Wednesday, September 5, 2012

MENJADI KAYA DAN BERTAKWA


FIRMAN ALLAH:-

وَعَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رضي الله عنه  قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم  يَقُولُ إِنَّ اَللَّهَ يُحِبُّ اَلْعَبْدَ اَلتَّقِيَّ, اَلْغَنِيَّ, اَلْخَفِيَّ . أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ.
 Daripada Sa’d bin Abi Waqqas katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menyukai hamba yang bertaqwa, kaya dan tersembunyi. (Muslim: 2965)
 Orang yang bertaqwa yang sentiasa menjaga dirinya yang meyakini bahawa dia sentiasa diperhatikan Allah. Segala tindak tanduknya terikut dan patuh mengikut kehendak syara’.

Maksud kaya di sini ialah seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
(al-Bukhari, 6446, Muslim: 1051, al-Tirmidhi: 2373)

Imam al-Tahawi menjelaskan dalam Sharh Mushkil al-Athar: kaya jiwa yang memutus diri dari harta yang menyebabkan seseorang itu terputus dari ketaatan dan menyebabkan hatinya sibuk dengan selain Allah s.w.t. Orang kaya yang terpuji ialah dia yang hatinya kosong dari dunia dan dan tidak mementingkannya.

 Sebuah hadis menyatakan, “Tidaklah aku suka mempunyai emas sebesar bukit Uhud, di mana berlalu satu malam dalam keadaan masih ada pada saya walaupun satu satu dinar melainkan dinar yang saya simpan untuk membayar hutang atau saya berikannya kepada hamba Allah.”

Menurut al-Qadi ‘Iyad seperti yang disokong oleh Mulla ‘Ali al-Qari, maksud kaya di sini ialah kaya harta dan ini tidak menafikan sifat kaya jiwa kerana tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya. Ini kerana asal ma’na kaya mempunyai harta dan orang kaya yang afdal ialah dia yang merasa cukup dan tidak memerlukan kepada orang lain kerana jiwanya yang kaya. Dari sini setengah ulama mengatakan orang kaya yang bersyukur itu lebih utama daripada orang yang faqir yang bersabar. Dengan kekayaan yang dimiliki seseorang itu dapat membuat kebajikan di dunia yang menaikkan darjatnya di akhirat. (Mirqat al-Mafatih Sharh Mishkah al-Masabih, Jil. 9, hal. 465)

Bersifat kaya iaitu tidak berasa perlu kepada makhluk, satu perasaan hati yang menjadikan sedar bahawa Allah sebenarnya yang kaya dan dia memerlukan kepada rahmat Allah dan tidak mengharapkan apa-apa daripada makhluk. Sebaliknya dialah yang berusaha untuk membelanjakan kekayaannya di jalan Allah untuk membantu mereka yang berhajat.
Yang menyembunyikan, menjaga diri dari perkara yang membatalkan amalan, mengelakkan diri dari kemasyhuran supaya amalannya kekal ikhlas. Termasuk dalam makna hadis ini, menjaga diri dengan menyendiri apabila berlaku fitnah kehidupan terutamanya fitnah di akhir zaman.

Ibn Daqiq al-‘Id mengatakan fitnah kehidupan ialah apa yang terpampang kepada manusia selama hayatnya iaitu terpesona dengan dunia, nafsu syahwat, kejahilan dan yang paling besar- semoga kita dilindungi Allah- kesudahan kematian yang buruk. (al-Ihkam, juz. 2, hal. 62)

Setiap sifat ini tidak datang dengan bersendirian tetapi sebagai satu pakej kerana taqwa menuntut sifat muraqabah, sentiasa merasakan diperhatikan Allah s.w.t. sifat kaya menghendakinya merasa serba kekurungan dan hina di hadapan Allah s.w.t. sahaja dan merasakan diri tidak berhajat kepada manusia yang lain. Sifat tersembunyi memestikan keikhlasan dan khumul (tidak dikenali) kerana menyibukkan diri dengan Allah bukan dengan manusia. Oleh itu, selayaknya dia mendapat gelaran orang yang dikasihi Allah.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. selalu berdoa

 عن ابن مسعودٍ  رضي الله عنه أنَّ النَّبيّ  صلى الله عليه وسلم  كَانَ يقول اللَّهُمَّ إنِّي أَسألُكَ الهُدَى  وَالتُّقَى  وَالعَفَافَ  وَالغِنَى  رواه مسلم .
(Muslim: 2721; al-Tirmidhi: 3489, Ibn Majah: 3832, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad: 674)
 Ya’ni hendaklah sentiasa berdoa agar dikurniakan ketaqwaan, kaya jiwa sehingga tidak berhajat kepada manusia dan bersih maruah dari perkara-perkara yang tidak harus, dijauhi dari maksiat dan kemungkaran.

Pengajarannya hendaklah kita menjauhi ma’siat, kefaqiran yang melarat yang menyebabkan kita meminta dari makhluk dan suka menonjol diri yang membawa kepada takabbur. Untuk selamat dari fitnah dan bersih dari dosa tidak dapat tidak perlu bersendirian.
by Muhammad Hanief Awang Yahaya

No comments:

Post a Comment