Thursday, December 6, 2012

Pesananan Karkun Untuk Karkun



Pesanan Buat Sahabat-Sahabat Di Dalam Jemaah Tabligh
Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barokatuh…
Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana sekali lagi kita telah dibangkitkan dalam keadaan bernyawa dan masih lagi diberi pinjaman nyawa kepada kita untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dan mengutip segala hikmah yang disediakan oleh-Nya buat kita semua.
Wahai sahabat-sahabatku di dalam jemaah tabligh (JT), pertama-tamanya aku memohon seribu kemaafan andai nasihat atau kritikanku di dalam tulisan ini nanti ada yang mengguris hati sahabat sekalian.
Wahai sahabat-sahabatku di dalam JT, ini adalah pesanan ikhlas dariku buat kalian semua supaya kita sama-sama dapat merubah daripada yang buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pandangan yang mengatakan JT ini sesat, ahli bidaah dan sebagainya. Dan ada juga pendapat yang mengatakan bahawa JT ini adalah satu-satunya Jemaah Islam yang benar. Tapi aku tidak mahu mempertikaikan itu semua kerana aku lebih senang untuk mengambil pendapat yang sederhana dan pertengahan.
Wahai sahabat-sahabatku di dalam JT, tidakku nafikan bahawa jasa kalian kepada Islam begitu besar. Siapa yang mampu dan sanggup untuk mengajak manusia ke masjid dari rumah ke rumah dan dari pintu ke pintu jika tiadanya kalian? Siapa yang akan mengimarahkan masjid jika tanpa kalian? Sungguh aku mengakui bahawa jasa kalian untuk Islam teramat besar.
Cuma aku melihat ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan oleh kalian. Di sini aku sampaikan beberapa perkara yang aku rasakan penting untuk kalian tahu.

1) Double Standard Ketika Memilih Kuliah
      Aku melihat bahawa kebanyakkan kalian (p/s : tidak semua) hanya mendengar kuliah atau ceramah atau bayan yang disampaikan oleh ustaz-ustaz Tabligh sahaja. Apabila ada ustaz-ustaz tabligh yang memberi bayan atau ceramah, maka kalian berlumba-lumba bersila dan mendengar bayan yang disampaikan itu dengan penuh khusyuk tetapi malangnya apabila yang memberi ceramah atau kuliah itu bukanlah ustaz daripada Jemaah kalian, maka kalian berlalu dari situ atau membuat kerja-kerja lain seperti membaca al-Quran dan sebagainya.
Sedangkan aku sering mendengar ustaz-ustaz kalian ataupun daripada kalangan kalian sendiri sering melantunkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud : 

Yaqulullahu ta’ala: Ana ‘inda Zanni ‘abdibi wa-ana ma-’ahu izha zhakarani fa-in zhakarani fi nafsihi zhakartuhu fi nafsi wa-in zhakarani fee mala-in zhakartuhu fee mala-in khairun minhum. Wa-in taqarraba illa basyibra taqarrabath ilaihi zhira-’an wa-in taqarraba ila zharra-’a taqarrabtu ilaihi ba-’an wa-in a-tani yamsyi ataituhu harwalah (Rawahu Al-Bukhari wa Muslim)

Aku itu berada pada i’tiqad hamba-hambaKu, Aku bersama mereka yang mengingatiku, jika mereka mengingatiKu di hadapan khalayak ramai, Aku mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia daripada itu (para malaikat, anbiya’ , awliya’), jika hambaKu mendekatiku secara merangkak, Aku mendekatinya secara berjalan, jika hambaKu mendekatiKu secara berjalan, Aku mendekatinya secara berlari. (Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Bukankah hadis ini yang kalian sering kali lantunkan tatkala sebelum memberi bayan? Jika aku tersalah maka perbetulkanlah. Jadi mengapa ketika ustaz-ustaz kalian memberi kuliah kalian duduk dan mendengar dengan khusyuk, tetapi mengapa kalian beredar dan membuat kerja lain apabila ustaz yang memberi kuliah itu bukan daripada kalangan ustaz-ustaz Jemaah kalian??? Adakah hadis yang kalian sering tuturkan ini hanya berhak untuk jemaah kalian sahaja???

Ingatlah Allah amat murka kepada seseorang yang berkata-kata tapi mereka tidak melakukan apa yang mereka katakan itu.
Firman Allah swt di dalam Al-Quranul Karim :

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (As Shaff:2-3)

Jadi, harapanku adalah supaya kalian semua sedar dan tuntutlah ilmu daripada mana-mana ustaz sekalipun. Duduk dan dengarlah apabila ada ustaz yang memberi ceramah walaupun ustaz itu bukan daripada kalangan jemaah kalian. Ingatlah, kalian menjadi contoh kepada masyarakat. Bagaimana mungkin orang yang melihat sikap kalian ini akan mendengar dakwah kalian. Jadi aku berharap kalian mampu berubah.

2)   Kepentingan Ilmu Dalam Dakwah

      Tahukah kalian peri pentingnya ilmu dalam berdakwah? Oleh sebab itu aku nasihatkan kepada kalian supaya di dalam berdakwah jangan sekali-kali mengabaikan ilmu. Sepatutnya apabila kalian berada di dalam gerakan dakwah kalian perlu untuk mendalami ilmu-ilmu agama di samping menjalankan gerak kerja dakwah. Aku berasa sedih apabila melihat ada di kalangan kalian yang bersungguh-sungguh melakukan kerja dakwah, tetapi apabila ditanya akan Islam itu sendiri pun mereka tidak mampu untuk menjawab. MasyaAllah. Bagaimana mungkin kalian mampu untuk menarik orang lain mendekati Islam jika diri kalian sendiri tidak mampu untuk memahami ajaran di dalam Islam. Dan bagaimana mungkin kalian mampu menyeru manusia untuk mendalami ilmu Islam jika kalian sendiri tidak mempunyai sikap mendalami ilmu. Ingatlah kembali surah as-Shaff di atas.
Muawiyah berkhutbah, bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan maka Allah faqihkan dia terhadap agama. Aku (Nabi s.a.w.) hanyalah menyampaikan sedang Allah yang memberi. Sebahagian dari umat ini akan tetap berpegang teguh pada agama Allah, tidak ada yang dapat mempengaruhinya sampai hari kiamat nanti." (Riwayat Bukhari no. 69)
Oleh sebab itu berdakwahlah kerana itu kerja yang mulia, tetapi berdakwahlah dengan ilmu yang ada. Dan tuntutlah ilmu supaya apabila berdakwah nanti kalian akan berdakwah dengan ilmu dan bukannya dengan hawa nafsu.
Ingatlah bahawa Islam telah meletakkan asas dakwah buat pertama kali kepada Baginda Rasulullah s.a.w kepada menggarap ilmu pengetahuan menerusi ayat pertama turun daripada Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s.

Mana mungkin Baginda Nabi mampu menyeru manusia dengan pelbagai ragam cita rasa peribadatan pada masa itu tanpa dibekalkan Allah dengan ilmu.

Sesungguhnya ilmu itu boleh diperolehi dengan jalan membaca, memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah terhadap bahan-bahan ciptaan-Nya, memerhatikan kebesaran kerajaan Allah dalam mentadbir bumi dengan segala kebenaran daripada-Nya.

Malah Islam telah menyediakan satu dasar dalam konsep ‘Usul Fiqh’, bahawa semua amal ibadat seseorang itu yang tidak disandarkan dengan kefahaman ilmu dan makrifat, maka ia akan terbatal dengan sendirinya.
Ia memberi maksud, jika seorang muslim yang rajin beramal ibadat, tetapi amalan-amalan yang dilakukannya bukanlah kerana atas kefahaman yang dipelajarinya, malah lebih kepada warisan secara tradisi, maka adalah dibimbangi, amalannya itu tidak diterima di sisi Allah s.w.t.

Jadi betapa pentingnya ilmu bukan sekadar dalam berdakwah, tetapi di dalam kehidupan seharian.

3) Fikrah Dan Pembacaan

Wahai sahabat-sahabatku di dalam JT, di sini aku ingin berpesan kepada kalian, janganlah kalian mendakwa bahawa hanya dakwah kalian sahaja yang mengikuti sunnah Rasulullah saw. Sebab metode dalam melaksanakan kerja dakwah ini pelbagai. Jemaah kalian beri'tiqad berdakwah secara mengajak dari rumah ke rumah, dan jemaah lain mungkin beri'tiqad berlainan dengan kalian semua. Ingatlah Rasulullah saw bukan sahaja berdakwah dari rumah ke rumah tetapi Rasulullah saw juga berdakwah melalui politik. Jadi setiap jemaah ada metode tersendiri jadi janganlah kalian mendakwa bahawa jemaah kalian sahaja yang mengikut sunnah dengan hujjah jemaah kalian diambil daripada salah satu sifat-sifat Nabi saw iaitu Tabligh. Itu bagi aku tidak betul. Dan janganlah kalian hanya menghadkan bacaan kalian melalui buku-buku yang dikarang oleh ulama’ jemaah kalian sahaja tetapi perluaskanlah pembacaan kalian supaya kalian mengetahui agama Islam ini secara menyeluruh bukan setakat apa yang disampaikan oleh jemaah kalian sahaja.
 
