Musim cuti sekolah
selain sinonim dengan majlis perkahwinan dan kenduri untuk meraikan pasangan
yang telah diijab-kabulkan, ianya juga dikaitkan dengan program Umrah dan
Ziarah bagi mereka yang berkemampuan untuk mengunjungi Makkah al-Mukarramah.
Malah program umrah dan ziarah ini menjadi agenda tahunan bagi mereka yang
telah mendapat nikmat melalui kunjungan ke Tanah Suci dan ibadah yang dilakukan
di sana. Pelbagai tujuan dan gelagat manusia yang tersingkap disebalik
keghairahan untuk mengunjungi Kota Suci ini. Ada yang pergi kerana ingin
melancong dan melihat dengan lebih dekat disamping merasai sendiri kemuliaan
Tanah Haram sebagaimana yang sering menjadi buah mulut para jemaah yang telah
pernah mengunjunginya. Ada juga yang berazam untuk mengambil pengalaman pertama
sebelum dijemput untuk menunaikan ibadah haji yang difardhukan.
Walaupun kunjungan kita ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah
yang sunat, namun harus difahami ibadah umrah juga adalah ibadah yang penting
untuk dihayati, dipelajari manasiknya (cara perlaksanaannya) dan dimurnikan
tujuan serta niat untuk melaksanakannya. Janganlah pula keghairahan itu nanti
menjadi penyebabkan kepada kita terjebak dalam maksiat yang berganda disebabkan
kejahilan yang kita bawa apabila melangkahkan kaki ke sana.
Kategori Tetamu Allah
Saudaraku, fahamilah bahawa ibadah umrah juga adalah ibadah
utama bagi yang mampu dan telah terpanggil untuk menunaikannya. Daripada Abu
Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang
menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon
kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya,
pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).
Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para
tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputannya pula dapat
ditentukan berdasarkan kepada ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan
seseorang jemaah sebelum terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan
umrah. Secara umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori;
- Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
- Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
- Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.
Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam jaminan Allah SWT,
iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT jika mereka memohon
bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala syaratnya. Namun terdapat
perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada mereka setelah mana mereka
tersenarai dalam jemputan-Nya itu.
No comments:
Post a Comment