Tuesday, November 13, 2012

Asal Ibadah Adalah Dilarang Melainkan Ada Nas



14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura

1. Melapangkan masa / belanja anak , suami & isteri2
fadhilat – Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat – Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah
fadhilat – Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.
4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat – Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat – Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah
fadhilat – Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari
kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat – Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat
fadhilat – Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
lafaz niat : ‘Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala’
9. Bercelak
fadhilat – tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat – Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
lafaz niat : ‘Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala’
Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca
‘hasbiyallahhu wani’mal wakil wa ni’mal maula wa ni’mannasiiru’
fadhilat – Tidak mati pada tahun ini .
13. Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa
Niat – ‘Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala’
fadhilat – Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
Insya’allah..
Semoga Bermanfaat Dan Dapat Dipanjangkan Kepada Yang Lain-Lain.

Tulisan ini adalah himpunan perkataan para ulama berhubung konsep ibadat di dalam Islam. Ia merupakan jawapan terhadap kekeliruan segelintir manusia yang tidak dapat membezakan antara kaedah syarak dalam mu’amalat dengan kaedah syarak dalam ibadat.  Kesan daripada kekeliruan ini sungguh besar kerana ia antara faktor penyebab berlakunya rekaan dan tokok tambah di dalam amalan agama. Ia menyebabkan sering kedengaran ungkapan-ungkapan seperti :

 "apa salahnya ? ", ...
" tak ada dalil pun yang melarang ! ", ... 
"tak apa kalau kita buat ibadat banyak-banyak, nanti di akhirat Allah pilihlah ! Mana yang betul Allah terima dan mana yang salah Allah tolak" dan sebagainya.
Jika yang melaungkan atau memperjuangkan perkara ini terdiri daripada golongan juhhal (jahil agama), mungkin mudah untuk di atasi. Tetapi malangnya, golongan yang mencanangkan perkara ini terdiri dari individu-individu yang bertitlekan lulusan agama atau menjawat jawatan yang dipandang tinggi oleh masyarakat di sudut agama. Hasilnya, masyarakat yang jahil ini akan menyandarkan bulat-bulat amalan dan kepercayaan mereka kepada apa yang dinyatakan oleh ustaz dan ulama mereka. Mereka menyangka dengan menyandarkan amalan kepada para ustaz atau ulama sudah menjamin kesahihannya tanpa perlu lagi mengkaji, menyemak, mengetahui dalil dan sandarannya. Mereka seakan-akan menyangka bahawa para ustaz dan ulama boleh sewenang-wenangnya menyatakan apa sahaja tentang agama. Mereka ini tidak mengetahui betapa para ulama muktabar membenci tokok tambah agama.

Justeru melalui kaedah yang disebutkan ini jelas menegaskan pendirian para ulama berhubung tindakan segelintir manusia yang sesuka hati menokok tambah dalam ibadat. Ternyata mereka tegas menolak rekaan dan inovasi dalam perkara yang telah ditetapkan oleh syariat.

Perkataan Ulama

Berikut adalah nukilan perkataan para ulama tentang kaedah melaksanakan ibadah di dalam Islam.

1- Perkataan al-Imam as-Subki seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie:

اَلْأَصْلَ فِي اَلْعِبَادَةِ اَلتَّوَقُّف

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”.(Fath al-Bari: 4/174)

2- Kata pengarang Nihayah al-Muhtaj dalam mazhab As-Syafi’ie:

الْأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ أَنَّهَا إذَا لَمْ تُطْلَبْ لَا تَنْعَقِدُ

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah jika ia tidak dituntut, ia tidak berlaku”.(Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj:3/109)

3- Kata al-Bujairami as-Syafi‘ie menukilkan perkataan as-Syaubari:
الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَةِ إذَا لَمْ تَطْلُبْ بُطْلَانَهَا

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah jika tidak dituntut, adalah terbatal”.(Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib: 3/497)

4- Kata Muhammad Bin Yusuf Bin Isa Atfisy al-Ibadi: 

وَأَنَّ الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَةِ أَنْ لَا تُحْمَلَ عَلَى الْوُجُوبِ إلَّا لِدَلِيلٍ

