Tuesday, June 11, 2013

Siakap Sinohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-Lama Mencuri



Pernah dengarkan pepatah Melayu lama ini? Pepatah Melayu lama yang masih relevan untuk digunapakai sehingga ke hari ini. Satu pembohongan yang kecil akan membawa kepada pembohongan yang lebih besar sehingga apabila terbiasa, tiada lagi nilai moral di dalam diri dan akhirnya terjebak di dalam perlakuan jenayah yang lebih besar seperti mencuri dan menipu.
Menipu makan diri

APABILA menyedari diri berada dalam keadaan tidak selamat dari segi kewangan, nama baik dan populariti, orang sanggup menipu. Mereka cuba mengawal segala kekalutan yang dihadapi sebaik mungkin di samping cuba mendapatkan 'penghormatan' kawan-kawan atau masyarakat sekeliling.

Pakar Perunding Psikiatri Am dan Aviasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Lt. Kol. Dr. Lotfi Anuar berkata, sesetengah individu menipu kerana takut untuk berkata perkara sebenar bagi menutup rasa malu.

"Contohnya seperti seseorang yang menipu untuk menjaga perhubungan dengan orang tersayang. Mereka terikut-ikut dengan ungkapan 'lies doesn't break the relationship but the truth does'.

"Mereka biasanya memberi alasan untuk 'menjaga perasaan' tetapi mereka lupa perhubungan yang dibina atas dasar menipu itu lebih mudah goyah apabila kebenaran muncul satu hari nanti," jelasnya ketika ditanya pendapat tentang sikap manusia yang suka berbohong atau menipu daripada bercakap benar.

Tambahnya, sikap pentingkan diri juga boleh menyebabkan seseorang menipu. Ia biasanya bertujuan untuk mempermudahkan urusan diri atau mengelakkan kesusahan.

Bagaimanapun kata Dr. Lotfi, tabiat menipu individual tidak boleh dikaitkan dengan kerjaya atau golongan tertentu.

"Manusia mempunyai pelbagai jenis ragam dan personaliti. Memang ada jenis personaliti yang agak cenderung kepada tabiat menipu. Begitu juga dengan beberapa jenis penyakit mental yang pengidapnya memang kita tahu suka menipu.

"Bezanya mereka ini pesakit dan tidak ramai orang berminat untuk ambil tahu. Tetapi jika perbuatan menipu itu melibatkan seseorang yang dikenali ramai, maka ia akan kelihatan seperti sebuah kebiasaan atau trend," katanya.

Jelasnya, sebagai individu yang menjadi tumpuan masyarakat, artis atau selebriti perlu berhati-hati dalam menyatakan sesuatu isu kerana bimbang perkara tersebut disensasikan oleh orang berkepentingan.
Ini kerana gosip-gosip yang dikatakan liar itu kebanyakannya membicarakan tentang perkara-perkara yang kurang enak dan tidak menyenangkan.

"Walau apa pun, jika selebriti sendiri memilih untuk menipu bermakna mereka perlulah menanggung kesan akibat daripada penipuan tersebut.

"Menipu sebenarnya memburukkan lagi keadaan terutamanya jika melibatkan public figure. Ramai orang memerhati dan mengikuti perkembangan semasa. Dan perlu diingat, ramai juga orang yang akan melaporkan keadaan sebenar tentang diri mereka," tambahnya.

Kata Dr. Lotfi, sikap suka berdolak-dalih dalam menyatakan perkara benar hanya memakan diri sendiri dan mengundang masalah yang lebih besar.

Kepercayaan akan hilang dan masyarakat mula mempertikaikan keupayaan individu sebagai seseorang yang boleh memegang amanah atau jujur.

Oleh yang demikian katanya, bercakap benar adalah pilihan terbaik walaupun pahit. Jiwa tidak akan tenang jika berterusan menipu. Seseorang yang bercakap benar akan lebih dihormati.

"Masyarakat pasti lebih mudah memaafkan atau melupakan kesilapan yang telah dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah. Daun tidak akan bergoyang jika tiada angin.

"Dalam bidang sains sekalipun perlu ada bukti untuk menyokong sesuatu fakta. Masyarakat sekarang lebih bijak dan berfikiran kritis. Mereka boleh menilai sesuatu penipuan," katanya.

Tambahnya, tidak ramai orang boleh menjadi penipu yang baik. Penipu professional sekalipun perlu belajar selok belok menipu secara khusus sebelum layak mencari mangsa.

