Empat Perkara Utama Yang Membatalkan Puasa
Allah swt telah memfardhukan puasa Ramadhan ke atas umatnya, Allah
juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat yang lain selain daripada fardhu
ini, serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar, yang menjadi idaman bagi
setiap orang yang beriman. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sesiapa yang
berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya
daripada api neraka sebanyak tujuh puluh tahun.” [Muttafaq alaih].
Allah telah meletakkan
garis panduan dalam melakukan puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya untuk
dilanggar. Maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya
untuk menjaga ibadat yang besar ini.
Perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagaimana yang disepakati
(Ittifaq) ulama’ berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat
perkara;
1.
Makan,
2.
Minum,
3.
Jima’.
Dalilnya ialah firman Allah swt yang bermaksud: “…Maka sekarang
campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan
makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu
fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…”. [Al-Baqarah:187].
4. Haid dan Nifas.
Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah
saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak
berpuasa…”. [Bukhari: 304,
Muslim: 79].
Di bawah ini ialah ringkasan dan kesimpulan yang dibuat oleh
penulis;
1.
Pendapat
yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa
apabila masuk makanan ke dalamnya adalah“Ma’idah” (perut) sahaja, tidak
termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.
2.
Ulama’
semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (penyembur gas
untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada
pandangan penulis) adalah tidak batal.
3.
Pil
yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus
dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa.
4.
Alat
yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga
tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut
maka ia boleh membatalkan puasa.
5.
Ulama’
semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang
mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang
paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak
batal.
6.
Gas
oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak
terdapat anasir lain di dalamnya.
7.
Begitu
juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no.
2).
8.
Bius
setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari
membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu
puasa hari tersebut tidak batal puasanya.
9.
Ubat
titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak
bersambung dengan “Jauf”.
10. Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama’
semasa, tidak membatalkan puasa.
11. Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot
mengikut majoriti ulama’ semasa tidak membatalkan puasa.
12. Memasukkan air dan benda yang boleh
mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama’ semasa
adalah membatalkan puasa.
13. Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada
kulit, tidak membatalkan puasa.
14. Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan
penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.
15. Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk
mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada
“Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.
16. Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi
ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan
puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak
membatalkan.
17. Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit
wanita tidak membatalkan puasa.
18. Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit
bawasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, Ia
tidak sampai kepada ma’idah.
19. Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat
melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
20. Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang
begitu besar dikalangan ulama’, tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal
kerana dikiaskan kepada berbekam.
21. Juga mengambil sedikit darah untuk ujian
pemeriksaan tidak membatalkan puasa.
Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh
beliau.
Bagi para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas
untuk menilai manakah pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta’lil yang
dikemukakan, wallahu a’lam.
Oleh AbuAnasMadani
No comments:
Post a Comment