KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri
Terengganu.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi
Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis
tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan
meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa
turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar,
dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan
semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin
beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang
kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah
seperti berikut : “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w.
telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan
antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama
seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang
yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat
yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta
setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa
orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
·Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi
Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang
tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu
ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang
ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada
beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya
diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam
kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya
tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat)
sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini
merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu
yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis
ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya
didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan
berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan
amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan
diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan
mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan
begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang
yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana
sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia
menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai
keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas
Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat
ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih
dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W.
menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram
meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa
hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang
menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia
tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi,
tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di
antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan
dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal
ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam
sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam…
seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta
atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya
adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan
atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: {Tidaklah dia mengucapkan mengikut
kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang
diwahyukan.} (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam
rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita
sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang
mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W.
seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu
meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya
sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti
meruntuhkan kaa’bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang
yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih
contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan
penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya
yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang
meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah
yang bermaksud: {Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar?
Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.}
(Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak
mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh
dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang
bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap
tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari
segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:
1-Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang
terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang
bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi
kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi
wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil
sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2-Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan
yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana
tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.
3-Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi
Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana
yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4-Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai
dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis
yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang
lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan
seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya
prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang
menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah
tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan
ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai
masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala
sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan
seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH
RASULULLAH S.A.W.
by Abu
Anas Madani on 3 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment