Saudaraku, ketahuilah bahawa setiap
ibadah itu merupakan wasilah taqorrub (mendekatkan diri) kita pada Zat yang
Maha Tinggi lagi Perkasa, Maha
Sempurna dalam sifat dan asma (nama-nama Allah yang mulia), Maha Lembut dalam
takdir dan qada’-Nya. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dia yang memerintah
dan membimbing. Dia yang mengancam dan menyelamatkan. Sehingga semua manusia
harus sedar bahawa kewujudannya dalam kehidupan ini adalah sebagai makhluk yang
lemah lagi memerlukan, faqir penuh kekurangan, hina tanpa kemuliaan. Kecuali
orang-orang yang diberi nikmat ilmu untuk memahami setiap gerak dan kejadian
yang tidak pernah lepas dari ketentuan Tuhan.
Setiap insan yang berakal, setelah ia memahami betapa adil
dan bijaknya Allah SWT mensyari’atkan agama sebagai aturan, mewajibkan ibadah
sebagai tuntunan, maka akan lahirlah kerinduan dalam setiap ibadah, baik yang
sunnah lebih-lebih lagi yang wajib. Hal ini disebabkan oleh adanya kekuatan
hidayah daripada Allah SWT serta usaha yang dilakukan sebagai pembuktian
kehambaan. Sejauhmana pengetahuan yang difahami oleh seseorang daripada nilai
sebuah ibadah maka sebesar itulah juga kerinduan yang akan mengisi hatinya pada
pelaksanaan ibadah.
Kerinduan dalam ibadah haji tidak
akan pernah lahir jika kita tidak memahami erti sesungguh-sungguhnya ibadah
ini. Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan Baitullah al-Haram tempat mulia
yang disandarkan pada kebesaran-Nya. Menjadikan Ka’abah sebagai pusat ibadah
manusia, tanah sekelilingnya Allah SWT haramkan (muliakan) dari kelakuan
kejahatan manusia. Dilarang manusia berburu haiwan buruan di dalamnya. Dilarang
memotong pepohonan yang ada di sekitarnya. Dijadikan-Nya padang Arafah sebagai
hamparan bidang tanah yang Allah SWT muliakan, sebagai tempat wuquf bagi
manusia yang mendapat panggilan. Berduyun-duyun datang dari segala arah penjuru
dunia, penuh mujahadah (bersungguh-sungguh) dan tawaduk (merendah diri).
Menjadi para tetamu Allah dan yang selalu berharap keampunan, sehingga zikir daripada
tasbih, tahmid dan tahlil bergema daripada setiap rongga yang dahaga, haus akan
limpahan kurnia serta maghfiroh-Nya.
Merindukan Baitullah al-Haram
bererti merindukan Allah SWT, kerana Baitullah adalah sesuatu yang disandarkan
pada kebesaran-Nya. Sehingga para penziarah Baitullah al-Haram adalah
orang-orang yang menghendaki ziarah kepada-Nya, rindu dan ingin menjumpai
rahsia disebalik syi’ar-syi’ar Allah SWT di dunia sebagai bentuk perhubungan
cinta yang akan menghantarkan setiap hamba pada kekasihnya di alam akhirat
kelak. Kerinduan kepada Allah SWT akan membawa manusia kepada sebab-sebab
perjumpaan yang hakiki dengan-Nya, kerana orang yang hatinya telah dipenuhi
cinta maka akan selalu rindu kepada sesuatu yang disandarkan pada apa yang
dicintainya.
Semangat dan tekad melaksanakan
ibadah haji
Tiada kemenangan tanpa usaha, tiada
usaha tanpa semangat dan cita-cita. Malah cita-cita tidak akan lahir dengan
sendirinya. Hendaklah bagi orang yang beribadah agar selalu membulatkan tekad
dalam usaha untuk memenuhi panggilan-Nya dalam taat beribadah. Begitulah
seharusnya ibadah haji yang kita tunaikan, agar tekad kita bulat ketika
meninggalkan sanak saudara dan negara tercinta, meninggalkan syahwat dan
kenikmatan, berjalan menuju Baitullah al-Haram dalam keadaan sentiasa
mengagungkan Allah azza wa jallaa, menuju urusan yang sangat mulia. Maka
sesiapa yang mencari sesuatu yang tinggi dan mulia haruslah tergetar dalam
sanubarinya akan pemilik kebesaran itu, iaitu Allah SWT. Hendaklah bersih tekad
dan cita-cita daripada kejahatan riya (menunjuk-nunjuk), kerana tiada amal dan
jerih payah beribadah dapat diterima kecuali dengan keikhlasan yang hanya
berharap redha-Nya.
Manakala sejahat-jahat orang yang
melakukan ibadah haji adalah mereka yang menuju Baitullah al-Haram sedangkan
hatinya berpaling daripada Allah SWT. Maka perhatikanlah tekad dan cita-cita
kita dalam ibadah haji yang disyaratkan dengan keikhlasan hati lagi murni
tindakkan serta menjauhkan diri daripada memilih sesuatu yang buruk sebagai
pengganti daripada yang baik.
Langkahan Bermakna
Saudaraku, adalah menjadi suatu
impian dan niat seseorang muslim yang memahami dan mengerti lagi beriman untuk
mengunjungi Baitullah al-Haram sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi
menunaikan rukun Islam kelima yang wajib kepada setiap orang Islam setelah
cukup segala syarat-syaratnya. Apabila mampu, setiap umat Islam wajib melakukan
ibadah ini. Realitinya, sukar untuk memberi jawapan yang tepat, mengapa
individu dapat mengambil keputusan drastik bagi menunaikan ibadah ini, walaupun
ianya boleh bertangguh?
Saya pernah bertemu dengan seorang
jemaah yang membahasakan dirinya mama. Dia mula bercerita tentang pengalamannya
serta suaminya yang begitu teruja untuk menunaikan ibadah haji ini sebelum
umurnya mencecah 50 tahun.
“Semenjak
mama bekerja di sebuah syarikat swasta yang terkenal setiap bulan mama akan
membuat potongan gaji ke dalam akaun Tabung Haji mama sebanyak RM100. Mama mula
bekerja di situ pada tahun 2000. Seterusnya setiap kali mendapat kenaikan gaji
mama akan terus menambah jumlah potongan Tabung Haji. Itu adalah salah satu
usaha yang mama lakukan untuk merealisasikan impian mama untuk menunaikan haji.
Tapi sebenarnya cara ini memang tidak berapa berkesan sebab apabila terdesak
duit dalam akaun Tabung Haji akan dikeluarkan untuk menampung keperluan
tersebut.”
“Dalam
masa yang sama niat dan keinginan untuk menunaikan haji semakin membuak-buak.
Begitu juga pakcik. Hinggakan mama dan pakcik menetapkan tahun 2010, kita mesti
pergi HAJI!!”.
Dengan nada bersemangat ia meneruskan
cerita. “Maka, pada tahun 2009 selepas hari raya Aidiladha mama dan pakcik
pergi mendaftar di Tabung Haji. Setiap seorang mesti ada dalam akaun sebanyak
RM1300. Bila dah daftar duit tersebut memang tidak boleh dikeluarkan. Mama dan
pakcik tanya kepada pegawai Tabung Haji: “Boleh tak kalau kami nak pergi haji
tahun hadapan?”
Jawab pegawai Tabung Haji: “Itu
encik kena buat rayuan dari sekarang”
“hmmmm…
nak buat rayuan memang boleh tapi wangnya tidak ada dan masih tidak
mencukupi!!. Terdetik dalam hati mama ketika itu.”
“Tiba-tiba
dengan tidak diduga, dapat durian runtuh yang entah gugur dari mana, ini semua
dalam kekuasaan Allah. Mama dan pakcik terus masukkan duit dalam akaun Tabung
Haji RM9000 seorang pada bulan Februari 2010 dan membuat surat rayuan kepada
Tabung Haji. Selepas itu mama dan pakcik berserah kepada Allah disamping doa
yang tidak henti siang dan malam memohon semoga Allah SWT pilih mama dan pakcik
menjadi tetamuNya.
Pada bulan April 2010, ketika itu pakcik berkursus, mama dapat surat dari
Tabung Haji. “Sukacita dimaklumkan tuan / puan telah terpilih untuk menunaikan
haji pada tahun 2010/1423H”.
Meremang bulu roma mama bila membaca surat tawaran itu. Hati berdebar,
gembira bercampur takut. Tidak disangka Allah SWT memakbulkan doa mama dan
pakcik. Mama anggap itulah hadiah paling istimewa yang Allah SWT berikan semasa
pakcik keluar menjalankan tugas dan amanah di jalan Allah SWT. Alhamdulillah.
Mama terus memberitahu atuk dan nenek. Atuk menangis dan bersyukur sebab doa
atuk semasa di Makkah supaya Allah SWT pilih anak-anak atuk yang akan membiayai
atuk dan nenek menunaikan ibadah haji bersama-sama mereka semua sebelum atuk
meninggal dunia telah dimakbulkan Allah SWT”.
Sebagaimana coretan kisah ini, Allah
SWT memberi taufik dan hidayahnya secara luar biasa kepada para hambaNya. Kita
hendaklah sedar, bahawa seluruh kehidupan ini adalah di bawah kawalan dan
kekuasaanNya. Permohonan secara bersungguh-sungguh hampir setiap malam bagi
tempoh yang panjang supaya diberi rezeki, insya Allah akan dimakbulkan. Malah
Allah SWT akan memberi kemuliaan dan kenikmatan yang tidak pernah diimpikan.
Siapa sangka hanya dengan
pendaftaran haji pada tahun sebelumnya telah melayakkannya dipilih untuk
menjadi tetamuNya dalam jangka waktu yang amat singkat. Hakikatnya, itulah
sebahagian peristiwa yang membawa pengajaran yang tersirat bagi mereka yang
mahu mengutip ilmu dan menggunakan akal.