Terjemahan: “ Bahawasanya asal hukum di dalam ibadat adalah tidak membawa kepada wajib melainkan dengan adanya dalil”.(Syarh al-Nayl wa Syifa’ al-‘Alil: 7/211)

5- Kata as-Syeikh Muhammad Bin Muhammad:

الْأَصْلُ فِي الْمَنَافِعِ الْإِبَاحَةُ وَفِي الْمَضَارِّ التَّحْرِيمُ فَقَالَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنْهُمْ الْإِسْنَوِيُّ وَهَذَا إنَّمَا هُوَ بَعْدَ وُرُودِ الشَّرْعِ بِمُقْتَضَى الْأَدِلَّةِ الشَّرْعِيَّةِ وَأَمَّا قَبْلَ وُرُودِهِ فَالْمُخْتَارُ الْوَقْفُ

Terjemahan: “Asal hukum dalam perkara bermanafaat ialah mubah (harus) manakal dalam perkara mudarat ialah haram. Maka berkata ramai ulama antaranya al-Imam al-Isnawi: dan ini hanya berlaku selepas disyariatkan dengan dalil-dalil syar‘ie, sedangkan sebelum warid (ada dalil), maka pilihan para ulama ialah waqf (berhenti pada dalil)”.(Al-Taqrir wa al-Tahbir: 3/19 8)

6- Kata pengarang kitab Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah dalam Fiqh Syafi‘ie:

الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَاتِ التَّوْقِيفُ

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (bersandarkan kepada dalil)”.(Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah: 4/150)

7- Kata as-Syeikh Abd. Rahman as-Sa‘di:

الأصل في العبادات الحظر ؛ فلا يشرع منها إلا ما شرعه الله ورسوله ، والأصل في المعاملات والاستعمالات كلها الإباحة ; فلا يحرم منها إلا ما حرمه الله ورسوله

Terjemahan: “Asal hukum dalam ibadat adalah dilarang; maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya, manakala asal hukum di dalam muamalat dan kepenggunaan seluruhnya adalah harus; maka tidak diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya”.(Taisir al-Latif al-Mannan fi Khulasah Tafsir al-Ahkam : 1/299) 

 Pengajaran dan mesej daripada perkataan Ibn Kathir dan Ibn Rajab:

1-Allah mencela orang-orang yang mengikut kesesatan dan kejahilan yang batil yang dianjurkan oleh para syaitan dari kalangan jin dan manusia.

2-Bukankah rasulullah telah menyatakan bahawa bid‘ah adalah kesesatan?

3-Bukankah sesuatu itu patut digelar kejahilan yang merosakkan apabila suatu kepercayaan atau pendapat atau amalan dipegang tanpa bersandar kepada dalil dan hujah?

4- Suatu amalan itu hanya diketahui ia adalah ibadat dengan nas daripada syarak, lalu apabila ia bukan daripadanya seakan-akan bermaksud membuat syariat sendiri? Siapa yang akan memberi pahala?

5-Rasulullah mengiktiraf puasa yang dilakukan oleh sahabat tersebut tetapi baginda menolak cara ibadat itu dilakukan. Ini sama seperti amalan berdoa, berzikir dan sebagainya, ia diterima syarak apabila menepati ajaran nabi, tetapi ditolak apabila caranya tidak diajarkan oleh baginda.


والله أعلمُ بالـصـواب


Disediakan oleh Ustaz Abdul Rasyid Idris dan WADi

Monday, November 12, 2012

Penjelasan Status Zikir Taubat



Berikut bait-bait yang mahsyur yang dinisbahkan sebagai zikir taubat/munajat dan nama lain, wallahua'lam.
إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا
وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ
Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu
Namun Aku tidak sanggup ke neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Bait-bait di atas sebenarnya bukanlah zikir yang thabit daripada zikir Rasulullah s.a.w. Tidak ditemukan di dalam mana-mana kitab hadith sama ada khutub sittah (kitab hadith yang enam) seperti  Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Ibn Majah, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi,dan Sunan an-Nasai'e mahupun kitab hadith  yang lainnya seperti Al-Muwaththa' Al- Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Sunan ad-Darimi, Sahih Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban, Mu'jam Al-Kabir, Mu'jam Al-Ausath, Mu'jam As-Saghir (at-Thabarani), Sunan ad-Daruquthni, Mustadrak Al-Hakim mahupun Sunan al-Kubra al-Bahaqi. Jika anda menyemak dan menemukan bait ini di dalam kitab di atas maka penulis sedia menerimanya dan penulisan ini mansukh dengan sendirinya.

