Dalam kehidupan seharian, kita sering
mendapati orang memuji dan berterima kasih antara satu sama lain, khususnya
kepada seseorang atau golongan yang membantu dan menghulurkan bantuan
kepadanya. Tetapi hakikatnya, ramai yang terlupa untuk memuji dan berterima
kasih kepada Allah SWT malah tidak bersyukur kepada-Nya, sedangkan Allah SWT
telah melimpahkan nikmat ke atasnya dengan begitu banyak. Sedangkan manusia dan
segala makhluk hanyalah perantara antara kita dengan Allah SWT ketika menerima
segala nikmat itu. Namum malangnya sikap manusia yang tidak mengerti dan
mengenali Tuhan yang sebenar, merasakan bahawa segala nikmat yang diperolehinya
itu adalah hasil daripada usahanya sendiri. Sikap inilah yang dinamakan
pendusta nikmat atau kufur nikmat, ianya berlaku disebabkan oleh hati yang
lalai dan sikap tidak tahu mengenang budi.
Bagi golongan
manusia yang mengerti dan memahami malah suka memikirkan tentang segala nikmat
yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya, sudah tentu menyedari betapa
banyak dan tidak terhitungnya nikmat Allah SWT itu. Pada diri manusia sahaja
terdapat nikmat yang tiada nilai jika diamati dengan hati yang insaf. Sebagai
contoh, bayangkanlah dengan nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan kepada
kita; berapakah nilainya? Dua biji mata yang dapat melihat dan membezakan
pelbagai objek, bentuk dan warna, boleh pejam dan celik. Begitu juga mulut yang
boleh menuturkan apa yang dikehendaki oleh hati disamping menjadi sumber utama
kepada kelangsungan hidup manusia melalui makanan dan minuman yang kita nikmati
melaluinya, subhanallah. Begitu indah dan hebat ciptaan Allah SWT, malah
pelbagai lagi bentuk nikmat yang tidak ternilai malah tidak mampu ditukar ganti
dengan dunia dan segala isinya, ada pada diri kita.
Kemudian, cuba fikirkan pula nikmat
akal fikiran yang hanya dianugerahkan kepada makhluk yang bernama manusia, tidak
kepada makhluk-makhluk lain. Dengan nikmat ini kita mampu menguasai segala yang
ada di sekeliling kita, mengetahui apa yang benar dan palsu, yang baik dan
buruk. Dengan akal juga kita boleh mengetahui apa yang bermanfaat untuk dicari
dan diperolehi dan apa pula yang memudharatkan untuk dihindari dan dijauhi.
Allah SWT tidak menciptakan kita
seperti makhluk yang tidak berakal, malah segala makhluk yang diciptakan Allah
SWT di atas muka bumi mahupun di langit dipermudahkan untuk kehidupan manusia.
Hakikatnya segala yang terdapat di dunia ini Allah SWT ciptakan untuk manusia
dan manusia pula diciptakan untuk mengambil manfaat daripadanya. Bahkan,
mungkin ada yang bertanya untuk apa pula manusia itu diciptakan?
Manusia sebenarnya tidak dijadikan
begitu sahaja, tanpa ada hala tuju dan matlamat kejadian. Sedangkan setiap apa
yang ada di sekitar kita walaupun sekecil-kecil kejadian sehinggalah
sebesar-besarnya semuanya ada tujuan dan matlamat diciptakan, tentu sekali
manusia yang hebat ini ada tujuan diciptakan Tuhan. Justeru, jawapan hanya ada
pada pencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah SWT.
Nikmat hidayah kepada agama yang benar
Bagi umat Islam terdapat satu nikmat
yang amat besar yang dianugerahkan Allah SWT kepada mereka, iaitu nikmat
hidayah yang memberi petunjuk dan kefahaman kepada agama dan cara hidup yang
benar. Bagi seseorang yang dilahirkan sebagai seorang Muslim, nikmat ini kurang
dirasai atau mungkin tidak dirasai langsung. Tetapi bagi mereka yang dilahirkan
dalam agama lain kemudian mendapat hidayah kepada Islam, maka perubahan dan
nikmat ini amat dirasai sehingga tidak mampu diungkap dengan kata-kata tentang
betapa hebatnya nikmat dan kebaikan yang telah diperolehinya.
