Monday, October 8, 2012

SYIRIK



Syirik bermakna menyekutukan Allah. Ia dalah dosa paling besar dalam kumpulan dosa-dosa besar. Sabda Rasulullah s.a.w.;

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ: اَلإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَوْلُ الزُّورِ أَوْ قَالَ وَشَهَادَةُ الزُّورِ
“Dosa-dosa paling besar ialah;
1. Mensyirikkan Allah
2. Membunuh manusia
3. Menderhakai dua ibu-bapa
4. Memberi kesaksian palsu/dusta”.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dari Anas r.a.)

Syirik terbahagi kepada dua jenis melihat kepada kesannya kepada iman dan aqidah;
1. Syirik Akbar (besar)
2. Syirik Asghar (kecil)

Syirik Akbar


Syirik Akbar atau syirik besar ialah syirik yang mengeluarkan seseorang itu dari iman (yakni menyebabkan ia murtad dari agama) dan di akhirat dosanya tidak akan diampunkan Allah dan ia tidak akan dapat masuk syurga selama-lamanya. Contoh Syirik Akbar ini ialah;


1. Menyembah selain Allah seperti menyembah matahari, patung-patung berhala, binatang (lembu dan sebagainya), manusia (seperti perbuatan penganut Kristian yang menyembah nabi Isa, penganut Budha yang menyembah patung Budha, orang-orang yang menyembah Fir’aun) dan sebagainya.


2. Berdoa kepada selain Allah seperti berdoa kepada kubur-kubur, makhluk-makhluk halus (hantu, jembalang dan sebagainya), pokok-pokok puaka, busut-busut dan sebagainya. Doa adalah sebahagian dari ibadah, maka tidak harus ditujukan melainkan kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w.;


اَلدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
“Doa itu adalah ibadah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi dari Nu’man bin Basyir r.a.)

3. Memberi hak atau kuasa kepada makhluk untuk membatal hukum Allah atau memindanya.

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ وَلَوْلاَ كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan –bagi mana-mana bahagian dari agama- sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (asy-Syura; 21)

Syirik Asghar


Syirik Asghar atau syirik kecil ialah syirik yang tidaklah mengeluarkan seseorang itu dari agama, namun ia tergolong dalam dosa-dosa besar dan dibimbangi orang yang melakukannya atau berterusan melakukannya akhirnya akan mati sebagai seorang kafir jika tidak diberi rahmat oleh Allah dengan taubat dan keampunanNya. Berdasarkan penegasan dari Nabi s.a.w., antara perkara-perkara yang membawa kepada syirik asghar ialah;


1. Bersumpah dengan nama selain Allah. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa bersumpah dengan nama selain Allah maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ibnu ‘Umar)


2. Menggantung tangkal. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa menggantung tangkal sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin Amir r.a.)


3. Berjampi menggunakan kalimah-kalimah syirik atau yang tidak diketahui maknanya. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a.)


4. Sihir. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa menyimpul satu ikatan, kemudian menghembusnyanya, sesungguhnya ia telah melakukan sihir dan sesiapa yang melakukan sihir, maka sesungguhnya dia telah syirik. Dan sesiapa menggantung sesuatu (tangkal) akan diserahkan urusannya kepada tangkal tersebut”. (Riwayat Imam an-Nasai dari Abu Hurairah r.a.)


5. al-Kahin dan al-‘Arraf (Tukang tilik, tukang ramal). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


6. Mempercayai sial sesuatu. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a.)


7. Riyak. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya suatu yang paling aku bimbangi terhadap kamu ialah syirik paling kecil”. Para sahabat bertanya; “Apa itu syirik paling kecil, ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah; “Iaitulah riyak”. (Riwayat Imam Ahmad dari Mahmud Ibn Lubaid r.a.)
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment