Friday, December 21, 2012

Mati Perlu DiIngati



Di dalam mengingati mati, manusia ingat 2 (dua) perkara:

1. Perkara sebelum mati.
2. Perkara sesudah mati.

Meskipun mati penuh dengan rahsia, tetapi hendaklah orang selalu ingat bahawa mati pasti datang. Itulah sebabnya para Anbiya’ menjadikan ingat kepada kematian itu sebagai salah satu cabang dari pelajarannya. Demikian juga ahli-ahli falsafah, sebahagian besar mengakaji masalah kematian itu panjang lebar. Setengah berkata, kehidupan ini hanya palsu saja, hakikat hidup ialah sesudah mati.

Rasulullah saw bersabda:

“Banyak-banyaklah mengingat barang yang memusnahkan segala kelazatan itu, kerana siapa yang di dalam kesempitan, kalau dia ingat mati, dia insaf bahawa dia akan disambut oleh kesempitan”.

Ahli-ahli falsafah bangsa Cina purbakala menciptakan suatu tradisi yang amat ganjil. Seorang anak yang baru dilahirkan ke dunia, dibuatkan oleh ibu bapanya dua barang yang amat perlu, iaitu buaian dan peti mati, supaya di samping kehidupan dia ingat akan kematian. Bertambah besar anak, bertambah besar peti mati dibuatkan. Setelah tua, meskipun badan sihat sampai sekarang masih kita lihat mereka buat keranda dan kuburan yang tenteram di dekal rumahnya yang indah, supaya kuburan itu jadi peringatan baginya, ke mana dia akan pergi. Mereka berkata bahawa manusia dalam hidupnya, berjalan melalui sebuah jambatan.
Sebelah ke belakang yang telah dilampaui ialah hidup, dan yang akan ditempuh ialah mati. Bertambah lama berjalan, bertambah dekat kepada mati, bertambah dekat pintu mati, bertambah jauhlah hidup.

Orang Mesir zaman purbakala lain lagi caranya. Bila mereka mengadakan suatu perhelatan (pesta) besar bersuka ria, sedang segenap tetamu gembira bersorak bersenda gurau, tuan rumah membawa suatu peti mati berisi mummi ke tengah-tengah majlis itu. Ketika itu segenap tamu lelaki dan perempuan harus diam, dan insaf bahawa di samping segala kesukaan itu berdiri ‘elmaut’.

Sebab itu hendaklah orang yang berakal sentiasa ingat akan kematian, sebagaimana dia ingat akan kehidupan. Ingat bahawa hari ini kita memikul mayat orang lain, dan besok lusa mayat kita sendiri dipikul orang. Hendaklah ingat bahawa kita tidak akan lama menghuni rumah bagus, hendaklah yakin bahawa akan datang masanya naik usungan.
Itulah yang ajaib bagi filosof bangsa Cina zaman dahulu. Iaitu mereka pakai segala warna hitam, tanda berkabung atau kelahiran. Kerana bagi mereka lahir ke dunia itu belum tentu beroleh gembira, barangkali menempuh sengsara, lantaran ‘hayat’ ini sukar jalannya. Tetapi kalau kematian, mereka memakai pakaian putih (sekarang biasanya memakai pakaian putih kasar, belacu atau serupa guni), tanda bersyukur sebab telah datang janji yang ditunggu-tunggu, akan bertemu dengan arwah nenek moyang, pindah dari alam keonaran (huru hara) ke dalam alam bahagia.

Tidaklah kita hairan, bila kita baca riwayat kematian Bilal bin Rabah. Seketika dalam nazak, beliau berkata:
“Wahai gembiranya“.
Lalu isterinya bertanya:
“Wahai suamiku, mengapa di dalam sakaratul maut, tuan berkata gembira, padahal dari tadi saya berkata:
“Aduh dukacitanya hatiku“.
Bilal menjawab:
“Tidakkah gembira hatiku, bila aku ingat bahawa aku akan meninggalkan dunia yang fana, kembali ke alam baqa, menemui Rasulullah yang kucintai”.
Dari keterangan di atas, tahulah orang bahawa ingat mati, ialah ingat akan hal sebelum dan hal sesudah mati. Sebab mati itu sendiri tidak lama!

Bilal gembira akan mati, kerana ingat akan hal yang akan ditemuinya sesudah mati.

1. Keadaan Manusia Mengingati Mati.

Pertama: Orang inilah yang sangat merugi, kerana tidak ingat kematian, tak terbayang-bayang dalam fikirannya, seakan-akan telah tetap dalam otak bahawa mati itu tak ada.
Orang ini tidak akan merasa hakikat mati sebelum menyaksikan sendiri. Orang ini baru dapat mengingat mati lantaran mengingat anak atau harta. Dia payah memikirkan bagaimanakah hartaku kelak, siapakah yang akan menjadi suami isteriku kalau aku wafat. Bagaimanakah jadinya anakku kalau aku telah menutup mata.

