Friday, October 12, 2012

Guru Agama Mendahulukan Bid’ah



Berlaku bid’ah dalam ibadah kerana guru agama mengajarkannya. Agak mustahil masyarakat awam ingin mencipta bid’ah dalam solat kecuali guru merekalah yang mendahului mereka. Bila ditanya siapa yang mengajar? Mereka dengan begitu yakinnya menjawab, guru kepada gurunya.  Bila ditanya lagi dari mana guru kepada gurunya mendapat ilmu itu? Dijawabnya lagi hingga tidak dapat dijawab. Maka dengan secara langsung, mereka gagal mendatangkan sanad amalan sunnah. Lalu, apa yang akan terkeluar dari mulut mereka ialah,
“nak buat amal baik pun dapat dosa jugakah?”

Maka kita akan katakan kepada mereka ini,
“Masalahnya bukan amal yang baik, tetapi kamu meneladani sesuatu yang baru sedangkan kamu meninggalkan yang sunnah.”

Sahabat Nabi Mendahulukan Petunjuk Nabi

Begitu juga kita lihat daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma apabila datang seorang tokoh besar tabi’in yang bernama Thawus ibnu Kaisan. Apabila berkata Thawus ibnu Kaisan, “Sesungguhnya aku ingin menunaikan solat selepas Asar dua rakaat.”
Maka berkata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang kita bersolat dua rakaat selepas daripada ‘Asar.”
Akan tetapi kata Thawus ibnu Kaisar, “Wallahi, sa-ushalli (Demi Allah, aku akan solat).”
Maka Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma membacakan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Ahzab yang telah dibacakan tadi, maksudnya:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالاً مُّبِيناً
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (Surah Al-Ahzaab: 36)

Maka Thawus ibnu Kaisan menarik semula perkataannya. Begitu juga dengan Sa’id ibnu al-Musayyib, seorang tabi’in yang besar, apabila menegur seorang lelaki yang menunaikan solat sehingga lebih dua rakaat sesudah solat subuh, maka beliau berkata kepada lelaki tersebut, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang kita daripada solat selepas daripada solat subuh.” Maka berkata lelaki ini, “Adakah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyeksaku kerana solatku?” Kata Sa’id ibnu al-Musayyib, “Allah Subhanahu wa Ta’ala akan siksa kamu kerana menyelisihi petunjuk Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.” Beliau lantas membacakan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, maksudnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Hujurat: 1)

“Maka hendaklah kamu menjauhi urusan-urusan yang menyelisihi petunjuknya dari petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, dibimbangkan penyelisihan tersebut akan membawa fitnah dan akan mendatangkan azab yang sangat-sangat pedih.”

Maka ini merupakan sikap para ulama terdahulu, sikap para sahabah, sikap para tabi’in. Bagaimana pula sikap imam-imam kita, bagaimana sikap Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullahu Ta’ala, bagaimana sikap Imam-imam agung yang lain? Mereka ini meneladani sunnah, hanya sahaja pengikutnya pula yang melakukan bid’ah.

Sunnahnya pada hari Jumaat memakai wewangian dan siwak di hari Jumaat.
Merupakan hak Allah atas setiap Muslim untuk mandi di setiap tujuh hari, dengan mencuci kepala dan seluruh badannya. Malah, barang siapa yang mandi seperti mandi janabah pada hari Jumaat, kemudian ia pergi ke masjid pada waktu yang pertama, maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor unta.

و حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ سَوَّادٍ الْعَامِرِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ أَنَّ سَعِيدَ بْنَ أَبِي هِلَالٍ وَبُكَيْرَ بْنَ الْأَشَجِّ حَدَّثَاهُ عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ الْمُنْكَدِرِ عَنْ عَمْرِو بْنِ سُلَيْمٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ غُسْلُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ وَسِوَاكٌ وَيَمَسُّ مِنْ الطِّيبِ مَا قَدَرَ عَلَيْهِ إِلَّا أَنَّ بُكَيْرًا لَمْ يَذْكُرْ عَبْدَ الرَّحْمَنِ وَقَالَ فِي الطِّيبِ وَلَوْ مِنْ طِيبِ الْمَرْأَةِ

Dan telah menceritakan kepada kami Amru bin Sawwad Al Amiri telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Wahb telah mengabarkan kepada kami Amru bin Harits bahawa Sa'id bin Abu Hilal dan Bukair bin Al Asyaj keduanya telah menceritakan kepadanya dari Abu Bakr bin Al Munkadir dari Amru bin Sulaim dari Abdurrahman bin Abu Sa'id Al Khudri dari bapaknya bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap Muslim yang muhtalim (telah dewasa). Begitu pula menggosok gigi, memakai wewangian sekadar yang dapat ia lakukan." Kemudian Bukair tidak menyebutkan Abdurrahman. Dan ia berkata, berkenaan dengan wewangian; "Meskipun dengan wewangian wanita (bauan yang lembut)." (Hadis Riwayat Muslim No 1400)

Generasi islam pertama diuji dengan ujian yang amat berat oleh masyarakat jahiliah. Namun iman mereka terpancar jelas. Mereka tidak memilik kitab tauhid yang tebal, mereka tidak mengerti faham salaf atau khalaf. Mereka juga tidak mengerti ciri-ciri ahlus sunnah wal jamaah. Mereka hanya tahu Al Ikhlas. "Ahad", "Ahad". Ada yang mati mempertahankan aqidah. Zaman itu telah berlalu. Kini zaman orang Islam mengaji kitab tebal-tebal. Ada jutaan buah kitab dalam pelbagai cabang ilmu Islam diterbitkan. Perbahasan mengenai tauhid berlanjutan sehingga berabad-abad lamanya tanpa ada jalan penyelesaian kerana dari hari ke hari, berlaku banyak perkara bid'ah. Umat masih kehilangan keimanan seperti generasi gemilang.

Imam Syafii, Imam Nawawi, Ibnu Hajar AlAsqolani, Imam Ahmad, Imam Malik dan semua para Imam ahlu sunnah yang terkemuka memiliki banyak kitab rujukan. Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengatakan, “Untuk memiliki kitab Muhammad bin al-Hasan rahimahullah, aku menghabiskan wang sebanyak 60 dinar. Kemudian aku mempelajarinya lalu aku tuliskan sebuah hadis bagi setiap permasalahan. Maksudnya adalah bertujuan melakukan bantahan (atau koreksi dengan mengemukakan dalil).” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 33-34. Dinukil dari karya milik Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 34 – Maktabah Adhwa as-Salaf) tetapi ahlu bid'ah hanya berbekalkan satu dua kitab yang nipis (seumpama kitab kuning dan yang seumpamanya) lalu melakukan perkara bid'ah. Inilah kesalahan total dan fatal umat Islam zaman sekarang. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment