Wednesday, August 1, 2012

Menghafaz Al Quran : Fadhilat dan Kaifiat


Allah berfirman dalam kitabNya yang mulia:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan Kamilah yang akan menjaganya”  (Al Hijr 15:9)

Al Quran ialah kitab suci bagi umat Islam. Al Quran diturunkan Allah ‘Azza wa Jalla secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan perantaraan Malaikat Jibril A.S bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman itu bagi memudahkan hafalan dan pengamalan oleh para sahabat ketika itu. Nabi Muhammad S.A.W juga pernah berpesan dalam khutbah Baginda yang terakhir. Mafhumnya bermaksud:
“Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran danSunnahku.”

Sesungguhnya, berjayalah mereka yang menghafaz dan mengamalkan apa yang terkandung dalam Al Quran. Al Quran merupakan kitab yang serba ada. Sehinggakan ada suatu kisah, ketika seorang pelajar bertanyakan kepada syeikhnya. “Wahai ustazku, kamu mengatakan segalanya ada dalam Al-Quran. Cuba beritahuku bagaimana cara untuk membuat roti?” Si ustaz diam sejenak. Lantas si ustaz membacakan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Di sini, dapat kita simpulkan, Allah telah menunjukkan kita cara dalam menjalani masalah yang kita hadapi  dalam  kehidupan seharian kita. Semuanya dengan Al-Quran. Yakinlah wahai sahabat  sekalian. Islam merupakan agama yang syumul yaitu sempurna.

Al Quran bukanlah seperti yang dikatakan oleh puak kuffar. Mereka mengatakan bahawa Al Quran merupakan kitab karangan seorang sasterawan arab ataupun Nabi Muhammad S.A.W sendiri walhal mereka tidak mengetahui tentang hal yang mereka perkatakan itu. Hal ini terbukti dengan tentangan daripada Al Quran sendiri. Cuba kita perhatikan Firman Allah S.W.T yang berikut:
“Katakanlah: ‘Maka datangkanlah sepuluh surat yang (dapat) menyamainya” (Surah Hud 13).
“Katakanlah: (‘Kalau benar apa yang kamu katakan), maka cubalah datangkan sebuah surat yang menyerupainya” (Surah Yunus 38).

Hujjah mereka yang mengatakan Al Quran itu merupakan sebuah kitab karangan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W dapat disangkal dengan fakta yang tepat lagi benar.  Kita sudah sedia maklum bahawa Allah menjadikan kekasihNya  Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul yang ‘Ummiy (tidak tahu membaca dan menulis) dan itu tidak mencacatkan sedikitpun kesempurnaan dan kebijaksanaan yang dikurniakan kepada kekasihNya. Nah! Di sini hikmahnya. Allah menjadikan ia sebagai hujjah bagi orang Islam untuk menolak hujjah puak kuffar yang tidak berasas itu.

Allah juga menjelaskan dalam firmanNya :
“Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang yang Ummiyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Nya”. (Surah Al-Jumu’ah 62:2)
Satu fakta yang tak dapat disangkal lagi bahawa, Al Quran merupakan Kalam Allah S.W.T yang Kareem (Mulia) dan ‘Adzim(Agung). Sebagai perumpamaan, jika kita merupakan beginner dalam bidang fotografi dan tidak mahir menggunakan kamera DSLR. Sudah tentu, kita akan merujuk kepada manualnya bukan? Ya, begitu juga kehidupan kita sebagai insan. Al-Quran merupakan manual untuk meneruskan survival insan di atas muka bumi Allah Azza wa Jalla ini. Amatlah terbimbing bagi mereka yang hidup berpandukan Al-Quran.

Justeru, menghafaz Al-Quran merupakan satu jalan yang baik dalam usaha untuk memperbaiki dan menjalani hidup di jalan yang diredhaiNya. Terdapat banyak hadis tentang kemuliaan dan fadhilat menghafal Al-Quran yang diriwayatkan. Berikut merupakan hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab hadis Sunan Sittah yang mafhumnya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

 “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

 “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf. “(Riwayat Tarmizi)

No comments:

Post a Comment