Kalau mayat dipikul orang di hadapan rumahnya, dibacanya “Inna Lillahi wa Innailaihi Raji’un” krana sudah teradat demikian. Masusia begini bukan mengingati kematian untuk dirinya, tetapi memikirkan orang lain. Ada juga dia mengaku ingat akan mati, cuma dengan mulutnya, tidak sejak dari hatinya. Dibawanya lengah saja perasaan takut mati yang ada dalam batinnya.
Kedua: Orang yang sentiasa takut saja mengingat mati, takut akan mati, takut kalau-kalau mati datang sehingga gementar tubuhnya dan berkunang-kunang penglihatannya. Dia ingat perkara ini kalau dia telah duduk termenung-menung seorang diri, sehingga lama-lama fikirannya morat-marit, pekerjaannya tak menentu lagi, pencemas, penggigil, putus harap. Bagi orang begini nikmat Tuhan jadi kecelakaan. Sebab tiap-tiap perniagaannya beruntung atau gajinya naik anaknya bertambah, rumahnya indah dan lain-lain, semuanya menambh takutnya menghadapi mati.

Dia takut kena angin, kerana angin itu menurut keterangan doktor membawa bakteria penyakit. Takut bergaul dengan orang, kerana barangkali orang itu ada menyimpan bibit t.b.c. (penyakit berjangkit) kelak dibawa angin bertambah kembang biak, dan pindah pula ke dadanya sendiri. Kadang-kadang ada orang takut makan, kalau makanan itu tidak diperiksa doktor terlebih dahulu, barangkali beracun. Sultan Abdul Hamid menggaji seorang tukang cicip (tukang rasa) makanan yang akan baginda makan, haruslah dimakan oleh tukang cicip itu lebih dahulu. Akhirnya tukang cicip makanan itu kaya raya lantaran gajinya. Ia tidak mati kena racun, melainkan kemudian Sultan Abdul Hamid, mati di tanah buangan.

Penyakit demikian kalau dibiarkan, tidak ditangkis dengan kekuatan jiwa atau kekuatan iman kepada Tuhan, akan membahayakan diri, yang perlu kepada rawatan Doktor mengeluarkan wang beribu-ribu. Kalau doktor itu tidak ingat akan sumpah dan kemanusiaan, orang yang seperti ini boleh dijadikan permainan, penambah kekayaan pula bagi si doktor.
Ketiga: Orang yang ingat kematian dengan akal budi dan hikmat. Tak ubahnya dengan orang yang naik haji ke Makkah. Selama di dalam perjalanannya tidak lupa dia bahawa dia akan naik haji. Di dalam perjalanan selalu dihafalya manasik. Dicukupkannya wang, dilengkapkannya bekal, jangan sampai hajinya tidak sah.

Yang demikian adalah lantaran dia yakin bahawa ingat mati menghapuskan angan-angan yang tak menentu, menghabiskan was-was dan mengenang barang yang akan menghabiskan umur. Dari inat akan kematian, manusia menjadi sabar menerima bahagian yang sedikit, tidak tamak akan harta benda, lebih dari mesti, dan tidak menolak berapapun diberi, tidak tercengang dan gamang jika harta itu habis. Ingat mati menyegerakan taubat, khianat, haloba dan tamak. Ingat mati menghindarkan ujub. Ingat mati menghindarkan takbur. Tiap-tiap sehari melangkah dalam hidup,ingatlah mati sekali, supaya bekal ke sana bertambah banyak disediakan. Jangan sampai kejadian, sedang terlengah-lengah menghadapi yang lain, malaikat maut datang tiba-tiba. Sebab mati itu mungkin datang secara mendadak.
Hendaklah laksana juru tulis pejabat yang berkerja secara rapi. Bersedia memperlihatkan buku, apabila tukang periksa datang.

2. Ikhwal Manusia Seketika Mati.

Keadaan manusia seketika mati, tiga macam:

Pertama: Memikirkan bahawa kematian itu laksana suatu yang membawa bahagia, melepaskan dari, perhambaan, sebab hidup itulah yang memperhambanya. Sesungguhnya kehidupan manusia ini, walaupun sampai beribu tahun, masih sekejap mata saja dari cahaya kilat, setelah itu hilang kembali dan kemudian gelap. Orang ini tidak merasa berat meninggalkan dunia, hanyalah sekadar beberapa kekurangan yang belum terbayarkan olehnya kepada Tuhannya. Dia merasa menyesal lantaran khidmat kepada Tuhan dirasanya belum puas. Orang ini masih tamak juga hendak mendekatkan diri kepada Tuhan sedikit lagi, masih haloba kepada kesucian.

