Thursday, December 27, 2012

HUKUM BELAJAR ILMU TAJWID



Ketahuilah olehmu bahawa menuntut ilmu tajwid itu tiada khilaf pada bahawa hukumnya ialah fardhu kifayah. Dan beramal (membaca al-Quran) dengan ilmu tajwid itu fardhu ain atas tiap-tiap muslim yang mukallaf sama ada lelaki dan perempuan walaupun pada bacaan yang sunat sekalipun.  Maka wajiblah atas tiap-tiap orang  yang membaca al-Quran itu meraikan perkara yang diijma’ atasnya oleh quro’ daripada mengeluarkan segala huruf daripada  makhraj-makhrajnya dan menyempurnakan segala sifat-sifatnya daripada menipiskan yang  muraqqiq dan menebalkan mufakhim dan idghamkan yang mudgham dan izharkan yang muzhar dan ikhfa’kan yang mukhfa dan memanjangkan yang mamdud dan memendekkan yang maqshur dan lain daripada itu .

Dan mengambil (belajar)  daripada mualat  guru yang mengetahui dia dengan demikian itu (segala hukum tajwid)  dan jikalau tiada belajar seseorang itu dengan guru akan ilmu tajwid dan mengamalkannya , nescaya adalah dia termasuk daripada golongan yang rugi yang amat besar dimana dia termasuk di bawah firman Allah Ta’ala :

 الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُم في الحياةِ الدُّنيا وَهُم يَحْسِبونَ أَنهم يُحْسِنونَ صُنعًا
 Maksudnya: “Mereka itulah orang-orang yang telah sesat perjalanan mereka itu dan yang telah batal amalan mereka itu pada masa hidup diatas dunia, walhal menyangka mereka itu bahwa sungguhnya mereka itulah orang-orang yang mengelok  ia akan perbuatan dan amalan yang dibalaskan mereka itu atasnya.”

 Dan  dia juga akan termasuk dalam golongan yang didalam sabda Nabi S.A.W :

  رُبَّ قارِئ للقران يَلْعَنهُ
 Maksudnya: “ Ramailah orang membaca al-Quran walhal  al-Quran itu melaknat akan dia”
yakni apabila mencedera ia dengan segala huruf kalimahnya  atau segala maknanya.

Dan setengah daripada cara beramal dengan bacaan al-Quran ialah dengan membaca secara tartil dan dibacakan dengan sebenar-benar bacaan kerana bacaan seseorang itu tidak sunyi daripada dua perkara:

1) Salah yang Jali
2) Salah yang khofi
 
Rujukan: Tuhfatus Sibyan fi Tajwidil al-Quran karangan Nuh bin Jamaluddin al-Kelantani

No comments:

Post a Comment