Monday, December 31, 2012

Hukum Sambutan Tahun Baru Masehi


Soalan
Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?

Jawapan
Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui “hawl” (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.
Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah ” Al-‘Adat Muhakkamah”
Ertinya : “Adat yang tidak bercanggah dengan Syara’ boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan”. (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).
Terdapat satu keadah lain berbunyi : ” Innama tu’tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat”
Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority”. (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya. Sambut di sini

oleh : Ust Zaharuddin

Anda Pemegang Kunci Kebaikan Atau Keburukan?



Setiap insan mempunyai kecenderungan yang tersendiri dalam dirinya. Sama ada kecenderungan kepada kebaikan dan mengajak orang lain juga untuk melakukan kebaikan atau kecenderungan kepada keburukan dan mempengaruhi orang lain agar melakukan keburukan. Anda golongan yang mana satu?

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.[ Ibnu Majah, dihasankan oleh Al-albani]

Jadilah pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya. Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa upah dan ganjaran. Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.

Jangan jadi golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang yang mengikutinya. 

Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka( Imam Muslim )

Hindarilah diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain.

Era IT yang serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.

Namun Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari blog-blog mereka.  golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis  nabi saw.

Semoga Allah merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita ke jalan yang diredaiNya. 
oleh: AbuAqilAdnan

Fenomena Isbal - Isbal Termasuk Kesombongan



و إياك و إسبال الإزار فإن إسبال الإزار من المخيلة و لا يحبها الله
Maksud: Dan berhati-hatilah kamu terhadap perbuatan mengisbalkan pakaian, kerana perbuatan tersebut termasuk kesombongan dan Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak mencintai kesombongan. (Hadis Riwayat Abu Daud dari Jabir B. Sulaim. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih al-Jami’ ash-Shoghir, 1/98, no. 98)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:
أَنَّ الْإِسْبَال يَسْتَلْزِم جَرّ الثَّوْب وَجَرّ الثَّوْب يَسْتَلْزِم الْخُيَلَاء وَلَوْ لَمْ يَقْصِد اللَّابِس الْخُيَلَاء
Maksud: Bahawasanya isbal itu adalah perbuatan melabuhkan pakaian, dan perbuatan melabuhkan pakaian itu adalah termasuk ke dalam ciri-ciri kesombongan. (Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/336)
Juga merujuk sebagaimana penjelasan beliau (al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah) di atas tadi dalam menjelaskan berkenaan hadis tentang ‘Amr B. Zurarah al-Anshori.
Di Antara Isbal Dengan Disertai Sombong Dan Tanpa Sombong
Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah menyatakan bahawa:
Jika isbal itu dilakukan kerana bermegah-megah dan sombong, maka perbuatan tersebut termasuk ke dalam kategori dosa besar dan hukumannya (akibatnya) sangat berat. (Majmu’ Fatwa Ibnu Utsaimin susunan Fahd B. Nashir, m/s. 309. Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 16, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)
Perbuatan isbal yang disertai dengan perasaan sombong, ia adalah suatu kesalahan yang sangat berat berbanding dengan perbuatan isbal tanpa disertai dengan kesombongan yang mana ia lebih ringan (dosanya).
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, selepas beliau menyebutkan hadis-hadis berkenaan isbal, beliau berkata:
وفي هذه الأحاديث أن إسبال الإزار للخيلاء كبيرة وأما الإسبال لغير الخيلاء فظاهر الأحاديث تحريمه أيضا
Maksud: Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa melakukan isbal yang disertai dengan rasa sombong merupakan salah satu dari dosa-dosa besar. Adapun sekiranya dilakukan dengan tidak disertai dengan rasa sombong, dari zahir hadis-hadis tersebut, ia masih tetap juga haram (tidak seberat isbal dengan sombong). (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/263)
Larangan Isbal Adalah Mutlak (Bagi Lelaki) Walau pun Tanpa Sombong
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ
مَرَرْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي إِزَارِي اسْتِرْخَاءٌ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ ارْفَعْ إِزَارَكَ فَرَفَعْتُهُ ثُمَّ قَالَ زِدْ فَزِدْتُ فَمَا زِلْتُ أَتَحَرَّاهَا بَعْدُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ إِلَى أَيْنَ فَقَالَ أَنْصَافِ السَّاقَيْنِ
Maksud: Daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata:
Aku pernah melintasi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan pakaianku (kain) di dalam keadaan turun dengan sendirinya tanpa sengaja. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:
Wahai ‘Abdullah, angkatlah kainmu!
Lalu aku pun mengangkatnya (dari terlondeh turun). Kemudian beliau berkata lagi:
Naikkan tinggi lagi sedikit!
Maka aku pun menaikkannya lagi. Dan setelah peristiwa itu, aku pun sentiasa menjaga kedudukan kainku. Lalu sebahagian orang bertanya kepada ku, “Sehingga paras mana?”
Aku menjawab: “Sehingga ke pertengahan kedua betis”. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah, 10/455, no. 3892)
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata di dalam kitab beliau, Mukhtashar Syamail Muhammadiyah berkenaan hadis tersebut:
Jika Ibnu ‘Umar sebagai seorang sahabat yang mulia dan paling bertaqwa di antara mereka itu pun tidak didiamkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika beliau melihat kainnya turun tanpa disengajakan, malah beliau tetap memerintahkan untuk mengangkat kainnya tersebut. Maka, bukankah situasi ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa adab ini sama sekali tidak berkaitan dengan ada atau tidak adanya faktor kesombongan.
Atau adakah kita akan menyatakan bahawa Ibnu ‘Umar melakukannya kerana sombong (sehingga ditegur oleh Nabi? Lalu kita katakan bahawa yang dilarang oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanyalah isbal dengan disertai sombong sahaja?) Sekali-kali tidak, keadaan itu sama sekali tidak mungkin. Dan telah jelas bahawa Ibnu ‘Umar tidaklah melakukannya kerana sombong, bahkan ia berlaku tanpa sengaja kerana kain tersebut turun (melurut) dengan sendirinya. (Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 46, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)
Benarkah Abu Bakar Melakukan Isbal?
Terdapat sebahagian pihak yang mahu membolehkan isbal, mereka menggunakan dalil berikut, di mana mereka menyatakan bahawa Abu Bakar juga turut melakukan isbal.
عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ أَبُو بَكْرٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ إِزَارِي يَسْتَرْخِي إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَسْتَ مِمَّنْ يَصْنَعُهُ خُيَلَاءَ
Maksud: Daripada Salim, dari Ayahnya, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau berkata:
Sesiapa sahaja yang menjulurkan pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat nanti.
Pada ketika itu Abu Bakar pun berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu sisi belahan kain-ku ini menjulur turun, kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut.
Maka Rasulullah pun menjelaskan: Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya dengan sombong. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/84, no. 5338)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:
وَكَانَ سَبَب اِسْتِرْخَائِهِ نَحَافَة جِسْم أَبِي بَكْر
Maksud: Sebab turunnya (kain Abu Bakar) adalah kerana kurusnya badan Abu Bakar.
(إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَد ذَلِكَ مِنْهُ)
