1. Tetamu yang
dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
Golongan pertama ialah tetamu yang dijemput dengan rahmat
dan keredhaanNya adalah dikalangan mereka yang telah membuat persiapan
seawal niat dan azam untuk menunaikan haji serta umrah lagi. Antara persiapan
yang telah mereka persiapkan;
- Membersihkan jiwa batiniah melalui taubat yang bersungguh-sungguh disamping memperbanyakkan doa-doa khusus supaya dijemput sebagai tetamu-Nya.
- Mempersiapkan diri dengan ilmu amali ibadah haji dan umrah seawal mungkin agar jelas difahami dengan rasa penuh keyakinan di dalam hati pada perlaksanaan dan penghayatan serta hikmahnya.
- Memberi tumpuan dan meningkatkan kualiti ibadah fardu seperti solat, zakat serta puasa malah diperkemaskan dan ditunaikan berserta amalan sunat dengan sebaik mungkin.
- Hubungan sesama manusia diperbaiki, jika ada dosa dan pernah membuat kejahatan kepada sesama insan maka ia akan bersegera memohon kemaafan kepada mereka.
- Dilangsaikan segala hutang yang mampu dijelaskan disamping membuat perancangan dengan teliti agar tidak membebankan mereka yang ditinggalkan.
- Mempersiapkan semua keperluan yang patut bagi meringankan segala bebanan dan tanggungjawab yang bakal ditinggalkan dengan secara yang halal. Mereka ikhlas melakukan yang demikian demi mencari redhanya Tuhan.
Keikhlasan mereka itu adalah antara penyebab kepada segala
urusan mereka dipermudahkan Allah SWT. Malah sepanjang menunaikan ibadah haji
dan umrah juga akan berada dalam ketenangan dan dilimpahi bantuan daripada
Allah SWT. Mereka ini telah benar-benar menghayati dan mempraktikkan suruhan
Allah SWT sebagai bekalan menuju kepada keredhaan-Nya, sebagaimana firman Allah
SWT:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya,
kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara diri), dan bertakwalah
kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
(Surah
al-Baqarah: 197)
Bekalan takwa mereka ialah pemeliharan diri daripada
sifat-sifat mazmumah yakni sifat-sifat keji, memiliki ilmu serta
praktikal ibadah yang sempurna. Disamping itu juga, mereka mempunyai kefahaman
dalam ertikata yang sebenarnya dalam meningkatkan penghayatan pada ibadah
dengan belajar untuk memperbaiki diri dalam setiap praktik amalan haji dan
umrah. Memperelokkan hubungan mereka dengan Allah SWT melalui penyempurnaan
iman dan kecintaan yang hakiki kepada Ilahi, serta menyantuni manusia dalam
semua keadaan sebagai pelengkap keindahan akhlak dan adab melalui hablum
minannas, hubungan mereka semasa manusia.
No comments:
Post a Comment