Melalui nikmat hidayah ini, apabila
kita amalkan dengan sepenuh hati dan yakin dengan ketetapan Allah SWT maka kita
akan memperolehi kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman dalam hidup. Sifat
kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman itu terhasil daripada aturan kehidupan
yang selari dengan fitrah dan mencapai kesempurnaan hidup melalui ketetapan
yang telah dilakarkan Allah SWT. Oleh sebab itu, bagi sesiapa yang memilih
jalan hidupnya sendiri dan tidak menuruti aturan kehidupan yang telah
ditetapkan Allah SWT, sudah tentu akan menemui kegagalan dan kekecewaan dalam
hidupnya.
Nikmat adalah amanah
Ada banyak hadis yang memperingatkan
manusia supaya tidak mendustakan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.
Antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a yang
bermaksud:
“Bahawa Allah SWT tidak memberikan sesuatu nikmat yang besar
kepada seseorang hamba-Nya melainkan dia diamanahkan untuk membantu orang lain.
Sesiapa yang tidak melaksanakan amanah ini maka dia mendedahkan nikmat itu
kepada kehilangan.”
Kita mestilah sedar bahawa Allah SWT
limpahkan nikmat-Nya kepada orang-orang yang tertentu supaya mereka
menyampaikannya kepada para hamba-Nya yang lain. Jika mereka menggunakan segala
nikmat itu untuk membantu orang lain dan membuat kebajikan untuk orang ramai,
maka Allah SWT sangat menyukai perbuatan tersebut dan balasannya Allah SWT akan
tambah lagi nikmat-nikmat-Nya. Sebaliknya jika mereka tidak membantu dan
mencurahkannya kepada golongan yang memerlukannya maka Allah SWT akan murka dan
menghilangkan segala nikmat kurniaannya itu daripada tangan mereka.
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ
لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ (٧
Maksudnya : “Demi sesungguhnya, jika
kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.”
(Surah Ibrahim: 7).
Akibat mendustakan nikmat Allah
Segala nikmat yang dikurniakan Allah
SWT kepada kita hendaklah digunakan pada perkara kebajikan dan yang bermanfaat
kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Nikmat-nikmat itu tidak selayak
dan sepatutnya digunakan pada jalan-jalan maksiat apatah lagi dengan
menderhakai Allah SWT.
Misalnya dengan nikmat akal, hendaklah
digunakan sebaik-baiknya untuk manfaat diri sendiri dan orang lain. Akal jangan
disalah gunakan pada jalan-jalan yang jahat seperti menipu orang, mencuri dan
sebagainya. Malah tidak mengunakan akal dengan selayaknya untuk berfikir dan
melihat kebesaran Allah SWT dengan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu
apapun. Begitu juga nikmat pangkat dan kedudukan hendaklah digunakan untuk berkhidmat
kepada masyarakat dan negara dan bukan untuk disalah gunakan untuk kepentingan
diri, keluarga dan kroni semata-mata.
Menggunakan segala nikmat kurniaan
Allah SWT pada jalan yang diredhai-Nya dan bukan sebaliknya, menandakan kita
bersyukur kepada Allah SWT. Segala kesenangan hidup yang dinikmati sekarang
setengahnya tidak dimimpikan oleh generasi yang terdahulu. Kesemuanya hasil
penemuan akal fikiran yang Allah SWT anugerahkan kepada kita sebagai hamba-Nya
di muka bumi ini.
Maka sayugianya manusia bersyukur
kepada Allah SWT di atas segala nikmat limpahan-Nya dan jangan sekali-kali
mendustakannya. Segala nikmat adalah amanah dan ia juga sebagai ujian untuk
menilai bagaimana kita menggunakan dan menguruskannya. Renungkanlah bagaimana
Allah SWT telah menghancurkan kaum Saba’ (di Yamen) akibat pendustaan dan
pengabaian mereka terhadap nikmat-nikmat yang telah Allah SWT anugerahkan
kepada mereka. Firman Allah SWT: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami
hantar kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan
kebun mereka (yang subur itu) dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan
pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta
sedikit pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka;
dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada
orang-orang yang amat kufur.” (Surah Saba’: 16-17)
No comments:
Post a Comment