Dari Shuhaib
r.a katanya Rasulullah s.a.w bercerita: “Pada zaman dahulu ada seorang raja
mempunyai seorang tukang sihir. Ketika usia tukang sihir itu bertambah lanjut,
dia berkata kepada raja, “Aku sudah tua. Kerana itu kirimlah kepada ku seorang
pemuda supaya ku ajari dia ilmu sihir.” Maka dikirimlah kepadanya oleh raja
seorang pemuda untuk belajar ilmu sihir. Di jalan yang dilalui si pemuda setiap
hari hendak pergi belajar sihir ada seorang pendeta. Si pemuda selalu singgah
ke tempat pendeta tersebut dan menyemak ajaran-ajarannya. Ternyata ajaran
pendeta tersebut sangat dikagumi si pemuda. Apabila dia terlambat sampai ke
tempat tukang sihir, dia dipukul oleh tukang sihir. Hal itu diadukannya kepada
pendeta. Kata pendeta, “Jika engkau takut dimarahi tukang sihir katakan
kepadanya bahawa engkau terlambat kerana halangan keluarga. Dan jika engkau
takut dimarahi keluargamu, katakan bahawa engkau terlambat pulang kerana tukang
sihir.”
Sementara
keadaan berjalan demikian rupa, pada suatu hari muncul seekor binatang besar
menghambat orang ramai lalu lintas di jalan raya. Kata si pemuda, “Hari ini aku
harus tahu, mana yang lebih ampuh ilmu tukang sihir dengan ilmu pendeta.” Maka
diambilnya batu lalu dia mendoa, “Wahai Allah! Jika ilmu pendeta yang lebih
Engkau sukai dari ilmu tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini supaya orang
ramai dapat lalu.” Lalu dilemparnya binatang itu dan mati seketika itu juga,
sehingga orang ramai dapat lalu. Si pemuda datang kepada pendeta menceritakan
peristiwa yang baru dialaminya. Kata pendeta, “Hai anak ku! Mulai hari ini
ternyata engkau lebih unggul daripada ku. Engkau telah mencapai sasaran yang ku
duga. Tetapi engkau akan mendapat ujian. Jika engkau diuji, janganlah engkau
mengatakan bahawa aku gurumu.
Si pemuda
sudah pandai mengubati orang bisu, mengubati penyakit kusta, dan mengubati
berbagai penyakit orang banyak. Hal itu terdengar oleh seorang Menteri Raja
yang buta matanya. Maka didatanginya si pemuda dengan membawa berbagai hadiah
yang banyak. Katanya, “Jika engkau dapat menyembuhkan dari kebutaan, maka
hadiah-hadiah ini ku berikan kepada mu.” Jawab pemuda, Aku tidak dapat
menyembuhkan seseorang. Yang menyembuhkan sesungguhnya hanya Allah. Anda mahu
iman kepada Allah, aku akan mendoa semoga Dia berkenan menyembuhkan Anda.” Maka
imanlah dia kepada Allah, lalu Allah Ta’ala menyembuhkannya. Kemudian Menteri
Raja datang ke majlis raja sebagaimana biasa. Sang Raja bertanya kepadanya,
“Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Jawab Menteri, “Tuhan ku!” Titah
Raja, “Engkau punya Tuhan selain aku?” Jawab Menteri, “Tuhan ku dan Tuhan Anda
ialah Allah!” Maka diseksanya Menteri tersebut, sehingga dia terpaksa
menunjukkan pemuda yang mengubatinya.
Maka
diiringlah si pemuda ke hadapan raja. Titah Raja, “Hai anak ku! Sungguh hebat
ilmu sihirmu. Engkau dapat menyembuhkan orang buta, menyembuhkan penderita
kusta, dan engkau telah berjasa begini dan begitu.” Jawab pemuda “Aku tidak
dapat menyembuhkan siapa pun. Sesungguhnya yang menyembuhkan hanya Allah Ta’ala
semata-mata.” Maka diseksanya lah si pemuda sehingga dia terpaksa menunjukkan
pendeta. Maka digiring pula pendeta ke hadapan raja. Titah Raja, “Keluarlah
(murtadlah) dari agamamu. Pendeta menolak perintah raja tersebut. Raja
memerintahkan supaya mengambil gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepala
pendeta. Lalu dibelah kepalanya sehingga kedua belahannya jatuh. Kemudian
dihadapkan pula Menteri Raja. Maka diperintahkan kepadanya, “Keluarlah
(murtadlah) kamu dari agamamu!” Menteri Raja menolak. Maka diletakkan gergaji
di tengah-tengah kepalanya, lalu dibelah sehingga kepalanya jatuh.
Kemudian
dihadapkan si pemuda. Maka diperintahkan pula kepadanya, “Keluarlah kamu dari
agamamu!” Tetapi si pemuda menolak lalu dia diserahkan kepada para pengawal
raja. Titah Raja, “Bawa dia ke puncak-puncak gunung. Sampai di sana, jika dia
mahu keluar dari agamanya, jangan diapa-apakan. Tetapi jika dia menolak,
lemparkan ke jurang yang dalam. Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda ke
puncak gunung. Sementara itu si pemuda mendoa, “Wahai Allah, selamatkanlah aku
dari kejahatan mereka dengan cara apa saja yang Engkau kehendaki.” Maka
bergoncanglah (gempa) gunung, sehingga para pengawal raja jatuh semuanya ke
jurang. Dan si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Raja
bertanya, “Mana para pengawal, apa yang terjadi dengan mereka?” Jawab pemuda,
“Allah menyelamatkan dari kejahatan mereka.”
Maka diserahkannya si pemuda
kepada para pengawal yang lain dengan titahnya, “Bawa dia dengan perahu ke
tengah-tengah lautan. Jika dia mahu keluar dari agamanya, biarkan dia. Tetapi
jika dia menolak, lemparkan dia ke laut. Maka berangkatlah mereka membawa si
pemuda. Si Pemuda mendoa, “Wahai Allah! Selamatkanlah aku dari kejahatan mereka
dengan cara bagaimanapun Engkau kehendaki.” Maka terbaliklah perahu mereka
sehingga para pengawal tenggelam semuanya. Si pemuda pulang kembali ke istana
raja dengan berjalan kaki. Tanya Raja, “Ke mana para pengawal, apa yang
terjadi?” Jawab pemuda, “Allah melindungi ku dari kejahatan mereka.”
Kata pemuda
kepada raja, “Anda tidak akan dapat membunuh ku sebelum Anda lakukan perintah
ku.” Tanya Raja, “Apa itu?” Jawab pemuda, “Kumpulkan seluruh rakyat di suatu
lapangan. Lalu salib aku di situ pada sebatang pohon. Kemudian ambil anak panah
dari tempat panah ku dan letakkan di busur dengan membaca: Bismillahi rabbil
ghulam (Dengan nama Allah, Tuhan Pemuda ini). Sesudah itu panahlah aku. Bila
Anda lakukan seperti itu maka Anda akan berhasil membunuh ku.” Maka
dikumpulkannya lah seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu disalibnya si pemuda
pada sebatang pohon. Kemudian di ambilnya panah lalu dipasangnya pada busur
dengan membaca: Bismillahi rabbil ghulam. Maka dipanahnya lah si pemuda, kena
pelipisnya. Si pemuda meletakkan tangannya di tempat yang kena panah lalu dia
mati. Maka berkata orang banyak, “Kami iman dengan Tuhan si pemuda! Kami iman
dengan Tuhan si pemuda! Kami iman dengan Tuhan si pemuda!”
Pernyataan
rakyat tersebut dikhabarkan orang kepada raja. Kata mereka, “Tahukah Anda,
bahawa apa yang Anda takutkan selama ini sungguh telah terjadi. Rakyat telah
menyatakan iman kepada Allah.” Maka diperintahkan oleh raja supaya membuat
parit di pintu-pintu jalan utama, lalu dibuat orang parit yang di dalamnya
dinyalakan api. Titah raja, “Siapa tidak keluar dari agamanya, lemparkan dan
bakar mereka dalam parit.” Maka dilaksanakanlah perintah raja tersebut. Pada
giliran seorang wanita yang sedang menggendong bayi, wanita itu mundur maju
akan masuk ke dalam parit. Maka berkata bayinya, “Wahai ibu! Tabahkanlah hati
ibu kerana ibu berada dalam kebenaran.” mari sini
Sahih Muslim
Jilid 4. Hadith Nombor 2519.
No comments:
Post a Comment