أَيْ يَسْتَرْخِي إِذَا غَفَلْت عَنْهُ ، وَوَقَعَ فِي رِوَايَة مَعْمَر عَنْ زَيْد بْن أَسْلَمَ عِنْد أَحْمَد ” إِنَّ إِزَارِي يَسْتَرْخِي أَحْيَانًا ” فَكَأَنَّ شَدّه كَانَ يَنْحَلّ إِذَا تَحَرَّكَ بِمَشْيٍ أَوْ غَيْره بِغَيْرِ اِخْتِيَاره ، فَإِذَا كَانَ مُحَافِظًا عَلَيْهِ لَا يَسْتَرْخِي لِأَنَّهُ كُلَّمَا كَادَ يَسْتَرْخِي شَدَّهُ . وَأَخْرَجَ اِبْن سَعْد مِنْ طَرِيق طَلْحَة بْن عَبْد اللَّه بْن عَبْد الرَّحْمَن بْن أَبِي بَكْر عَنْ عَائِشَة قَالَتْ : ” كَانَ أَبُو بَكْر أَحْنَى لَا يَسْتَمْسِك إِزَاره يَسْتَرْخِي عَنْ حَقْوَيْهِ ” وَمِنْ طَرِيق قَيْس بْن أَبِي حَازِم قَالَ: ” دَخَلْت عَلَى أَبِي بَكْر وَكَانَ رَجُلًا نَحِيفًا
Maksud: Berkenaan perkataan Abu Bakar: (Kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut), maksudnya:
Salah satu sisi belahan kainnya tersebut menjulur turun apabila aku terlupa darinya (tanpa ada kesengajaan).
Dan di dalam riwayat Ma’mar dari Zaid B. Aslam yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, bahawasanya Abu Bakar berkata:
“Sesungguhnya kain-ku kadangkala menjulur turun dengan sendirinya”.
Jadi, ikatan kain beliau kadangkala menjadi longgar ketika digunakan untuk bergerak, sama ada dengan berjalan atau pun gerakkan yang lain, dan terjadinya keadaan tersebut bukanlah disebabkan oleh kehendaknya sendiri. Ada pun ketika beliau menjaga kain sarungnya (ketika bukan dalam keadaan terlupa) maka tidak akan menjulur turun (sehingga terjadi isbal), kerana setiap kali kainnya turun (melurut ke bawah) beliau segera mengetatkan semula ikatannya.
Dan Imam Ibnu Sa’ad telah mengeluarkan sebuah riwayat dari jalur Thalhah B. ‘Abdillah B. ‘Abdirrahman B. Abu Bakara dari ‘Aisyah, beliau berkata:
“Abu Bakar adalah orang yang tubuhnya sangat kurus sehingga tidak berupaya menahan kainnya supaya tidak melurut turun dari pinggangnya”.
Dan Imam Ibnu Sa’ad juga mengeluarkan sebuah riwayat dari jalur Qais B. Abi Hazim, beliau berkata:
“Aku masuk menemui Abu Bakar dan beliau adalah lelaki yang sangat kurus”. (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/326)
Berkenaan dengan perkataan Rasulullah:
“Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya kerana sombong”,
al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan bahawa:
وَفِيهِ أَنَّهُ لَا حَرَج عَلَى مَنْ اِنْجَرَّ إِزَاره بِغَيْرِ قَصْده مُطْلَقًا
Maksud: Dari perkataan ini, ia merupakan dalil bahawa tidak ada dosa bagi seseorang yang kain (pakaiannya) menjulur turun sehingga terjadi isbal tanpa sengaja. (Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/326)
Imam Ibnu Hazm rahimahullah berkata di dalam kitabnya, al-Muhalla:
وحق كل ثوب يلبسه الرجل أن يكون إلى الكعبين لا أسفل البتة، فان أسبله فزعا أو نسيانا فلا شئ عليه
Haq setiap pakaian bagi lelaki adalah sehingga mata kaki, dan sama sekali tidak boleh lebih rendah lagi (dari itu). Ada pun apabila lelaki tersebut pakaiannya menjadi isbal disebabkan terkejut atau lupa, maka tiada dosa baginya. (Ibnu Hazm, al-Muhalla, 4/73)
Berkenaan hadis kisah Abu Bakar ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menjawab syubhat bolehnya isbal dengan menggunakan hadis tersebut, katanya (di dalam Mukhtashar Syamail Muhammadiyah):
“… Sehingga dari kalangan pendakwah dan selainnya akan anda temui orang-orang yang tidak memiliki kepedulian sama sekali di dalam permasalahan ini. Mereka tidak ambil peduli di ketika mana mereka dengan sengaja menurunkan pakaiannya sehingga terseret ke tanah, serta mengiringinya dengan dakwaan bahawa dia tidak melakukannya dengan sombong, sambil tanpa merasa bersalah (bahkan gembira) hatinya dengan adanya hadis di atas berkenaan kisah Abu Bakar. (Sebenarnya) mereka lalai dengan adanya perbezaan yang sangat ketara di antara Abu Bakar dengan diri mereka. Di mana Abu Bakar benar-benar tidak sengaja melakukannya (malah telah berusaha sedaya-upaya), sebagaimana telah jelas di dalam hadis tersebut menyatakan bahawa kainnya menjulur turun tanpa sengaja. Sedangkan mereka yang menggunakan hadis tersebut untuk membolehkan isbal, mereka melakukannya dengan kesengajaan. Di mana mereka tidak tahu atau sengaja bersikap bodoh terhadap hadis-hadis yang menjelaskan tentang sifat pakaian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam….” (Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 51, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)
Benarkah Nabi Juga Melakukan Isbal?
Terdapat pihak yang menggunakan hadis di bawah ini dengan tujuan menyatakan bahawa Nabi juga turut berisbal, dan ini menunjukkan bahawa isbal tanpa niat sombong adalah tidak mengapa.
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
خَسَفَتْ الشَّمْسُ وَنَحْنُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ يَجُرُّ ثَوْبَهُ مُسْتَعْجِلًا حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ
Maksud: Daripada Abi Bakrah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
Gerhana matahari tiba-tiba berlaku di ketika kami sedang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau pun berdiri lalu menyeret kain luarnya yang menyelimuti tubuhnya dengan tergesa-gesa sehingga beliau sampai masuk ke dalam masjid. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/85, no. 5339. Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/327, no. 5339)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:
فَقَامَ يَجُرّ ثَوْبه مُسْتَعْجِلًا ” فَإِنَّ فِيهِ أَنَّ الْجَرّ إِذَا كَانَ بِسَبَبِ الْإِسْرَاع لَا يَدْخُل فِي النَّهْي
Maksud: Berkenaan penjelasan “فَقَامَ يَجُرّ ثَوْبه مُسْتَعْجِلًا” (Maka beliau pun berdiri lalu menyeret kain luarnya yang menyelimuti tubuhnya dengan tergesa-gesa) perkataan ini sebenarnya mengandungi penjelasan bahawa perbuatan isbal yang disebabkan oleh keadaan tergesa-gesa itu tidaklah termasuk ke dalam kategori larangan. (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/327, no. 5339)
Hadis ini sebenarnya menjelaskan berkenaan persoalan isbal yang berlaku disebabkan terlupa atau kerana tergesa-gesa (kelam-kabut). Dengan ini, tidak timbul persoalan bolehnya isbal jika tidak disertai rasa kesombongan. Sekaligus ia juga masih tetap tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk isbal di dalam keadaan yang penuh kesedaran (senang) manakala hadis ini adalah menunjukkan isbal yang berlaku tanpa sengaja atas sebab tergesa-gesa.