Apatah lagi kita rakyat Malaysia yang telah dididik dengan nilai-nilai murni dan ajaran agama sejak dari kecil. Lagi banyak menipu, lagi banyak tembelang pecah dan lebih banyak kelemahan diri akan terdedah.

Dalam pada itu Dr. Lotfi berkata, setiap orang perlu sentiasa jujur kepada diri sendiri, hadapi kenyataan dan yakin kepada diri sendiri kerana maruah dan kehormatan boleh diperolehi dengan cara lain selain menipu.
"Contohnya dengan berbuat baik kepada semua orang serta menjaga adab sopan dan keterampilan di tempat awam. Ia sebenarnya memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang pernah melihat anda secara langsung.

"Sekiranya ada gosip-gosip liar dilemparkan terhadap mereka orang akan berfikir banyak kali sebelum mempercayainya. Hormatilah orang untuk mendapat penghormatan daripada orang lain.

"Ini termasuk perasaan dan pandangan orang. Jangan mudah melatah dan sentiasa kawal emosi walaupun ketika dicabar atau diprovokasi," jelasnya.

Menurut Dr. Lofti, kadang-kadang berdiam diri dan bersabar juga adalah lebih baik terutamanya ketika diajukan sebarang soalan yang tidak selesa.

Simpan sahaja jawapan kepada diri sendiri. Belajar menolak dengan berhemah pertanyaan yang belum sedia untuk dijawab. Jangan memberi janji kosong dan elakkan daripada memberi respons mengelirukan yang boleh memberi pelbagai makna.

Apabila ditanya apakah kesan kepada mereka yang suka menipu, katanya, orang berkenaan boleh menipu semua orang tetapi tidak boleh menipu diri sendiri.

"Ini kerana jiwa manusia tahu apa yang dikatakan oleh mulut itu benar atau tidak. Fitrah manusia apabila berbuat kesalahan seperti menipu, dia akan gelisah, risau dan bimbang.

"Melainkan jika dia memang seorang yang berhati kering. Perasaan sebegini mengundang syak wasangka dan menjejaskan kesihatan. Mereka juga boleh mendapat kemurungan atau gangguan tidur," ujarnya.

Kata Dr. Lotfi, orang menipu mudah sensitif jika ada seseorang berkata tentang perkara yang berkaitan dan mudah melenting walaupun di khalayak ramai. Ini mendedahkan lagi kelemahan dan yang lebih penting boleh memalukan diri.

Tambahnya, memang ada orang yang jenis love to hear the lies when he knows the truth semata-mata untuk memastikan si penipu tersebut terus menggali lubang kuburnya dengan lebih dalam lagi.


Oleh KHADIJAH IBRAHIM


Sunday, June 9, 2013

Ada Apa Dalam Bulan Sya'ban?



Kesibukan masih belum mahu mengundur diri. Saya bukannya seorang yg berpangkat besar di dalam organisasi. Tapi kesibukan tidak mengenal siapa saya. Kesibukan itu makhluk yg buta. Kesibukan setia mengunjungi saya dari semasa ke semasa. Saya menyambutnya secara terpaksa. Namun, kesibukan tiada sifat malu. Saya akan cuba halau sebahagian kesibukan ini sebelum Ramadan berkunjung. Tidak mungkin kesibukan secara keseluruhannya akan lari dari saya, begitu juga anda. Maka, layanlah kesibukan ini sekadar kemampuan. Bersabarlah dengan kerenahnya.

Kurang sebulan lagi kita akan menyambut Ramadan yg diberkati. Sekarang, kita berada di dalam bulan Syaaban yg mulia. Saya hanya mampu re-publish tulisan saya berkenaan Syaaban.
Bulan Syaaban merupakan bulan yg kurang diberi perhatian oleh umat Islam. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sendiri apabila ditanya tentang sebab baginda terlalu banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Lalu baginda menjawab,
“Ini adalah bulan yg manusia leka terhadapnya di antara bulan Rejab dan Syaaban. Ia ialah bulan yg diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”

Umat Islam seolah-olah akan menyedari kedatangan Syaaban apabila telah sampai ke pertengahan bulan. Apabila diadakan majlis sempena Nisfu Syaaban, barulah umat Islam terjaga daripada lamunan mereka. Rupanya mereka telah berada di dalam bulan yg juga dinamakan 'Bulan Al-Qurra’' ini.

