereka ialah hadis berikut:

مَنْ قَرَاَ قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ اَلْفَ مَرَّةٍ فَقَدْ اشْتَرَى نَفْسَهُ مِنَ النَّاسِ (حديث موضوع)
"Barangsiapa yang membaca Qulhuwallahu Ahad sebanyak seribu kali, maka sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dari api neraka".  (Hadis Palsu).


[1].  Lihat:  شرح المهذب Jld. 10.  Hlm. 429.  Ali as-Subki.
[2].  H/R Abu Daud (2714).  Al-Janaiz.  Ibn Majah (1438).Hadis Lemah.
[3].  H/R Muslim (1527), al-Janaiz.  Turmizi (18980).  al-Janaiz.  Abu  Daud (2710) al-Janaiz.  Nasaii (1803).  al-Janaiz,  Ibn Majah (1430).  Ahmad (10570P)

Wednesday, August 1, 2012

Menghafaz Al Quran : Fadhilat dan Kaifiat


Allah berfirman dalam kitabNya yang mulia:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan Kamilah yang akan menjaganya”  (Al Hijr 15:9)

Al Quran ialah kitab suci bagi umat Islam. Al Quran diturunkan Allah ‘Azza wa Jalla secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan perantaraan Malaikat Jibril A.S bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman itu bagi memudahkan hafalan dan pengamalan oleh para sahabat ketika itu. Nabi Muhammad S.A.W juga pernah berpesan dalam khutbah Baginda yang terakhir. Mafhumnya bermaksud:
“Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran danSunnahku.”

Sesungguhnya, berjayalah mereka yang menghafaz dan mengamalkan apa yang terkandung dalam Al Quran. Al Quran merupakan kitab yang serba ada. Sehinggakan ada suatu kisah, ketika seorang pelajar bertanyakan kepada syeikhnya. “Wahai ustazku, kamu mengatakan segalanya ada dalam Al-Quran. Cuba beritahuku bagaimana cara untuk membuat roti?” Si ustaz diam sejenak. Lantas si ustaz membacakan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Di sini, dapat kita simpulkan, Allah telah menunjukkan kita cara dalam menjalani masalah yang kita hadapi  dalam  kehidupan seharian kita. Semuanya dengan Al-Quran. Yakinlah wahai sahabat  sekalian. Islam merupakan agama yang syumul yaitu sempurna.

Al Quran bukanlah seperti yang dikatakan oleh puak kuffar. Mereka mengatakan bahawa Al Quran merupakan kitab karangan seorang sasterawan arab ataupun Nabi Muhammad S.A.W sendiri walhal mereka tidak mengetahui tentang hal yang mereka perkatakan itu. Hal ini terbukti dengan tentangan daripada Al Quran sendiri. Cuba kita perhatikan Firman Allah S.W.T yang berikut:
“Katakanlah: ‘Maka datangkanlah sepuluh surat yang (dapat) menyamainya” (Surah Hud 13).
“Katakanlah: (‘Kalau benar apa yang kamu katakan), maka cubalah datangkan sebuah surat yang menyerupainya” (Surah Yunus 38).

Hujjah mereka yang mengatakan Al Quran itu merupakan sebuah kitab karangan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W dapat disangkal dengan fakta yang tepat lagi benar.  Kita sudah sedia maklum bahawa Allah menjadikan kekasihNya  Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul yang ‘Ummiy (tidak tahu membaca dan menulis) dan itu tidak mencacatkan sedikitpun kesempurnaan dan kebijaksanaan yang dikurniakan kepada kekasihNya. Nah! Di sini hikmahnya. Allah menjadikan ia sebagai hujjah bagi orang Islam untuk menolak hujjah puak kuffar yang tidak berasas itu.

Allah juga menjelaskan dalam firmanNya :
“Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang yang Ummiyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Nya”. (Surah Al-Jumu’ah 62:2)
Satu fakta yang tak dapat disangkal lagi bahawa, Al Quran merupakan Kalam Allah S.W.T yang Kareem (Mulia) dan ‘Adzim(Agung). Sebagai perumpamaan, jika kita merupakan beginner dalam bidang fotografi dan tidak mahir menggunakan kamera DSLR. Sudah tentu, kita akan merujuk kepada manualnya bukan? Ya, begitu juga kehidupan kita sebagai insan. Al-Quran merupakan manual untuk meneruskan survival insan di atas muka bumi Allah Azza wa Jalla ini. Amatlah terbimbing bagi mereka yang hidup berpandukan Al-Quran.

Justeru, menghafaz Al-Quran merupakan satu jalan yang baik dalam usaha untuk memperbaiki dan menjalani hidup di jalan yang diredhaiNya. Terdapat banyak hadis tentang kemuliaan dan fadhilat menghafal Al-Quran yang diriwayatkan. Berikut merupakan hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab hadis Sunan Sittah yang mafhumnya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

 “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

 “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf. “(Riwayat Tarmizi)

Tuesday, July 31, 2012

7-KELEBIHAN SIFAT SOLEH MENURUT AL-QURAN


ALLAH SENANTIASA MELINDUNGI ORANG SOLEH

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ
Ertinya:“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”(al-A’raf[7:196])

IMAN DAN AMAL SOLEH MENDORONG KEPADA KESOLEHAN INDIVIDU

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُدْخِلَنَّهُمْ فِي الصَّالِحِينَ
Ertinya:Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, sudah tentu Kami akan masukkan mereka dalam kumpulan orang-orang yang soleh (dengan mendapat sebaik-baik balasan) (al-‘Ankabut[29:9]).

PARA NABI MEMINTA ZURIAT YANG SOLEH
Nabi Ibrahim AS;
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Ertinya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” (al-Saffat[37:100]).

Nabi Zakariyya AS;
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Ertinya:Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”. (Ali ‘Imran[3:38])

ORANG SOLEH BERSAMA AHLI KELUARGA DALAM SYURGA

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
Ertinya: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]).

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ
Ertinya:Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; – (al-Ra’d[13:23]).

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Ertinya: “Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga “Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ghafir[40:8]).

FAEDAH ORANG SOLEH BERTERUSAN MENJANGKAU GENERASI

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا
Ertinya: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”(al-Kahf[18:82]).

SI ANJING DIJAGA ALLAH KERANA MENUMPANG TUAH ORANG SOLEH

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Ertinya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka (al-Kahf[18:18]).
 Lihat ini........

Sunday, July 29, 2012

ADAB SAHUR DAN IFTAR


Sunnah-Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa)

Bagi orang yang berpuasa, selain dari memahami fadhilat dan hukum hakam puasa, terdapat pula beberapa adab dan amalan yang perlu dilakukan agar amalan yang dibuat bertepatan dengan Sunnah Rasulullah saw yang mesti diikuti.

Pertama: Adab Bersahur.

Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu.

Sabda Baginda SAW: “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” [HR: al-Bukhari dan Muslim].

Maksud keberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani RA:
"Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyalahi ahli kitab (Yahudi dan Nasrani yang tidak bersahur), menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.”
Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah SAW:
“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” [HR: Muslim].

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah SWT melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi SAW amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air.
Sabda Baginda SAW: “Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” [HR Imam Ahmad Sahih al-Jami‟: “Hasan”].

Adalah disunatkan juga untuk melewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa‟ad RA berkata:
"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah SAW.” [HR: Al-Bukhari].

Qadi „Iyadh RA berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” [Dinukil dari Fathul-Bari.]

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan.

Menurut Anas RA, Zaid bin Thabit RA berkata:
“Kami makan sahur bersama Nabi SAW, kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” [HR: Al-Bukhari].


Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:-

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.
2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Kedua: Adab Berbuka Puasa.

1- Menyegerakan Berbuka Puasa.
Disunatkan juga kita menyegerakan berbuka puasa apabila telah pasti masuknya waktu Maghrib.
Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

2- Berbuka Puasa Dengan Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab adalah buah kurma yang baru masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW. Anas bin Malik RA berkata:

“Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” [HR: Imam al-Tirmizi].

Tamar, selain sedap dimakan, ia menyalurkan tenaga dengan cepat kepada tubuh badan.
Keadaan orang yang berpuasa sangat memerlukan gula yang mudah dicerna untuk menghilangkan rasa lapar. Nutrisi yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah merupakan makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula iaitu glukosa dan sukrosa. Zat gula mampu diserap oleh tubuh dalam masa yang amat singkat. Justeru, makanan yang paling sesuai dimakan ialah buah tamar kerana ia memenuhi keperluan di atas.

3. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah SAW juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunatkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” [HR: Al-Bukhari]
Menurut Imam al-Nawawi: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”

4. Membaca doa Ibnu „Umar RA berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca:
Maksudnya: “Hilanglah segala kehausan, telah basah segala urat-urat dan semoga tetaplah beroleh pahala”. [Hadis riwayat Abu Daud “Sahih”] Abdullah Ibnu „Amr Al-„Ass RA berdoa ketika berbuka puasa dengan doa ini:

Maksudnya: “Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. [Hadis riwayat Ibn Majah “Hasan”]

Adapun doa yang sering dibaca oleh umat Islam dan diajar di sekolah ialah:

Maksudnya: "Ya Allah bagi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka, maka terimalah dari kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [HR: Al-Daruqutni].
Kata Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu‟: “Sanadnya Dhaif”. Doa apabila berbuka puasa di rumah orang.

“Orang-orang yang berpuasa telah berbuka dengan kamu dan orang-orang yang mulia telah memakan makanan kamu serta para Malaikat mendoakan agar kamu mendapat rahmat” Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana yang mustajab (makbul) ialah doa orang berpuasa, Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” [HR: Ibn Majah]

 5. Berbuka Puasa Secara Sederhana.
Firman Allah SWT yang bermaksud: {Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.} [Surah al-A‟raaf: Ayat 31]
Perhatian: Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi SAW: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak boleh menahan (nafsu makan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” [HR: Al-Tirmizi].

6. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah.
 Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” [Surah al-Insan: 8-9.]

 Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda Baginda SAW:
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” [Hadis riwayat al-Tirmizi].
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas.