KUALA LUMPUR
21/03/2010 :
Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak
sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Ketua
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan
itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541
anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi
menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran
anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes
buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status
anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan
109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957
(Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Mengikut
Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan
tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.
Ini termasuk
anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak
didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan
dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.
Bagi anak
pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum
tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh
lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan
orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum
lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).
Beliau
berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti
‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna
(nama-nama Allah).
“Keputusan
itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format
baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti
dipaparkan pada sijil kelahiran. Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan
dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak
itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.
Bagi kes bayi
pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia,
beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk
majlis agama atau mahkamah.
“Jika anak
dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke
Malaysia, daftar semula dengan JPN. Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan
mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan
sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak
akan dimasukkan dalam rekod. Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar
bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.
Sumber : Mohd
Azis Ngah [azis@bharian.com.my] di BHarian 22/03/2010
No comments:
Post a Comment