Sepanjang pengetahuan penulis, bait-bait ini dinisbahkan kepada beberapa tokoh tertentu antaranya ialah:

1. Daripada al-Imam As-Syafie dalam kitab  Diiwaan al-Imam al-Syafie. Tidak ditemukan bait-bait diatas di dalam al-Diiwaan sebagaimana yang didakwakan.

2. Daripada Rabiatul Adawiyah. Dakwaan diatas tiada asalnya, tiada bukti yang menunjukkannya dan tiada dinuqilkan dalam mana-mana kitab kibar ulama'.

3. Daripada Syair Abu Nawas.

4. Daripada Ash-Sha'raaniyy dalam I'aanah At Taalibiin.

Maka yang thabit adalah datangnya dari  seorang tokoh sufi bernama Ash-Sha'raaniyy dalam I'aanah At Taalibiin yang menyebut bahawa orang yang mengamalkan membacanya secara tetap pada hari Jumaat maka dia akan mati dalam Islam tanpa syak. Lajnah Daa'imah mengeluarkan fatwa membid'ahkan amalan membaca bait-bait ini selepas Jumaat namun tidak mengingkari maknanya yang boleh diinterpretasi dengan beberapa cara.

عن سيدي عبد الوهاب الشعراني - نفعنا الله به - أن من واظب على قراءة هذين البيتين في كل يوم جمعة، توفاه الله على الاسلام من غير شك، وهماإلهي لست للفردوس أهلا * * ولا أقوى على نار الجحيم فهب لي توبة، واغفر ذنوبي * * فإنك غافر الذنب العظيم ونقل عن بعضهم أنها تقرأ خمس مرات بعد الجمعة..
Maka bait diatas bukanlah bait zikir yang thabit dari Rasulullah s.a.w dan ia tidak boleh diamalkan sama sekali sebagai zikrullah baik ketika sesudah solat, ketika qiamullail dan sebagainya atas dasar ibadah. Sebagi umat Islam, kita seharusnya memohon kepada Allah akan rahmatnya untuk ke syurga dan bukan ke neraka. Menyatakan tidak layak untuk ke syurga adalah tidak tepat kerana dengan rahmat dan limpah kurniaNya, sesiapa sahaja yang dikehendakiNya boleh berada dalam syurga, insyaAllah.

Lemahnya bait ini jika dianggap  zikir adalah kerana bait ini dengan jelas menyalahi hadith Rasulullah s.a.w:
فإذا سألتم الله فسلوه الفردوس
الراوي:أبو هريرة المحدث:البخاري - المصدر:صحيح البخاري- الصفحة أو الرقم:7423

"Jika anda meminta dari Allah, mintaklah syurga Firdaus" (Riwayat al-Bukhari no 7423)

Cara Beramal Dengan Bait Ini
Menyatakan bait ini adalah zikir merupaka bid'ah dan satu kesalahan yang besar kesannya. Apatah lagi beramal dengan nya yang mana ia tiada sandaran yang thabit dari zikir-zikir Rasulullah s.a.w. Adapun begitu tidak menjadi kesalahan jika ia dinisbahkan sebagai syair, nasyid, dan sebagainya dan bukan sebagai suatu bentuk zikrullah. Berikut adalah terjemahan daripada keseluruhan bait syair tersebut:

Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu
Namun Aku tidak sanggup ke neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar
Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai,
Terimalah taubatku Wahai Tuhan yang Maha Tinggi
Dan usiaku berkurang setiap hari,
Dan dosaku pula bertambah setiap masa
Tuhanku, hamba-Mu yang sering melakukan
maksiat telah datang kepada-Mu
Senantiasa Berbuat dosa, dan sesungguhnya
telah berdoa kepada-Mu
Jika Kau ampunikan, maka itu hak-Mu
Dan jika Kau tinggalkan, maka siapa lagi
yang hendak kami harapkan seperti-Mu 

Menerusi bait-bait ini maka tidaklah menjadi suatu kesalahan disisi syara' jika ia diungkapkan sebagai syair arab atau nasyid atas beberapa alasan berikut:
1.  Tidak ada satu ayat pun yang menunjukkan bahawa si hamba itu berkata bahawa dia tidak mahu ke syurga, ia hanya menyatakan yang dengan keadaan dirinya sekarang bahawa tidak layak syurga itu untuknya. Bukan tidak mahu ke syurga. Tidak mahu ke syurga dan tidak layak ke syurga adalah dua ayat yang berlainan maksudnya.

