Fadhilat Membaca
Al-Quran Walaupun Tidak Memahami Maksudnya
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ
ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد
وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
.
Banyak
fadhilat jika kita dapat mengamalkan dan mengekalkan untuk selalu membaca Al-Quran walaupun tidak memahami maksudnya.
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي
خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ
﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾
“Bacalah dengan (menyebut)
nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal
darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia)
dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak
diketahuinya.”
(Surah Al-Alaq, Ayat 1-5)
Berikut
adalah kisah yang sungguh menarik yang banyak mengandungi pengajaran, hikmah
dan manfaat jika antum menelaahnya dengan lebih mendalam.
Suatu
ketika dahulu tinggal seorang muslim tua Amerika di sebuah ladang di sebelah
timur Pegunungan Kentucky bersama cucu lelakinya yang masih muda. Setiap
pagi orang tua itu bangun pagi dan duduk berhampiran pendiangan sambil membaca
Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti datuknya dan cuba menirunya
sebagaimana yang dilihatnya setiap hari.
Suatu
hari dia bertanya pada datuknya: “Datuk,
saya cuba membaca Al-Quran sepertimana atuk tapi saya tidak dapat memahaminya,
walaupun ada sedikit yang saya fahami tapi cepat pula terlupa sebaik saya
selesai membaca dan menutupnya. Jadi apa baiknya membaca Al-Quran jika tak
memahami maksudnya?”
Orang tua
itu dengan tenang sambil meletakkan arang batu di tempat pendiangan, menjawab
pertanyaan cucunya: “Cubalah
ambil sebuah raga arang batu ini
dan bawa ke sungai dan bawakan datuk dengan seraga air.”
Cucunya
itu melakukan seperti yang diperintahkan datuknya, tetapi semua air yang dibawa
habis sebelum dia sampai di rumah. Datuknya tertawa dan berkata, “Kamu harus berusaha lebih cepat lagi.”
Orang tua
itu meminta cucunya untuk kembali semula ke sungai bersama raganya untuk
mencuba lagi. Kali ini anak kecil itu berlari lebih cepat, tapi sekali lagi
raganya kosong sebelum sampai ke rumah.
Dalam
kepenatan dan termengah-mengah, dia memberitahu datuknya bahawa mustahil
untuk membawa seraga air menggunakan raga arang batu itu, lalu dia pun pergi
mencari sebuah baldi sebagai ganti raganya.
Orang tua
itu berkata: “Atok
tidak mahu sebaldi air, atok ingin seraga air. Kamu harus cuba dengan lebih
kuat lagi.” Dan dia
turut pergi ke luar untuk menyaksikan cucunya mencuba lagi.
Pada
ketika itulah, anak kecil tersebut menyedari bahawa perkara ini tidak mungkin
berjaya, tapi dia ingin menunjukkan kepada datuknya bahawa meskipun dia berlari
secepat mungkin, air tetap akan habis keluar sebelum sampai di rumah.
Anak
kecil tersebut kembali semula mengambil dan mencelupkan raganya ke dalam sungai
dan kemudian berusaha berlari sekuat hati, tetapi apabila dia sampai
di depan datuknya, raga itu tetap kosong. Dengan termengah-mengah, dia berkata: “Datuk, perlakuan ini tidak ada gunanya, mustahil dilaksanakan.
Sia-sia saja!”
Datuknya
menjawab: “Cu,
mengapa kamu berfikiran perkara ini tak ada gunanya? Cuba lihat dan perhatikan
baik-baik raga itu.”
Cucunya
memperhatikan raganya dan baru dia menyedari bahawa raganya nampak sangat
berbeza. Raga itu telah berubah dari sebuah raga batu yang kotor, dan sekarang
telah menjadi sebuah raga yang bersih, luar dan dalam.
“Cucuku, inilah yang berlaku bila kamu membaca Al-Quran. Kamu mungkintidak mengerti
dan tak memahami atau ingat segalanya tetapi apabila kamu
membacanya, tanpa kamu sedar kamu akan berubah, luar dan dalam. Itu adalah
kerja Allah dalam kehidupan kita.”
Subhanallah
Allah Akbar. Lahauwla wala kuwwata Illah Billahil ‘Aliyul adzim. Berpegang
teguhlah dengan kitab-Nya. Percayalah pada mukjizat dari Maha Esa. Semoga Allah
SWT merahmati dan melapangkan antum agar sentiasa dapat membaca Al-Quran.
Firman
Allah سبحانه وتعالى:
وَنُنَزِّلُ مِنَ
ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌۭ وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ
ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًۭا
“Dan Kami turunkan dari
Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan
(sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan
keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Surah Al-Isra’ 17: Ayat
82)
Dari Ibnu
Mas’ud r.a. berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
عَن ابنِ مَسعُودٍ رَضيَ اللٌهُ عَنهُ قَالَ:قَالَ رَسُولُ اللٌهِ
صَلَى اللٌهُ عَلَي وَسَلَمَ مَن قَرَأ حَرفًا مٍن كَتَابِ اللٌه فَلَه بِه
حَسَنَةُ وَالحَسَنَةُ عَشُرُ اَمُثَالِهَا لآ اَقُولُ الم حَرفُ وَلكِنُ اَلِفُ
وَلآمُ حَرفُ وَميمُ حــَرُفُ. (رواه الترمذي وقال هذا حديث حسن صحيح غريب اسنادا والدارمى
“Sesiapa membaca satu huruf
dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu
sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu
huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)