Allah
menjadikan fitrah insan mempunyai perasaan kasih dan sayang. Perasaan ini ada
pada setiap manusia yang normal. Kita sememangnya menyayangi ahli keluarga,
saudara-mara, kawan yang rapat, sesiapa sahaja yang membuat kebaikan
kepada kita.
Sebenarnya
perasaan kasih dan cinta ini boleh membawa seseorang itu ke syurga atau ke
neraka.
Dari Anas
bin Malik r.a dia berkata:
“Ada
seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw “ Bilakah hari kiamat akan berlaku
wahai Rasulullah?” baginda menjawab, “Apa yang telah kau persiapkan untuknya?”
Lelaki itu menjawab, “Aku tidak mempersiapkan banyak solat, puasa, ataupun
sedekah. Namun aku mencintai Allah dan RasulNya.” Maka beliau bersabda: “Kamu
akan bersama dengan orang yang kamu cintai.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hadis Nabi saw ini menjelaskan bahawa lelaki tersebut akan bersama Rasulullah saw di syurga lantaran kasih dan cintanya kepada Allah dan Rasul walaupun amal solehnya tidak seberapa.
Hadis ini
juga memberi isyarat kepada kita agar berhati-hati memilih orang untuk
dicintai, dipuja dan dinyatakan taat setia kerana ia boleh membawa kepada
kebinasaan di akhirat.
Dalam hadis
yang lain iaiti riwayat Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa dia berkata:
“Seorang
lelaki datang kepada Rasulullah saw lalu bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapat
baginda tentang seseorang yang mencintai suatu kaum namun dia tidak mampu
menyamai (amalan saleh) mereka?” Maka Rasulullah saw menjawab, “Seseorang itu
akan bersama dengan orang yang dia cintai.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai
seorang mukmin yang yakin dengan hari akhirat dan yakin dengan sabda Rasulullah
saw kita hendaklah meletakkan rasa cinta dan kasih kita bertunjangkan kepada
iman dan Islam. Dengan kata lain kita menyintai seseorang kerana agama dan
takwanya kepada Allah.
Cinta dan
benci hendaklah kerana Allah SWT. Kita mencintai seseorang kerana Allah juga
mencintainya lantaran keimanan dan ketaatannya kepada Allah. Kita juga
hendaklah membenci seseorang kerana Allah juga membencinya disebabkan
perdurhakaannya kepada Allah.
Muhasabahlah
diri kita masing-masing. Siapa orang yang kita sayangi? Adakah mereka golongan
yang beriman, mentauhidkan Allah dan mengabdikan diri kepada Allah atau mereka
golongan yang menyekutukan Allah dan mengingkariNya?
Amat malang
sekali sekiranya terdapat orang Islam tetapi mengasihi dan memuja golongan yang
memusuhi Allah iaitu individu yang menyembah selain dari Allah. Lebih malang
lagi si muslim tersebut akan bersama-sama pujaannya (yang mati dalam syirik) di
neraka kelak sebagaimana maksud hadis Nabi saw di atas.
Kita
sepatutnya menyatakan kecintaan kepada golongan yang dicintai dan diredai oleh
Allah iaitu Rasulullah saw, para sahabat, para tabi’in, para ulama dan sesiapa
sahaja yang beriman dan beramal soleh. Mencintai golongan ini akan memberi
kebaikan kepada kita iaitu dimasukkan ke dalam syurga disebabkan keimanan dan
kesolehan mereka.
Sememangnya
kita tidak akan mampu menandingi amalan-amalan mereka namun disebabkan rasa
cinta kepada mereka Allah dengan kemurahanNya akan menempatkan kita bersama
mereka. Subhanallah!
Semoga Allah
mencampakkan benih kecintaan dalam hati-hati kita agar mencintai golongan yang
dikasihi dan diredai oleh Allah SWT.
Oleh Abuaqil
Adnan
No comments:
Post a Comment