Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
Alhamdulillah, bulan Ramadhan
kembali menemui kita. Banyak ilmu yang perlu kita ulangkaji berkenaan
amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan, agar kita dapat memperoleh manfaat dan
ganjaran yang sepenuhnya pada bulan yang mulia ini.
Risalah ringkas ini akan
membincangkan tentang “Solat Terawih” dan perkara yang berhubung kait
dengannya.
Berkenaan keutamaan solat
ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah saw menganjurkannya pada
malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda
bersabda:
((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada
malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah),
diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [Sahih Muslim, no:
759]
Takrif Solat Terawih:
Menurut bahasa (lughah):
Terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.
Menurut istilah: Terawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu
malam di bulan Ramadhan. Bermula waktunya selepas solat isya’ dan berakhir
dengan masuk waktu subuh, tidak termasuk sunat ratibah isya’ dan solat witir.
Dinamakan terawih kerana
orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat (dua salam).
Solat terawih termasuk
solat tahajjud atau solatul-lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat
dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.
Waktu Melakukan Solat
Terawih.
Sebagaimana hadis
Rasulullah saw di atas: “Sesiapa
berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan…”. Berdasarkan hadis ini,
tempoh menunaikan solat terawih ialah sesudah masuk waktu solat isyak sehingga
sebelum masuk waktu solat subuh. Ini bererti sesiapa yang tidak dapat
melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir
malam.
Hukum Solat Terawih
Solat terawih hukumnya sunat
mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah saw
telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah
sunat dan tidak wajib.
Sejarah Terawih:
Ummul Mukminin Aishah ra,
meriwayatkan bahawa Rasulullah saw melakukan solat terawih di masjid beberapa
malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para
sahabat. [HR
Bukhari dan Muslim].
Pada malam kelima dan
seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di
rumah. Ini kerana Baginda saw bimbang para sahabat tersalah anggap dan
menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk
melakukannya.
Abi Zar telah meriwayatkan,
Nabi saw bangun bersolat
bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam
ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda saw:
“Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi saw bersabda:
((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ
حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga
dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam
semalaman (seumpama bersolat
sepanjang malam).” [HR At-Tirmizi, sahih].
Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga
selesai dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.
Berkata sebahagian ulama’: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama
imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”
Menurut hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir ra bahawa Nabi
Muhammad saw melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti
solat witir.
Khalifah Umar bin Al-Khatab
ra ialah orang pertama yang
mengerah umat Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan
Ubai bin Kaab ra.
Solat terawih dilakukan
berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan
ditambah dengan tiga rakaat solat witir.
Cara Perlaksanaan Solat
Terawih.
Solat Terawih boleh
dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal
merujuk kepada anjuran Rasulullah saw seperti hadis di atas.
Namun jika menghadapi
kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan
melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda
adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini
bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa
atau tenaga.
Menurut imam Al Ghazali rh
walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah,
solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti
pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah
disyariat dalam solat berjemaah.
Bilangan Rakaat Solat
Terawih.
Solat terawih boleh
dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan solat
sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih
yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat?
Persoalan jumlah rakaat
bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu.
Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai
pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama:
Jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir.
Pendapat kedua: Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir.
Pendapat ketiga: Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan
solat terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan
solat witir.
Ketiga-tiga pendapat di
atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana
pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya
mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.
Ibnu Umar ra menceritakan:
Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi
saw:
صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ
الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.
Maksudnya: “Solat malam
ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka
solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah
engkau solat” [HR: Bukhari].
Rasulullah saw tidak
menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang masanya, boleh
dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar
kepada 8 atau 20 rakaat.
Berkata Imam Asy-Syafie:
“Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat terawih di Madinah 39
rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat
dengan bilangan).”
Katanya lagi: “Jika mereka
panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah
baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri
(ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku
sukai.”
Pada umumnya masyarakat
Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga
yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing
untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri
terhadap Penciptanya. Yang pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam,
tidak hanya setakat separuh jalan.
Antara Kualiti dan Kuantiti.
Persoalan yang lebih
penting dalam solat terawih ialah cara melaksanakannya. Bukan 8 atau 20 rakaat,
Tetapi yang penting ialah membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang
lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca
senafas dan jangan dibaca dengan tujuan mengejar jumlah rakaat.
Demikian juga dengan toma’ninah dalam solat, jadi apa yang penting
ialah kualiti dan bukan kuantiti. Maka pastikan ia dilaksanakan secara baik
(kualiti) dan tidak sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).
Antara aspek kualiti yang
sering ditinggalkan ialah:
1. Meninggalkan
bacaan al-Qur’an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah
al-Qur’an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t.
memerintah kita: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil:4]
2. Meninggalkan
bacaan doa iftitah sebelum
al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah Ini satu kerugian kerana
bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.
3. Mengabaikan
toma’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti
rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam
sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan
betul dan sempurna jumlahnya.
Pernah seorang lelaki
bersolat tanpa toma’ninah pada zaman Rasulullah saw. Melihat cara solat lelaki
itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu menunjukkan
toma’ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti
solatnya, sama ada solat terawih atau selainnya, adalah tidak sempurna.
4. Tidak
mengambil berat tentang melurus dan memenuhkan saf solat.
Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah memberi
peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:
لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ
وُجُوهِكُم .
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu atau
Allah akan tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak
bersatu).” [HR
Bukhari].
Sabda Baginda saw lagi:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ
الصَّلاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu, kerana
saf yang lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat.” [HR Bukhari].
Berdasarkan
perbincangan di atas,
sama-samalah kita jadikan solat terawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan
datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti.
Lihat di sini…
Lihat di sini…
Abu Hurairah r.a.
menerangkan bahawa Rasulullah saw menganjurkannya pada malam Ramadhan dengan
anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:
((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]
Oleh:
AbuAnas Madani
No comments:
Post a Comment