4)   Pandangan Terhadap Politik  

      Politik!!! Aku pasti perkataan ini pasti tidak mahu didengari oleh kalian semua. Aku berasa cukup sedih dan terkilan apabila bermuzakarah dengan sahabat-sahabatku di dalam JT.  Mengapa kalian secara sewenang-wenangnya mengatakan tiada politik dalam Islam??? Mengapa kalian secara tidak mengambil peduli akan politik yang penting dalam mendirikan daulah Islamiyyah.
“Kita perlu menerapkan iman dalam diri masyarakat. Kalau iman dah kuat insyaAllah Allah akan tolong. Tengok zaman Nabi dulu. Bila iman para sahabat kuat, InsyaAllah Allah akan tolong kita dapat daulah.” Jawapan seorang rakanku ketika ditanya tentang politik.
Jika benar apa yang kalian tuturkan itu, aku pasti para Sahabat Nabi saw tidak perlu berjihad dengan peperangan untuk menaikkan agama Allah. Jika apa yang kalian katakan itu adalah hakikat yang sebenar, aku pasti tiada seorang pun dari kalangan Sahabat Nabi saw yang darahnya tumpah di medan jihad. Dan jika benar Allah akan membantu kita hanya kerana iman aku pasti tiada di kalangan Sahabat Rasulullah saw yang mendapat syahid di medan perang semata-mata dalam usaha menaikkan Khilafah Islamiyyah. Ya, aku sedar memang politik zaman Rasulullah saw dan sekarang berbeza kerana keadaan semasa atau waqi' sentiasa berubah. Tetapi tidaklah bermakna tiada politik di dalam islam. Jika politik sekarang dikatakan politik kotor maka tanggungjawab kitalah untuk membersihkannya. Kerana tanpa politik kita tidak akan mungkin mampu menawan negara dan mengamalkan Undang-Undang Islam dalam pentadbiran.

Jadi, nasihatku buat sahabat-sahabat sekalian, bersama-samalah kita dalam bergerak seiring bersama gerakan-gerakan Islam yang lain. Betapa indahnya jika kalian mampu mengajak manusia ke masjid, jemaah lain dapat menyampaikan penjelasan tentang politik, yang lainnya cuba untuk berdakwah kepada remaja dan sebagainya. Jika ini semua dapat digabungkan, aku pasti Daulah Islam akan dapat tercapai. Janganlah diantara jemaah mencemuh jemaah yang lain kerana daku pasti para-para masyaikh tidak mahu kita melakukan sedemikian. Tiada siapa mahukan perpecahan. Tetapi jika kita mencemuh sesama jemaah, maka sebenarnya kita telahpun menjadi dalang kepada perpecahan (p/s : Nasihat ini buat semua ahli gerakan Islam bukan kepada JT shja). Saling membantulah kita dalam menyampaikan Islam, menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang ma'ruf dan mencegah yang munkar. Moga-moga amalan kita yang sedikit ini akan dipandang oleh Allah swt.

MEMBINA RUMAH PERLUKAN PELBAGAI ALAT PERTUKANGAN

Seperti juga membina rumah,kita memerlukan gergaji, tukul, pahat, pemutar skru, tangga dan pelbagai lagi peralatan, maka samalah juga dengan Islam. Untuk mewujukan sebuah negara Islam dan rakyatnya yang baik maka semua peralatan ini diperlukan. Perjuangan Islam tidak boleh tertumpu hanya kepada politik semata-mata, tidak boleh hanya tertumpu pada dakwah dari rumah ke rumah semata-mata, tidak boleh hanya tertumpu pada kuliah-kuliah agama di masjid semta-mata. Ianya memerlukan gabungan dari kesemua ini. Mungkin sesetengah pihak termasuk alim ulama ada yang memilih jalan berpolitik, ada yang memilih jalan dakwah melalui ceramah-ceramah di surau ataupun pondoknya, dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk keluar berdakwah dari rumah ke rumah. Ianya suatu kombinasi yang sangat baik. Semuanya merupakan suatu kepentingan didalam Islam. Jika para ustaz dan ustazah di sekolah agama memperjuangkan Islam dengar mengajar murid-muridnya akan ilmu agama, maka ulama di dalam politik pula perlu untuk mempromosikan islam dan berusaha menegakkan sebuah negara Islam. Malah jemaah-jemaah tabligh pula menjalankan tugasnya untuk berdakwah dari rumah ke rumah.

Amat baik akan semua kerja dakwah ini. Jangan lah kita menafikan antara satu sama lain akan perjuangan Islam ini. Ianya akan bertambah teguh jika setiap kelompok jemaah dari kelompok yang berbeza memahami prinsip ini tanpa mempertikaikan antara satu sama lain. Dan ia akan bertambah baik jika masing-masing menyokong antara satu sama lain. Tidak perlu memilih bulu, apabila tiba giliran ceramah golongan tabligh, ahli-ahli masjid yang biasa mendengar ceramah ustaz-ustaz lain akan meninggalkan kuliah ilmu yang dilakukan oleh jemaah tabligh (berdasarkan pengalaman ditempatku). Mengapa kita tidak mahu mendengarnya, sedangkan mereka menceritakan tentang sirah Rasulullah saw, ingatan kepada melakukan amal-amal yang baik dan peringatan supaya meninggalkan perkara maksiat.

Akhirul Kalam,
Aku sekali lagi memohon berjuta-juta kemaafan andai ada kata-kataku yang mengguris hati dan perasaan sahabat-sahabat JT sekalian. Niatku tidak lain hanyalah ingin memberi sedikit teguran dan nasihat melalui apa yang aku ketahui ketika bermuzakarah dengan sahabat-sahabatku yang berada di dalam JT. Andai ada yang aku tersalah, bolehlah perbetulkan karena aku ini hanyalah insan yang sering melakukan kesalahan. Komen kalian amat aku alu-alukan.
Wallahu’alam. Khuruj sini

No comments:

Post a Comment