BACAAN
SELAIN AZAN DI PEMBESAR SUARA PATUT DIHENTIKAN
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Saya
ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan
pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan
orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba
mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang
patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini
adalah‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti
berikut;
1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara,
hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan
suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi
s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan
jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun
kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain
ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka
sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat
seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.
3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan
bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara.
Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu
mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu
mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima
minit.
4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang
menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam
hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid),
baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika
itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir
dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan
sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan
melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan
di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau
menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang
bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan
sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara
bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid.
Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih
al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:
“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis
ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat
menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa
yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal
perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan
tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang
berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita,
khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang
telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu
dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas
pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya,
masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti
jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”.
(Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin:
http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang
tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim.
Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa
bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu
orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan
azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya
lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.
Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan
nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran
dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu
bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. (
Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar
suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat
keadaan pembesar suara pada zaman ini?
6. Maka, dengan itu
umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara
yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan
kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam
yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka
kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak. UMRAH
No comments:
Post a Comment