Cuaca panas terik di sini benar-benar mencabar kehambaan seseorang untuk berpuasa pada bulan mulia ini. Bahkan mungkin puasanya menyebabkannya terhalang daripada terus menuntut ilmu kerana keletihan. Maka, ulama mengajar supaya tinggalkan puasa sunat dan teruskan menuntut ilmu! Imam 4 mazhab telah menyatakan bahawa menuntut ilmu lebih afdhal daripada solat sunat, dan solat sunat pula lebih afdhal daripada puasa sunat. Maka, menuntut ilmu terlebih afdhal daripada puasa sunat. Namun andainya kalian dapat melaksanakan semuanya, maka beruntunglah kalian!

Ibnu Sirin berkata,
“Sesungguhnya ada kelompok manusia yg meninggalkan ilmu dan berada di mihrab-mhrab maka mereka solat dan berpuasa tanpa ilmu. Demi Allah, tidaklah seseorang itu beramal tanpa ilmu melainkan apa yg dia rosakkan lebih banyak daripada yg dia perbaiki.”

Puasa nabi pada bulan Syaaban berbeza dengan puasa-puasa baginda pada bulan lain. Sayyidatuna ‘Aisyah Radiyallahuanha berkata bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan beliau tidak pernah melihat baginda berpuasa paling banyak melebihi puasanya pada bulan Syaaban. Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Sekumpulan ulama di antaranya Ibnul Mubarak mentarjihkan bahawa baginda tidak berpuasa penuh pada bulan Syaaban, tetapi baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan itu. Pendapat ini dikuatkan dengan hadith-hadith yg lain.

:: Solat khusus pada malam Nisfu Syaaban?

Hakikatnya, tidak pernah wujud solat khusus pada malam nisfu Syaaban walaupun ia pernah disebut dalam kitab-kitab seperti Qut Al-Qulub dan Ihya’.Imam Al-Kauthari menyatakan bahawa Al-Muhaddith Abd Hayy Al-Laknawi telah menjelaskan kebatilan riwayat ini di dalam Al-Athar Al-Marfu’ah fil Akhbar Al-Maudhu’ah’.

:: Puasa bulan-bulan haramkah atau puasa Syaaban yg lebih afdhal?

Terdapat ulama Syafieyyah dan selain mereka berpendapat puasa bulan-bulan haram lebih afdhal berdasarkan hadith,
“Puasa yg paling afdhal selepas puasa bulan Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram.”

Sebahagian yg lain berpendapat puasa Syaaban lebih afdhal. Dalil mereka ialah Hadith Anas yg diriwayatkan oleh Imam Tirmizi,
“Nabi ditanya tentang puasa apakah yg paling afdhal selepas Ramadan? Nabi menjawab: Syaaban kerana mengagungkan Ramadhan.”

Tetapi pada sanad hadith ini terdapat pertikaian.

Dalam Sunan Ibn Majah terdapat hadith yg disokong kekuatannya bahawa Usamah berpuasa pada bulan-bulan haram. Maka Rasulullah memberitahunya, “Puasalah Syawal”. Maka Usamah meninggalkan puasa bulan haram dan berpuasa Syawal sehingga meninggal dunia. Maka inilah nas yg menunjukkan kelebihan puasa Syawal terhadap puasa bulan-bulan haram. Tetapi Rasulullah lebih banyak berpuasa Syaaban berbanding Syawal. Maka, puasa Syaaban terlebih afdhal berbanding bulan haram.

:: Kelebihan puasa Syaaban

Puasa Syaaban kadang-kadang dipandang remeh, Akan tetapi kelebihannya amat banyak. Antaranya:

1-Berdasarkan hadith, Syaaban ialah bulan yg manusia terleka akannya. Dalam hadith ini juga mengisyaratkan bahawa sebahagian ibadat yg masyhur kelebihannya kadang-kadang kurang afdhal berbanding selainnya. Maka manusia menyibukkan diri kerana masyhurnya kelebihan sesuatu lalu mereka terluput kelebihan yg lebih besar tetapi kurang kemasyhurannya.

Ulama menyatakan bahawa ibadat yg afdhal ialah ibadat dalam keadaan tersembunyi dan saat manusia sedang lalai daripada ketaatan. Oleh kerana itu, sekumpulan salaf gemar mengisi waktu di antara Maghrib dan Isya dengan solat. Mereka mengatakan waktu itu ialah waktu ghaflah (lalai). Begitu juga dengan kelebihan solat di tengah malam kerana saat itu ialah saat manusia sedang berada dalam kelalaian sepenuhnya daripada mengingati Allah.

Begitu juga dengan kelebihan zikir di pasar sebagaimana yg warid di dalam hadith dan athar. Ini ialah kerana lokasi itu ialah lokasi manusia leka daripada mengingati Allah.

Ibadat secara tersembunyi amat afdhal terutama ibadat puasa kerana puasa merupakan ibadat rahsia di antara hamba dan tuhannya.
Ada seorang ulama salaf yg berpuasa selama 40 tahun tanpa diketahui oleh seorang pun ketika itu. Beliau keluar dari rumahnya menuju ke pasar dengan membawa 2 keping roti. Lalu beliau pun menyedekahkan roti tersebut dan terus berpuasa. Maka ahli keluarga beliau menyangkanya telah makan roti yg dibawa ke pasar.. Manakala orang di pasar pula menyangkanya telah makan di rumahnya.
 
2-Puasa Syaaban lebih berat kerana persekitaran yg tidak membantu. Kurangnya manusia berpuasa pada bulan ini menyebabkan orang lain liat untuk berpuasa kerana jiwa manusia biasa terpengaruh dengan persekitaran. Akan tetapi hakikatnya, ibadat dalam keadaan berasa berat lebih afdhal.

Oleh kerana itu Rasulullah Sollallahualaihiwasallam,
“Orang yg beramal daripada kalangan mereka mendapat 50 pahala orang yg beramal di kalangan kamu. Sesungguhnya kamu mempunyai pendorong ke arah kebaikan manakala mereka tidak mempunyainya.” Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah.

“Islam itu bermula dalam keadaan ganjil dan akan kembali ganjil sebagaimana ia bermula maka beruntunglah bagi orang-orang yg ganjil.” Dalam riwayat lain, dikatakan, “Siapakan orang-orang yg ganjil itu?” Maka Rasulullah bersabda, “Orang-orang yg melakukan kebaikan ketika manusia telah rosak.”

“Beribadat dalam keadaan fitnah seperti berhijrah kepadaku” Hadith riwayat Imam Ahmad.

3-Orang yg melakukan ketaatan dalam keadaan orang lain meninggalkannya kadang-kadang boleh menghindarkan bala. (Dengan syarat orang tersebut melakukan amar maaruf nahi munkar). Maka orang yg berpuasa Syaaban seolah-olah mampu menahan daripada daripada diturunkan bala. Sebahagian salaf berkata, “Orang yg mengingati Allah yg berada dalam kelompok orang lalai seumpama orang yg mempertahankan pasukan yg sedang dikalahkan. Kalaulah tidak kerana orang yg mengingati Allah dalam keadaan kelalaian manusia itu, nescaya sesungguhnya akan binasalah manusia itu.”

4-Puasa Syaaban ibarat tamrin atau latihan untuk menghadapi puasa Ramadhan. Mudaha-mudahan manusia tidak masuk ke medan Ramadhan dalam keadaan lemah longlai. Mudah-mudahan juga kita telah merasai kelazatan dan kemanisan puasa lalu memasuki Ramadhan dalam keadaan cergas dan bersemangat.

Oleh kerana Syaaban itu umpama mukaddimah kepada Ramadhan, maka amatlah bagus jika amalan ketika Ramadhan telah dimulakan sejak mukaddimahnya . Sebahagian ulama menamakan bulan Syaaban dengan nama Syahrul Qurra’ iaitu bulan orang-orang yg membaca Al-Quran. Al-Hasan bin Sahl berkata, Bulan Syaaban berkata-kata, “Wahai Tuhanku, Kau telah menjadikanku di antara 2 bulan yg agung (Rejab dan Ramadhan), maka apakah yg terdapat padaku?” Maka dijawab, “Aku jadikan padamu terdapat bacaan Al-Quran.”

Puasa pada siang hari nisfu Syaaban sunat kerana ia termasuk dalam keumuman sunat puasa Syaaban dan juga termasuk hari-hari putih yg memang disunatkan puasa pada setiap bulan iaitu setiap 13, 14 dan 15 haribulan.

:: Hadith-hadith kelebihan malam nisfu Syaaban

Terdapat banyak hadith yg menyatakan kelebihan malam nisfu Syaaban. Terdapat ulama yg menghukum dhaif terhadap hadith-hadith tersebut. Manakala sebahagian yg lain mentashihkannya. Antaranya Ibnu Hibban yg mentashihkan sebahagian hadith tersebut lalu meletakkannya di dalam kitab Sohihnya. Hayatilah sebuah hadith riwayat Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda,
“Sesungguhnya Allah memandang kepada makhlukNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan hamba-hambaNya kecuali dua iaitu orang yg berdendam dan yg membunuh.” Riwayat Ahmad.

