Di antara amalan yang wajib dan sunat yang sangat digalakkan melakukannya di bulan Ramadhan ialah:-
1) Berpuasa:
Sabda Rasulullah:-
Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu
digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah
berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku
dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya,
makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan,
kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan
Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau
kasturi di sisi Allah.” [HR:
Muslim dari Abu Hurairah]
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada
bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala)
maka diampun-kan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].
Berpuasa memberi banyak faedah kepada
kehidupan jasmani dan rohani.
Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah
untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti
kefakiran, kesusahan dan sebagainya.
2) Ramadhan dan
membaca al-Quran:-
Nabi menceritakan
bahawa Jibril membacakannya al-Quran
setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Baginda
sebanyak 2 kali. [HR:
Al-Bukhari dan Muslim].
Para ulama‟ bersungguh-sungguh
memper-banyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka
mengkhatam-kan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian setiap satu minggu dan
sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membacanya ketika di
dalam solat dan juga di luar solat.
Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan
al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau membacanya di luar
solat.
Ibnu Rajab berkata: “Larangan
mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang
menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada
waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan, khususnya pada
malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika berada di
tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi orang-orang luar
yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan mem-baca al-Quran sebagai
mengambil peluang masa dan tempat”.
3) Qiyamullail:
Bagi seorang mu‟min apabila berada pada
bulan Ramadhan akan berhadapan dengandua jihad di dalam dirinya. Pertama jihad
di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail.
Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya
dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga.
Sabda Rasulullah:-
Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat)
pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan
pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan
Muslim].
Firman Allah
Maksudnya: {Dan hamba-hamba Tuhan Yang
Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh
rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan
mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan
bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka...}. [Al-Furqan: 63-64]
Qiyamullail adalah kebiasaan Nabi
dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. „Aisyah pernah
berkata: “Jangan kamu tinggalkan Qiyamullail. Rasullullah tidak pernah meninggalkannya, dan
apabila Baginda sakit atau kepenatan, Baginda solat sambil duduk.” [HR: Abu Daud].
Khalifah Umar bin al-Khattab akan bersolat malam seberapa banyak, apabila
sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk
bersolat, sambil berkata: “Solah, solah!” (bangun untuk bersolat).
Sebagai peringatan,
setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya
tertulis dikalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).
Abi Zar meriwayatkan Nabi bangun
bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan
pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda:
“Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”.
Maka Nabi bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga
dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.”
[HR:
At-Tirmizi, sahih].
4) Bersedekah
Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah adalah manusia yang
sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan...
dan Baginda lebih
pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.”
[HR: Al-Bukhari]
Rasulullah menggalakkan umatnya untuk ber-sedekah
mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Nabi
Maksudnya: “Takutilah api neraka
walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar”. [HR: Al-Bukhari].
Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika
seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak
langkah Rasulullah, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk
keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat)
berbanding pekerjaan masing-masing”.
Rasulullah telah ditanya, apakah sedekah yang
paling afdhal? Sabdanya:
Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah
sedekah dalam bulan Ramadhan”. [HR: At-Tirmizi, dhaif]. Ia mempunyai banyak cara dan cabangnya:
a. Memberi makan:
Para ulama‟ salaf sangat
menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukan-nya daripada
ibadat-ibadat lain.
Ianya samada dengan memberi makan orang
yang kelaparan ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya
kepada orang faqir.
Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Di dalam syurga terdapat
bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya”. Bangun
seorang a’rabi (orang kampung) bertanya: Untuk
siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah? Sabda Nabi :
“Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat
kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur”. [HR: At-Tirmizi,
hasan].
Al-Hasan al-Basri dan Ibnu
al-Mubarakmemberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa.
Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi
keperluan mereka .
Hammad bin Sulaiman akan menghidang-kan
juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadhan dan dia akan memberikan
kepada setiap mereka 100 dirham di Hari Raya.
Ibadat memberi makan akan menjadi asas
kepada banyak ibadat-ibadat lain, seperti rahmat dan kasih sayang terhadap
sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk
syurga, kerana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak masuk syurga
seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling
mengasihi.” [HR:
Al-Bukhari].
b. Memberi makan
(berbuka) orang yang berpuasa:
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan
orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan
mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun.” [HR: At-Tirmizi, sahih].
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Wahai Manusia! Sebarkanlah
salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu
akan masuk ke Syurga dengan sejahtera”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].
Semua ini menunjukkan bahawa
mengumpul-kan antara puasa dan sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan
dosa.
Nabi bersabda:
Maksudnya: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan
kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun
di pertengahan malam.” [HR: Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah, sahih].
5) Menjaga lidah,
mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta.
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak
meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak
berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” [HR:
Al-Bukhari].
Hadis tersebut menunjukkan bahawa
berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang
sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada
makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka
berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuhannya.
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Jika seseorang daripada
kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan
perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya
seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku
berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” [HR: Muslim]
Ali bin Abi Thalib berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah
hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan,
kebatiIan dan perkara yang sia-sia”.
Berkata Mujahid: “Dua perkara yang
sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat)
dan menipu”. Abu al-„Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap dalam
ibadatnya selagi dia tidak melakukan Ghibah”.
Rahsia di sebalik larangan-Iarangan ini
khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan
diri) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan
sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. la adalah
seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara fardhu untuk melakukan
perkara-perkara sunat, apakah faedahnya?
6) Doa, Zikir dan
Istighfar.
Semua hari-hari Ramadhan adalah waktu
yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyak-kan zikir dan doa,
khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
· Ketika hampir waktu
berbuka. Nabi menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang
berpuasa sehingga dia berbuka. [HR: At-Tirmizi, sahih]
· Di sepertiga malam
ketika Allah menyeru: “Adakah ada
orang yang berdoa, maka aku perkenankan, adakah orang yang memohon keampunan,
maka Aku mengampunkannya”. [HR: Al-Bukhari & Muslim].
· Memohon keampunan
Allah ketika waktu sahur. Firman Allah:
Maksudnya: {Dan ketika waktu sahur
mereka memohon keampunan}. [Az-Zariyat:18].
Jangan kita lupa juga terdapat
ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang berzikir.
Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan
hadis-hadis Nabi yang
sahih menjelaskannya.
7) Umrah pada bulan
Ramadhan.
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Satu umrah pada bulan
Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji”. Dalam riwayat yang lain: “Menyamai
satu haji bersamaku”. [HR:
Al-Bukhari dan Muslim].
8) Beriktikaf:
Antara kelebihan khusus sepuluh
terakhir Ramadhan ini, ialah digalakkan beriktikaf padanya.
9) Lailatul Qadar.
Di dalam Ramadhan yang berkat ini Allah menghadiahkan kepada hamba-hambanya
satu malam yang yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadr.
Sabda Rasulullah sewaktu menaiki mimbar di Madinah:
Maksudnya: “Sangat malang, orang yang
berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya”. [HR: Ibnu Khuzaimah,
al-Baihaqi]
Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang
muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan
keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan
berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi
merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan RasulNya.
Oleh:Abu Anas Madani
No comments:
Post a Comment