Mutakhir ini
penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin
menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah
memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk
dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu
sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan
eksploitasi demi kepentingan duniawi.
Ini
kerana terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan
produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti
keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah
kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan
hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil
menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh,
mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus,
menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba
'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh
dengan kelebihan.
Dalam
hal ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh
al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku
ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat
al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan
diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada
cara perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk
mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau
mengatakan seperti berikut :
وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء.
ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض
بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق
حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن
طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل
لأجله فإن فيه إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح,
وتغييرا لسنة الله في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل,
وهذا تصرف لا يقره دين ولا يرضى به عقل سليم.
من
كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208
"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di
dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya
meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian
dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar
kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa kali atau
diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada
tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan
al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman namun
dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng
daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan
memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat) daripada
kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab,
dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil, perbuatan ini
tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh
Mahmud Shaltut, hal. 208)
Walaupun
fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah
ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan
yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci
al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila
kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan
lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah
yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling
bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menunjukkan produk
mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA
berbanding produk lain.
Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.
Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.
Dalam segmen
tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar
yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan
menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.
Perbuatan
yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat
Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan
Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004
yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan
dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh
membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.
Mesyuarat
Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24
Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air
Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada
penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.
Seterusnya
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006
memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang
kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat
dan penipuan”.
Malah isu Air
Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat
Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak wajar Air
Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan sebagai
memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan
mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan
perubatan moden.
Pada
pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini kadang-kadang
menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden dengan
mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh
awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina,
al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian
daripada perubatan Islam.
Kesimpulannya,
tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki kelebihan untuk
menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun
untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan menjustifikasikan
produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu perbuatan
MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah SWT
dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan
harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya
dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang
mereka telah kerjakan".
No comments:
Post a Comment