Andainya sejumlah hadith ini dhaif sekalipun, maka ia masih boleh digunakan untuk fadhail amal selagimana ia tidak maudhu’ atau dhaid jiddan.

:: Khilaf ulama dalam mengagungkan malam nisfu Syaaban

Ulama Tabi’en daripada kalangan Ahli Syam seperti Makhul dan Luqman bin ‘Amir mengagungkannya dan bersungguh-sungguh beribadat pada malam itu.

Kebanyakan Ulama Hijaz pula mengingkarinya. Antaranya ialah ‘Atho’ dan Ibnu Abi Mulaikah. Pendapat ini juga dinakalkan oleh Abd Rahman bin Zaid bin Aslam daripada Fuqoha’ Ahli Madinah iaitu pendapat Ashab Malik dan selain mereka. Mereka berkata: Itu semuanya bidaah.

Ulama Ahli Syam yg berpendapat mengagungkan malam nisfu Syaaban berselisih pula mengenai cara menghidupkan malam tersebut.

Pendapat pertama: Disunatkan menghidupkannya secara berjemaah di masjid-masjid. Sebahagian ulama Ahli Syam antaranya ulama Tabi’en, Luqman bin ‘Amir akan memakai pakaian yg paling bagus, membakar bukhur, bercelak dan menghidupkan malam nisfu Syaaban di masjid.

Pendapat ini juga dipegang oleh Ishak bin Ruhawaih dan berkata, "Melakukan secara berjemaah di masjid-masjid, tidaklah perkara itu bidaah."

Pendapat kedua: Makruh berhimpun pada malam itu di masjid untuk solat dan berdoa. Dan tidak makruh seseorang melakukannya khas untuk dirinya sendiri. Dan ini pendapat Imam Ahli Syam, Al-Auzai’e. Imam Ibn Rejab Al-Hanbali mengulas pendapat ini dan berkata, “Dan ini lebih dekat, insya Allah Taala.”

Imam Syafie berkata, “Telah sampai khabar kepada kami, bahawa doa itu dimakbulkan pada 5 malam. Malam Jumaat, dua malam hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari pula mengatakan walaupun hadith yg warid tentang nisfu Syaaban itu lemah tapi ia mempunyai sokongan. “Maka kelebihannya tidak boleh diingkari. Begitu juga kelebihan berdoa, istighfar dan beribadah pada malam itu. Oleh kerana itu, kamu akan mendapati di dalam kitab-kitab ulama Fiqh yg menganggap bahawa menghidupkan malam nisfu Syaaban termasuk di dalam malam-malam yg disunatkan untuk menghidupkannya di sisi Syara’.”

:: Kesimpulan

Setelah dilontarkan pelbagai pendapat tentang keharusan menghidupkan malam nisfu Syaaban, maka wajib bagi kita berlapang dada dengan perselisihan yg telah berlaku dan jangan terlalu mudah menghukum bidaah dan haram. Malangnya, masih wujud sekelompok manusia yg keras mempertahankan bidaahnya dan menganggap mereka yg terlibat dengan nisfu Syaaban ini sebagai pelaku bidaah dan haram sehingga membawa kepada persengketaan yg tidak berkesudahan.
 "Jangan gaduh-gaduh! Kita berdamai ye!"

Bahkan setiap kali sambutan Maulid Nabi, Isra’ Mikraj, Nisfu Syaaban dan seumpamanya, kita akan mendengar beberapa kalimah yg sentiasa diulang-ulang iaitu bidaah, haram, jahil hadith, taqlid buta dan yg sewaktu dengannya. Saya sengaja menyatakan pelbagai pendapat di atas untuk menunjukkan wujudnya perselisihan ini sejak zaman dahulu. Yang menariknya, mengapa perselisihan ketika itu tidak pula membawa kepada perpecahan di kalangan ummah sebagaimana yg berlaku pada hari ini?

Imam Ibnu Rejab menyatakan bahawa pada malam tersebut, hendaklah orang yg beriman mengosongkan malam itu untuk mengingati Allah, berdoa kepadaNya untuk mengampunkan segala dosa, menutup segala keburukan, menyelesaikan kesusahan dan mendahulukan taubat sebelum segala-galanya.

Rujukan:

Lathoiful Ma'arif karangan Ibnu Rejab Al-Hanbali
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari