Wednesday, January 16, 2013

MUSIM UMRAH KEMBALI LAGI - Bahagian 4 (akhir)



Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.

Seterusnya golongan ketiga iaitu tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya. Mereka dalam kategori ini pergi menunaikan haji dan umrah hanyalah sekadar kebetulan. Sekadar memenuhi kehendak semasa ataupun dalam keadaan terpaksa apabila sering disapa orang, rakan-rakan atau sanak saudara yang telah pergi menunaikannya. Seolah-olahnya hanya sebagai menyahut cabaran.

Suatu ketika saya pernah ditanya berkenaan dengan adanya dikalangan jemaah haji yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji dan umrah sedangkan sebelum itu dia telah banyak melakukan dosa. Malah setelah pulang dari menunaikan haji pun ia masih lagi meneruskan amalan-amalan dosa yang pernah dilakukannya malah lebih hebat lagi. Bila ditanya, dia seolah-olah mempermain-mainkan saja teguran tersebut.

Ada antara mereka yang menjawab dengan angkuh; “Kau tengok aku. Aku nampak Kaabah, tak terasa panas, tak pernah sesat macam orang yang aku selalu dengar kisah-kisah aneh di Makkah tu. Itu menunjukkan aku ok lah. Tuhan merestui aku. Kalau aku jahat tentu aku ditimpa macam-macam insiden malang seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah aneh tu. Ini tidak. Aku okey, okey saja..’”

Tidak mustahil, ada juga jemaah haji setelah pulang ke tanah air dengan keadaan selamba berterusan membuat dosa seperti membeli nombor ekor atau ramalan (loteri), mendedahkan aurat, menipu, rasuah, khianat dan sebagainya. Inilah sebuah realiti yang berlaku dikalangan para jemaah yang tidak memahami tujuan kefarduan ibadah haji dan umrah yang terdapat padanya latihan, hikmah serta pengajaran.

Perlu diingat, kisah-kisah misteri atau bala kesusahan bukanlah satu kemestian berlaku kepada setiap orang yang berdosa atau yang tidak betul niat dan tujuannya. Ianya hanyalah tarbiah Allah SWT untuk mendidik para tetamu-Nya yang datang serta memiliki keazaman dan niat mengabdikan diri kepadaNya. Kadang-kala ianya bermanfaat sebagai pengajaran supaya hamba-hamba-Nya yang ikhlas itu sedar dan ingat untuk kembali bertaubat.

Namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui segala tujuan yang tersirat di dalam hati-hati manusia, ikhlas ataupun tidak. Boleh jadi Allah SWT akan membiarkan orang yang penuh dengan dosa dan leka akan terus lalai dengan kehidupannya. Na’uzubillahi min zalik. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat.”
(Surah Maryam: 75)

Kesan dari pengabaian kepada dosa mengakibatkan akalnya sudah tidak mampu lagi membezakan antara ibadah dan adat. Biasanya apabila akal tidak berfungsi dengan sempurna sebagaimana sepatutnya, ingatan serta nasihat sudah tidak berguna lagi. Akal pada saat itu telah diseliputi nafsu yang akan membinasakan dirinya sendiri.  Keadaan beginilah yang seharusnya kita takuti dan berusaha menjauhinya. Bila dosa sudah dianggap nikmat serta mengaburi pandangan mata hati maka Allah SWT akan membiarkan kita terus leka dengan kehidupan di dunia ini tanpa hidayah-Nya.

Tanpa mengenali baik dan buruk yang terdapat dalam diri, akan menyebabkan kita hanyut dalam khayalan sendiri tanpa petunjuk dan bimbingan daripada Ilahi. Inilah pentingnya “Tazkiyatul Nafs” yakni membersihkan hati dan jiwa dari sifat-sifat keji dan dari segala penyakit serta keaiban yang akan menyebabkan kita buta dari mengenali Allah SWT dan perkara-perkara kebaikan dalam kehidupan.
Justeru jika tidak dibendung dan diperbaiki, mereka yang termasuk dalam golongan ketiga ini mungkin akan menjadikan amalan haji atau umrah ini hanya sekadar kebanggaan untuk ditunjuk-tunjuk bahawa mereka juga bertaubat serta beribadah. Namun hakikat sebaliknya, taubat mereka hanyalah kepura-puraan, tagis mereka hanyalah kemunafikan lantas mereka pulang ke tanah air dalam keadaan angkuh dengan Allah SWT dan riak sesama manusia.

Mereka kekal menjadi manusia yang derhaka kepada Allah SWT. Ibadah haji dan umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna tetapi kewajipan menutup aurat masih diabaikan, segala perintah dan hukum Allah SWT masih dipertikai, malah segala perkara yang merupakan ibadah masih dicuai. Sesungguhnya mereka ini adalah insan malang yang tersungkur di hadapan pintu syurga.  “Ya Allah selamatkanlah kami dari keadaan ini.”

Sesungguhnya tidak ada ibadah yang paling buruk melebihi ibadahnya seorang yang fasiq (pelaku dosa besar dan dosa kecil yang terus menerus) tanpa taubat sebelumnya. Adakah kita berharap rahmat dan redha-Nya sedangkan kita tidak menjauhi larangan-Nya? Ketahuilah, bahawa syarat daripada ibadah yang diterima Allah SWT semestinya diawali dengan taubatan nasuha, taubat yang bersungguh-sungguh lahir dari hati yang penuh penyesalan, berhenti daripada segala kelakuan yang jahat, tinggalkan segala bentuk maksiat, sedangkan perkara itu semua merupakan penghalang kepada ibadah kita.

Kesimpulan
Saudaraku, layakkah bagi kita melakukan perjalanan panjang menuju Baitullah al-Haram untuk memenuhi panggilan-Nya sedangkan kita masih dalam keadaan zalim pada diri sendiri dan orang-orang di sekitar kita? Tidakkah kita malu sebagai pelaku maksiat mendatangi Baitullah al-Haram hanya untuk diusir dan ditolak amalan serta doa? Maka jika kita ingin diterima atas panggilan ibadah haji atau umrah, bersihkanlah diri dari noda dan dosa, serta penuhilah perintah dan jauhi larangan-Nya sebelum keberangkatan kita menuju tanah yang Allah SWT muliakan.
Dengan membuang semua perkara yang dapat menghalangi ibadah haji dan umrah kita, bererti kita telah mempersiapkan diri untuk memenuhi panggilan-Nya, maka bersiaplah sebagaimana persiapan orang yang akan meninggalkan dunia ini untuk selamanya. Tinggalkan wasiat kepada keluarga, anak dan isteri, kerana seorang musafir sangat dekat dengan musibah kecuali bagi orang yang mendapat perlindungan Allah SWT sahaja.

No comments:

Post a Comment