Apakah itu jin Karin atau Qarin yang dikatakan jin kembar
dilahirkan bersama-sama manusia tetapi bila manusia mati,Jin qarin ni tak
mati? Betul ke Qarin ini wujud atau sekadar mitos sahaja yang dimomokkan?
Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan
pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan
adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah
Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf
43:36)
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah
sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap
manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah
s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah
Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya
mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was,
melalaikan solat, berat nak baca Al-Qurandan sebagainya. Malah ia bekerja
sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan
malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan.
Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh
mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai
dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya.
Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan
sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan
perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada
kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat.
Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada,
tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan
hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan
Ahmad) Umrah
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam
Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku
merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai
Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku
tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w:
“Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada
syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku
bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda:
“Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith
Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu
pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para
isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya
membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika
syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi
orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan
yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana
aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat
Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir
itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila
manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di
alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah
panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya
akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas
tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang
dilakukan manusia itu.
Wallahu’alam…. Umrah
Sumber: Informasi Malaysia Kini
No comments:
Post a Comment