Orang bertanya kepada seorang Waliullah yang hampir mati, mengapa dia kelihatan bersedih hati. Dia menjawab:

“Saya agak sangsi, kerana saya baru akan menempuh suatu perjalanan yang belum pernah saya lihat, sampai sekarang dada saya berdebar, perkataan apakah kelak yang akan saya ucapkan di hadapanNya”.

Orang ini bukan takut mati, tetapi merasa belum cukup ibadatnya, merasa malu akan bertemu dengan Tuhan lantaran ingat akan kebesaran Tuhan. Dia ingin beribadat sedikit lagi, tetapi waktunya sudah habis dan ajal sudah datang.

Seorang Waliullah yang lain berdoa demikian:
“Ilahi! Jika hamba memohon hidup di alam kematian, tandanya hamba benci hendak bertemu dengan Engkau. Sebab RasulMu sendiri pernah berkata: “Siapa yang ingin hendak bertemu dengan Allah, maka Allah pun ingin hendak bertemu dengan dia. Siapa yang enggan bertemu dengan Tuhannya, Tuhan pun enggan hendak menemuinya”.
Buat orang ini Tuhan menyediakan sambutan yang baik. Buat mereka mati dialih namanya jadi “Liqa”, ertinya “Pertemuan”.

Kedua: Orang-orang yang sempit pandangan, yang perjalanan hidupnya penuh dengan maksiat, yang telah karam dalam godaan dunia, hingga tak dapat dibongkar lagi, sehingga kalau dia meninggal, hatinya masih tetap tersangkut. Orang ini merasa bahawa hidup di dunia itulah yang paling beruntung, dan tak memikirkan kehidupan akhirat. Memang orang yang begini lantaran telah kotor dalam kehidupan dunia, tersisih juga darjatnya dalam kehidupan akhirat. Dia telah lebih dahulu buta di dunia, sebab itu dia buta pula di akhirat.
Orang yang pertama tadi adalah seorang hamba yang patuh, yang bilamana dipanggil Tuhannya, dia bersegera datang dengan muka manis, dia datang dengan sukacita dan senyum simpul. Dia datang mengadap Tuhan dengan Qalbin Salim: Hati Baik.
Orang yang kedua, ialah hamba yang keras kepala, pulang kepada Tuhan dengan dada berdebar, sebab kesalahan amat banyak. Barangkali ia mencuba lari, tetapi tak dapat lagi, sebab temphnya sudah cukup. Sebab itu, kedatangannya kepada Tuhan terpaksa diikat, sebagai orang yang bersalah, tak dapat mengangkat muka, kelu lidahnya, tak dapat menjawab segala pertanyaan.

Alangkah jauh bedanya di antara kedua manusia ini.
Himah Rasulullah saw bertemu di dalam perkara menghantarkan mayat ke kubur, sabda baginda:

“Lekas-lekas hantarkan mayat ke kuburnya. Sebab kalau dia orang soleh, supaya lekas dia bertemu dengan pahalanya, dan kalau dia orang jahat, supaya jangan lama dia memberati dunia ini!”.

Ketiga: Orang yang berada di tengah-tengah di antara kedua darjat tadi. Iaitu yang tahu tipu daya dunia, tak terikat oleh alam, tetapi dia suka juga kepada alam itu, sebab tak dapat menahan hatinya. Orang ini, laksana orang yang kepayahan berjalan tengah malam dan mencari tempat berhenti. Tiba-tiba terjumpa sebuah rumah kosong di tepi jalan, yang di kiri kanannya rimba. Akan masuk ke dalam merasa takut, akan diteruskan perjalanan takut pula. Lantaran terpaksa oleh keadaan, dia masuk juga ke rumah kosong itu. Kalau orang ini sabar menunggu hari siang, tentu kelak dia akan menempuh jalannya juga dan rasa takutnya pun hilang. Tetapi kalau takutnya diperturutkannya, itulah yang akan membinasakannya.
Kita tidak hairan bahawa manusia amat berat akan meninggalkan suatu barang yang biasa dipakainya. Berapa banyaknya orang yang enggan meninggalkan rumah lama, pindah ke rumah baru, padahal rumah baru itu lebih besar. Anak-anak menangis meninggalkan perut ibunya, padahal dia pindah dari lapangan sempit kepada alam luas, nanti kalau telah biasa dengan udara alam, dia pun tak menangis lagi, bahkan menangis pula kelak bila akan meninggalkan alam itu.

Moga-moga kita semuanya menjadi umat yang bererti, yang redha pada Allah, dan Allah redha pada kita, sehingga hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Amin!

No comments:

Post a Comment