Allah telah menurunkan al-Qur’an sebagai kitab hidayah dan panduan untuk kebaikan umat manusia seluruhnya dan sebagai rahmat kepada mereka. Al-Qur’an adalah penyampaian kepada maksud dan kehendak Allah daripada hamba-Nya.
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى
وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
Dan Kami turunkan
kepadamu Al-Qur`an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk,
serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
(Surah al-Nahl: 89)
Maksud tertinggi daripada al-Qur’an ialah membaiki atau kebaikan
individu, masyarakat dan tamadun. Kebaikan individu bergantung kepada pemurnian
dan penyucian jiwa. Asasnya ialah akidah yang sahih kerana akidah adalah sumber
kepada adab-adab pekerti dan pemikiran akal dan minda. Kemudian pembaikan pada
amalan zahir iaitu ibadat zahir seperti solat, zakat, ibadat. Manakala aspek
batin pula seperti berakhlak mulia dengan meninggalkan hasad dengki, sombong
dan sebagainya.
Kebaikan dan keelokan masyarakat akan terhasil mula-mula sekali
dengan kebaikan individu kerana individu adalah anggota atau juzu`- juzu` yang
membentuk masyarakat. Selain itu, kebaikan masyarakat dapat dicapai dengan
menentukan dan menggariskan urusan dan tindak tanduk masyarakat sesama mereka.
Supaya kehendak-kehendak mereka tidak bertembung. Inilah apa yang disebut
sebagai ilmu muamalat atau mengikut ahli falsafah siyasah madaniyyah (politik
kemasyarakatan atau pentadbiran sivil)
Kebaikan atau pembaikan tamadun adalah lebih luas lagi kerana ia
menjaga sistem alam atau dunia Islam, menggariskan hubungan antara komuniti dan
negara-negara demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan bersama. Ia juga
merangkumi penjagaan kemaslahatan umum umat Islam, menjaga maslahah yang lebih
umum daripada maslahah yang khusus apabila berlaku pertentangan. Inilah yang
dinamakan sebagai ilmu tamadun dan ilmu sosiologi.
Kehendak Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an adalah
menjelaskan atau penghuraian tentang tindak-tanduk dan perlakuan yang merujuk
kepada memelihara objektif-objektif agama dan ini terkandung di dalam ayat yang
Allah perintahkan kepada hamba-Nya.
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ
وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
(Al-Quran ini) sebuah
Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang
banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti
kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat
mengambil iktibar. (surah Sad: 29)
Membaiki akidah dan mengajar akidah yang sahih ini merupakan sebab
yang paling besar dan kuat untuk mengubah manusia kerana ia menghilangkan dari
jiwa sebarang ketundukan terhadap selain dari Allah. Membersihkan hati dari
sangkaan-sangkaan yang timbul dari syirik dahriyah (fahaman tidak bertuhan).
Inilah yang diisyaratkan oleh ayat 101 dari Surah Hud.
وَمَا ظَلَمْنَاهُمْ وَلَكِنْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ فَمَا أَغْنَتْ
عَنْهُمْ آَلِهَتُهُمُ الَّتِي يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ لَمَّا
جَاءَ أَمْرُ رَبِّكَ وَمَا زَادُوهُمْ غَيْرَ تَتْبِيبٍ
Dan tiadalah Kami
menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. maka
berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong
mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka
lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
Pemurnian akhlak
Allah s.w.t. berfirman:
وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
Dan sesungguhnya
engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (Surah al-Qalam: 4)
‘A`ishah menjelaskan ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah
s.a.w., akhlak baginda adalah al-Quran.
Perundangan
Iaitu hukum-hukum khusus dan umum.
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ
بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
Sesungguhnya Kami
menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,
supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah
tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela
bagi orang-orang yang khianat. (al-Nisa`: 105)
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ
الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ
وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا
تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ
شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ
لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آَتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ
مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran)
dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang
telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. maka
jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa
nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari
kebenaran. bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan)
suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). dan
kalau Allah menghendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu
dalam ugama yang satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa
yang telah disampaikan kepada kamu. oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat
kebaikan (beriman dan beramal soleh). kepada Allah jualah tempat kembali kamu
semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
(al-Ma`idah: 48)
Al-Qur’an telah menghimpunkan kesemua hukum-hukum pada kebiasaan
dalam bentuk yang kulli (prinsipal) dan hukum-hukum dalam bentuk juz`i tentang
perkara yang penting.
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ
نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada
kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. (al-Ma`idah:3)
Daripada ayat-ayat yang bersifat prinsip itu Allah s.w.t.
memerintahkan supaya dijadikan asas bagi proses pembinaan hukum dan Qiyas dalam
perkara yang tidak jela dan tidak ada hukum yang terperinci.
Al-Shatibi berkata: “al-Qur`an itu dengan sifatnya yang ringkas
adalah lengkap menghimpunkan (segala ma’na) dan Shari’ah itu sempurna dengan
sempurnanya wahyu dan tidaklah ia menjadi lengkap bagi keseluruhan agama
melainkan yang terkumpul di dalamnya adalah perkara prinsip yang kulli. Masuk sini....
No comments:
Post a Comment