Doa Setelah Solat Jenazah: Dari Manakah Asal Usulnya?
Para fuqaha telah menulis dengan panjang
lebar berkenaan dengan kaifiat sembahyang jenazah dalam kitab-kitab mereka.
Bermula dari niat sehinggalah memberi salam. Semuanya ditulis oleh mereka yang mana
itulah yang sabit dari al-Qur`an dan al-Sunnah. Sebaik sahaja selesai memberi
salam, jenazah diangkat menuju ke kuburan tanpa ada sebarang amalan tertentu
secara khusus.
Dalam pada itu, ada segolongan masyarakat, orang
yang menjadi imam dan jemaah di belakangnya menambahkan doa dengan cara yang
tertentu setelah memberi salam malah ada yang membaca beberapa surah dan berdoa
sehingga dua kali. Kaifiat ini tidak pernah diriwayatkan dalam hadis-hadis
sahih. Ini menyebabkan berlaku kelewatan dalam urusan pengkebumian.
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه عَنِ
اَلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ, فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً
فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ, وَإِنْ تَكُ سِوَى ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ
عَنْ رِقَابِكُمْ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w.
sabdanya: “Segerakanlah dengan urusan jenazah sekiranya dia seorang yang soleh
maka jika dia seorang yang baik maka kepada kebaikanlah yang kamu hantarkannya
dan jika dia jenazah bukan bersifat demikian maka kejahatanlah yang kamu
lepaskan daripada batang leher kamu. (al-Bukhari, 1315, Muslim, 50)
Doa untuk orang yang meninggal dunia sangat dituntut.
Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya mengikhlaskan doa
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه
أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه
وسلم قَالَ إِذَا
صَلَّيْتُمْ عَلَى اَلْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوا لَهُ اَلدُّعَاءَ - رَوَاهُ أَبُو
دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ .
Daripada Abu Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Apabila kamu menyembahyangkan mayat maka ikhlaskan doa untuknya.
(Abu Dawud, 3199 dan Ibn Hibban, 3076)
Al-Munawi ketika menghuraikan hadis ini menulis:
“Berdoalah untuk mayat dengan ikhlas dan hati yang hadir kerana maksud daripada
sembahyang ini sebenarnya ialah istighfar dan memohon syafa’at untuk si mati.
Penerimaannya diharapkan apabila memenuhi keikhlasan dan sepenuh hati. Oleh
kerana itu, disyari’atkan dalam sembahyang jenazah beberapa doa yang tidak
disyariatkan dalam doa untuk orang yang masih hidup.” (Faid al-Khabir Sharh
al-Jami’ al-Saghir, jil. 1, hal. 508)
Dari segi adab berdoa hendaklah dimulakan dengan pujian
kepada Allah s.w.t. dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. dan ini sudah ada
dalam solat jenazah iaitu pujian kepada Allah terkandung dalam surah al-Fatihah
yg dibacakan selepas takbir pertama dan selawat selepas pada takbir kedua. Ini
menunjukkan bahawa solat jenazah itu sendiri merupakan doa untuk si mati.
Doa setelah selesai sembahyang jenazah tidak
tersebut dalam kitab-kitab fiqh. Ini menunjukkan bahawa tidak pernah timbul
kepada para fuqaha akan ke wujudannya dan perlunya kepada ijtihad untuk
mengadakannya yang merupakan satu benda baru yang tidak pernah ada sebelum ini.
Kitab-kitab mu’tabar dalam mazhab Syafi’iyyah tidak
menyatakan adanya doa selepas solat jenazah sebagai salah satu kaifiat solat
jenazah seperti al-Muhadhdhab oleh al-Shirazi, Al-Iqna’ karangan al-Syarbini,
termasuklah kitab kontemporari mazhab Syafi’i iaitu Al-Fiqh al-Manahaji oleh
Mustafa Khin dan lain-lain.
Malah al-Shirazi umpamanya menyatakan, apabila selesai
sembahyang ke atas jenazah hendaklah segera dikebumikan dan tidak perlu
menunggu orang lain hadir untuk sembahyang ke atasnya kecuali pemerintah akan
boleh ditunggu sekiranya tidak berlaku perubahan pada jenazah itu. (al-Majmu’
Fi Sharh al-Muhadhdhab, jil. 5, hal. 244)
Telah sabit dalam hadis-hadis tentang doa dalam
sembahyang jenazah dan doa supaya beristighfar untuk si mati ketika selesai
dari pengkebumian tetapi tidak ada pula diriwayatkan berdoa setelah sembahyang
jenazah.
وَعَنْ عُثْمَانَ رضي الله
عنه قَالَ كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله
عليه وسلم إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ وَقَالَ:
"اِسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ, فَإِنَّهُ الْآنَ
يُسْأَلُ" - رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ الْحَاكِم ُ.
Daripada ‘Uthman kata, Rasulullah s.a.w. apabila
selesai dari pengkebumian baginda berdiri sambil bersabda: “Mintalah keampunan
untuk saudaru kamu dan mintalah keteguhan untuknya kerana dia sekarang sedang
disoal. (Abu Dawud, 3221 dan al-Hakim)
Dalam al-Muhit al-Burhani, jili. 3, hal. 368,
pengarangnya Burhanuddin Mahmud bin Ahmad al-Najjari menulis:
ولا يقوم الرجل بالدعاء بعد صلاة الجنازة؛
لأنه قد دعا مرة، لأن أكثر صلاة الجنازة الدعاء.
Tidak boleh seseorang itu berdoa sesudah sembahyang
jenazah kerana dia telah pun berdoa kerana sebahagian besar sembahyang jenazah
adalah doa.
Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih,
menulis:
ولا يدعو للميت بعد صلاة الجنازة لأنه
يشبه الزيادة في صلاة الجنازة
Tidak boleh seseorang itu berdoa sesudah sembahyang
jenazah kerana ia menyerupai penambahan dalam sembahyang jenazah. ( jil. 5,
hal. 431)
Ini kerana penambahan kepada sesuatu yang sudah lengkap
dikira sebagai bid’ah walaupun perkara itu dianggap elok. Bukankan sudah
memadai doa-doa yang telah sabit yang disyariatkan untuk didoakan dalam
sembahyang jenazah bukan sesudahnya.
oleh : Muhammad
Hanief bin Awang Yahaya - www.darulkautsar.net
No comments:
Post a Comment