Tuesday, January 15, 2013

UMRAH KEMBALI LAGI - Bahagian 3



Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
Manakala golongan kedua iaitu tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaan Allah SWT ialah mereka yang sebaliknya.  Ada yang pergi ke Makkah dengan niat hanya untuk berziarah atau melancong dan mengalami sendiri pengalaman sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh kebanyakkan orang yang telah menziarahinya.
Ada juga yang dalam keadaan terpaksa mengerjakan ibadah haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga, majikan, kelab atau jemaah tertentu. Ada juga yang merasai kewajipan itu pada dirinya lantas ia berusaha melayakkan dirinya, namun pelbagai niat dan persepsi yang dilahirkan hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’ tanpa membuat persiapan yang menyeluruh merangkumi niat, bekalan ilmu, iman dan amalan. Kebanyakkannya benar-benar berharap mendapat yang terbaik tetapi tidak menepati syarat. Tidak kurang juga yang hanya tangkap muat, asal terlaksana ibadah haji dan umrah sudah dianggap memadai.
       Satu ketika seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah Bin Umar RA apabila melihat rombongan haji sedang melewati satu jalan, beliau berkata: “Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara semakin bertambah ramai.”
     Ungkapan beliau itu bermaksud, para kekasih Allah SWT yang sebenar semakin sedikit. Iaitu mereka yang pergi menunaikan ibadah haji kerana Allah SWT disamping untuk mengambil faedah dan tarbiah daripadanya semakin berkurangan. Sementara dikalangan mereka yang tidak ikhlas telah bertambah dengan hebatnya. Justeru ia menyeru ke arah kesederhanaan dan menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.
Mana tidaknya, jemaah haji sekarang ini lebih didedahkan kepada segala kemudahan yang tersedia bermula dari bimbingan ibadah haji sehinggalah kepada pakej-pakej yang ditawarkan. Malah persekitaran dan aktiviti di tanah suci juga telah menampakkan kemewahan dan bersifat keduniaan. Perkara ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikap dan tindakan dalam persiapan dan keadaan sebagai tetamu Allah.
     Inilah cabaran terbesar di zaman kita ini. Justeru, para jemaah haji hendaklah menunjukkan tanda keghairahan cinta kepada Allah SWT, dan bukannya tanda cinta kepada kemewahan, kesenangan atau kecantikan yang bersifat keduniaan. Membuktikan bahawa pemergiannya untuk menunaikan ibadah haji itu semata-mata mencari keredhaan Allah SWT agar tidak tergolong dalam salah satu daripada golongan yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, umatku melakukan haji kerana empat perkara: Orang kaya melaksanakan ibadah haji kerana melancong. Orang pertengahan menunaikan haji kerana berniaga. Orang miskin menunaikan haji kerana meminta-minta. Orang qari dan para ilmuaan menunaikan haji kerana riya’ dan nama.”  (Riwayat al-Dailamy)

Ujian adalah kifarah        
Namun sifat pengampunnya Allah SWT masih memberi ruang dan peluang untuk para hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri. Walaupun hadirnya mereka mengundang kemurkaan Allah SWT disebabkan sikap yang ada pada diri mereka iaitu memberi keutamaan kepada nafsu dan bukannya untuk menyatakan ketaatan kepada Allah SWT. Tetapi Maha Pengasihnya Allah SWT masih membuka tawaran keampunan untuk hamba-hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri.
Justeru kepayahan, kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum atau selepas menunaikan haji dan umrah adalah kifarat serta ujian Allah SWT untuk para hamba-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidaklah seorang mukmin dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah SWT akan menghapuskan segala kesalahannya.”
(Riwayat Muslim)
 Inilah hakikatnya komunikasi tanpa suara antara Tuhan dengan para hamba-Nya. Ujian terkecil malah yang terbesar adalah takdir Allah SWT. Ia mempunyai maksud tertentu untuk dibuat penilaian. Bagi para tetamu Allah khususnya, ia adalah sebagai ingatan atau kifarat daripada dosa moga hamba-Nya itu akan segera bertaubat, menyedari segala kesilapan sama ada dengan Allah SWT ataupun sesama manusia. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia ataupun di akhirat, kecuali jika kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah SWT mengampuni dosa-dosa tersebut.
Ujian sebenarnya melatih kita untuk mengubah ketrampilan diri bagi mendapat sifat-sifat terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri kepada Allah SWT, harapkan pertolongan Allah SWT, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Semuanya ini tidak dapat kita bezakan melainkan melalui ujian yang disediakan Allah SWT mengikut tahap keimanan kita bagi mencetuskan segala sifat mahmudah dalam diri.
Natijahnya apabila mampu membuat diri terasa berdosa ianya juga adalah hasilan dari sifat terpuji yang telah kita miliki. Kadang-kala Allah SWT dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukannya untuk menghina tetapi untuk memberi ingatan agar kita segera bertaubat dan tidak meneruskan dosa itu sampai bila-bila.
Banyak kisah pengalaman dari para jemaah haji atau umrah yang bertemu dengan pelbagai keadaan manusia yang dibukakan keaibannya oleh Allah SWT.  Mungkin itulah dia kifarat yang kadang-kala sehingga mencederakan perlaksanaan ibadah haji dan umrahnya. Bagaimana pula status haji atau umrahnya itu? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Kita hanya mampu bersangka baik dan menilai dari lahiriah perbuatannya sahaja. Bila sah pada syarak maka sahlah hajinya. Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan nilai penerimaannya berdasarkan keikhlasan yang telah ditunjukkan sepanjang proses perlaksanaan ibadah tersebut.
Bagi mereka yang dikasihi Allah SWT, di dunia lagi Allah SWT hukum, tidak di akhirat, dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan dan sebagainya. Sekiranya kita boleh sabar dan redha, tentulah ada ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, ianya hanya akan menambah dosa pada diri kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada para hambaNya, tidak mahu menghukum kita di akhirat kerana penderitaan di akhirat yakni di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.
Ujian juga adalah untuk menilai sejauhmana keyakinan kita kepada Allah SWT. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman, dan semakin hampir kita dengan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud;
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”
(Surah ali-Imran: 142)
Namun begitu, kegagalan dalam menghayati hikmah ini menyebabkan kita bertambah jauh dengan Allah SWT; mengeluh dan menyesali takdir Allah SWT. Apatah lagi ianya akan menjauhkan kita untuk mengapai kesempurnaan haji dan umrah yang mabrur lagi bertadabbur.

No comments:

Post a Comment