Sunnah-Adab
Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa)
Bagi orang yang berpuasa, selain dari
memahami fadhilat dan hukum hakam puasa, terdapat pula beberapa adab dan amalan
yang perlu dilakukan agar amalan yang dibuat bertepatan dengan Sunnah
Rasulullah saw yang mesti diikuti.
Pertama: Adab
Bersahur.
Rasulullah SAW amat menganjurkan
umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu.
Sabda Baginda SAW: “Bersahurlah kamu
semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” [HR: al-Bukhari dan
Muslim].
Maksud keberkatan di sini ialah
wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar
al-'Asqalani RA:
"Keberkatan sahur itu diperolehi
melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyalahi ahli kitab (Yahudi dan
Nasrani yang tidak bersahur), menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah,
menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk
bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan
berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi
mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.”
Antara hikmah disyariatkan bersahur
adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa
orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).
Sabda Rasulullah SAW:
“Pemisah (yang membezakan) antara
puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” [HR: Muslim].
Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu
agung sehinggakan Allah SWT melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon
keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi SAW amat menitik
beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air.
Sabda Baginda SAW: “Makan sahur ada
keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang
antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya
berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” [HR Imam Ahmad Sahih
al-Jami‟: “Hasan”].
Adalah disunatkan juga untuk
melewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa‟ad RA berkata:
"Aku makan sahur bersama
keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama
Rasulullah SAW.” [HR:
Al-Bukhari].
Qadi „Iyadh RA berkata: "Tujuan
Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan
terbitnya fajar.” [Dinukil
dari Fathul-Bari.]
Waktu yang terbaik untuk makan sahur
adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran
iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan.
Menurut Anas RA, Zaid bin Thabit RA
berkata:
“Kami makan sahur bersama Nabi SAW,
kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan
sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” [HR: Al-Bukhari].
Antara hikmah
mengakhirkan sahur adalah:-
1. Sekiranya seseorang bangun awal
untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat
tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.
2. Mengakhirkan sahur juga boleh
menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur
terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga
dan keletihan pada siang harinya.
Kedua: Adab Berbuka
Puasa.
1- Menyegerakan
Berbuka Puasa.
Disunatkan juga kita menyegerakan
berbuka puasa apabila telah pasti masuknya waktu Maghrib.
Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia akan sentiasa berada di dalam
kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” [HR: Al-Bukhari dan
Muslim].
2- Berbuka Puasa
Dengan Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab adalah buah kurma
yang baru masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula
adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di
pasaran. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW.
Anas bin Malik RA berkata:
“Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum
solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan
tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” [HR: Imam al-Tirmizi].
Tamar, selain sedap dimakan, ia
menyalurkan tenaga dengan cepat kepada tubuh badan.
Keadaan orang yang berpuasa sangat
memerlukan gula yang mudah dicerna untuk menghilangkan rasa lapar. Nutrisi yang
paling cepat dicerna dan sampai ke darah merupakan makanan yang mengandungi
satu atau dua zat gula iaitu glukosa dan sukrosa. Zat gula mampu diserap oleh
tubuh dalam masa yang amat singkat. Justeru, makanan yang paling sesuai dimakan
ialah buah tamar kerana ia memenuhi keperluan di atas.
3. Bersegera
Mengerjakan Solat Maghrib.
Hadis di atas tidak menafikan bahawa
Rasulullah SAW juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan
rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang
disunatkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan.
Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib.
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila
seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan,
utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan
makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” [HR: Al-Bukhari]
Menurut Imam al-Nawawi: “Di dalam
hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak
dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan
khusyuk.”
4. Membaca doa Ibnu „Umar RA
berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca:
Maksudnya: “Hilanglah segala kehausan,
telah basah segala urat-urat dan semoga tetaplah beroleh pahala”. [Hadis riwayat Abu
Daud “Sahih”] Abdullah
Ibnu „Amr Al-„Ass RA berdoa ketika berbuka puasa dengan doa ini:
Maksudnya: “Ya Allah! sesungguhnya aku
memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. [Hadis riwayat Ibn
Majah “Hasan”]
Adapun doa yang sering dibaca oleh
umat Islam dan diajar di sekolah ialah:
Maksudnya: "Ya Allah bagi Engkau
kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka, maka terimalah dari kami,
sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [HR: Al-Daruqutni].
Kata Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu‟:
“Sanadnya Dhaif”. Doa
apabila berbuka puasa di rumah orang.
“Orang-orang yang berpuasa telah
berbuka dengan kamu dan orang-orang yang mulia telah memakan makanan kamu serta
para Malaikat mendoakan agar kamu mendapat rahmat” Di samping doa-doa di atas,
kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana yang mustajab (makbul)
ialah doa orang berpuasa, Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak
bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” [HR: Ibn Majah]
5. Berbuka Puasa
Secara Sederhana.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
{Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke
tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu
melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.} [Surah al-A‟raaf: Ayat
31]
Perhatian: Perlu diingatkan
bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram.
Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang
bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan
makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi SAW: “Anak Adam itu tidak
memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak
Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi
kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak boleh menahan (nafsu makan), suaplah satu
pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk
pernafasan.” [HR:
Al-Tirmizi].
6. Menjamu Makanan
Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya
mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa
terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa
musibah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Mereka juga memberi makan sebarang
makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan
tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi
makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan
sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” [Surah al-Insan: 8-9.]
Menjamu makan untuk
berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar.
Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan
pahalanya. Sabda Baginda SAW:
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk
berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang
berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau
sedikit.” [Hadis
riwayat al-Tirmizi].
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya
diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik
daripada yang lepas.
No comments:
Post a Comment