2. Syair ini berbentuk rintihan, luahan hati. Ia selari dengan maksud 'kita tidak masuk syurga sebab amal kita, sebaliknya dengan rahmat Allah'. Ia hanya satu rintihan seorang hamba, yang mengakui bahawa amalnya tak banyak, amalnya tak mampu bawa dia ke syurga, melainkan kalau Allah yang izinkan kerana amalan bukan penentu mutlak seseorang itu ke syurga melainkan dengan rahmatNya. 

Kesimpulan 

Bait-Bait tersebut bukanlah zikir dan tidak boleh menisbahkannya sebagai zikir apatah lagi beri'tiqah dan mengamalkannya sebagai zikir. Banyak zikir-zikir yang terkandung dalam hadith-hadith sahih yang tidak kita amalkan sepenuhnya lagi, jadi tiada sebab untuk mewujudkan zikir lain yang tiada sandarannya dari Rasulullah s.a.w. Adapun begitu ia boleh diamalkan dalam bentuk syair arab atau nasyid sebagai rintihan kita, hamba yang mengharapkan rahmat Allah s.w.t ke syurga. Penjelasan dan kefahaman yang benar amat penting untuk mengelakkan ummah salah faham antara perkara yang mengikuti sunnah dan perkara yang menjauhi sunnah Rasulullah s.a.w. Sebarkanlah jika anda merasai ianya benar.


والله أعلمُ بالـصـواب

Sunday, November 11, 2012

Sambutan Maal Hijrah



Sambutan Maal Hijrah, Antara Sunnah dan Bidaah di Bulan Muharram

Allah S.W.T dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding dengan bulan-bulan yang lain agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba-Nya pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di antara bulan yang dianggap istimewa itu adalah bulan Muharram yang merupakan bulan yang pertama dalam kalendar hijrah dan ia juga merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram yang penuh berkat.

Firman-Nya:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (al-Tawbah (9) : 36 )

Menerusi firman-Nya “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)” ia menunjukkan bahawa pada bulan-bulan haram yang mana Muharram adalah salah satu darinya kita dilarang dari melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang kerana dosa melakukan kemungkaran pada bulan-bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah S.W.T. berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Namun begitu bagi mereka yang melakukan amal-amal yang soleh ganjaran pahalanya juga adalah lebih tinggi berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ.
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. ( riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662)

Oleh itu hendaklah pada bulan Muharram yang mulia ini kita hindarkan diri dari melakukan amalan yang dilarang dan mempertingkatkan amal ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. terutamanya ibadah puasa. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
Sebaik-baik puasa setelah Ramadhan adalah bulan Allah al-Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat malam. (riwayat Imam Muslim, no: 1163.)

Sabda baginda ‘Bulan Allah al-Muharram” menegaskan lagi betapa mulianya bulan Muharram ini. Oleh itu hendaklah kita bersungguh-sungguh untuk berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Muharram ini. Namun ini tidak bermakna kita disyari’atkan untuk berpuasa sepanjang bulan Muharram ini kerana Rasulullah s.a.w. hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadhan sahaja. Aisyah r.a berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلاَّ رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ.
Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban. (riwayat Imam al-Bukhari, no: 1969.)

Pada bulan Muharram ini juga terdapat hari yang digelar sebagai Asyura iaitu hari di mana Nabi Musa a.s. dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah S.W.T. dari tentera Fir’aun.

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا.
Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Fir’aun. Maka sabda Nabi s.a.w.: “Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. (riwayat Imam al-Bukhari, no: 4680.)

Melalui hadith di atas ini juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa. Disunnahkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi. Rasulullah s.a.w. bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا.
Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.(riwayat Imam Ahmad, no: 2047)

Kemunculan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar umat Islam sentiasa dihiasai dengan beberapa amal ibadah tertentu. Upacara-upacara tersebut bermula pada hari terakhir bulan Dzulhijjah iaitu diambang menjelangnya 1 Muharram. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari terakhir bulan Dzulhijjah dan membaca doa akhir tahun selepas solat Asar. Seterusnya setelah menjelangnya 1 Muharram iaitu selepas solat Maghrib dibaca pula doa awal tahun, bacaan Surah Yassin, zikir-zikir tertentu malah ada juga yang mengerjakan solat sunat sempena 1 Muharram dan berpuasa pada siang harinya.

Sebenarnya kesemua amalan-amalan yang disebutkan di atas atau apa jua amalan sempena tibanya tahun baru hijrah tidak memilki dalil-dalil yang sah daripada Rasulullah s.a.w. bahkan para Imam-Imam mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, Syafi’i dan Ahmad r.h juga tidak pernah mengamalknnya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyambut kehadiran bulan Muharram atau kedatangan tahun baru dengan upacara yang tertentu. Kalendar Hijrah juga tidak wujud pada zaman Rasulullah kerana ianya hanya diperkenalkan pada zaman pemerintahan ‘Umar al-Khaththab r.a iaitu tujuh tahun setelah baginda wafat. ‘Umar yang memperkenalkan kalendar ini juga tidak pernah melakukan atau menganjurkan upacara tertentu sempena kedatangan tahun baru dan begitu juga para sahabat serta para al-Salafussoleh yang lain.

Adapun hadis-hadis yang dijadikan hujjah oleh golongan yang melakukan amalan tertentu sempena kedatangan tahun baru merupakan hadis-hadis lemah (dha’if) dan palsu (mawdhu’). Antara hadis-hadis tersebut adalah:
Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: 
Barangsiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama di bulan Muharam, maka sesungguhnya dia telah menghabiskan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya sebagai penghapus dosanya lima puluh tahun”. Menurut Ibnul Jauzi di dalam al-Mawdhu’at bahawa hadis ini palsu (maudhu’)
Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa berpuasa sembilan hari dari awal Muharram maka Allah membina untuknya sebuah kubah di udara yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu. Hadis ini adalah palsu (mawdhu’) menurut Ibnul Jauzi di dalam al-Mawdhu’aat dan Imam al-Suyuthi di dalam La’aali al-Mashnu’ah.

Setiap kali di ambang munculnya tahun hijrah yang baru seluruh media serta kebanyakan jabatan-jabatan atau majlis-majlis agama Islam di Malaysia menganjurkan untuk dibacakan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Masjid-masjid diseluruh tanah air juga mengadakan upacara-upacara khas untuk membaca doa-doa awal dan akhir tahun itu. Lafaz doa tersebut adalah sepeti berikut:

Doa Akhir Tahun
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyanyang, segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w., serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tiada meredhainya dan Engkau memang tiada melupakannya (Tuhan tidak bersifat lupa) dan Engkau berlembut tiada mengazab kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Maka kami sekalian memohon keampunan Mu. Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang telah Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah.
Doa ini hendaklah dibaca 3 kali pada akhirnya waktu Asar hari ke 29 atau 30 daripada bulan Dzulhijjah, maka barangsiapa membaca doa ini daripada waktu yang telah tersebut maka berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini maka diampuni Allah Ta’ala sekalian dosanya yang setahun ini.

Doa Awal Tahun
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyanyang, segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w., serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan. Kelebihan Mu maha besar dan kemurahan Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada Mu agar terpelihara kami sekalian di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga dari kuncu-kuncunya syaitan dan bala tenteranya. Dan kami mohon daripada Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Kami mohon juga kepada Mu ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada Mu. Ya Allah Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia. Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.

Doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali setelah solat Maghrib pada malam 1 haribulan Muharram dan barangsiapa membaca ini maka bahawasanya syaitan berkata telah amanlah anak adam ini daripada aku barang yang tinggal dari umurnya pada ini tahun kerana bahawasanya Allah Ta’ala telah mewakilkan dua malaikat memelihara akan dia daripada fitnah syaitan.

Pada hakikatnya kedua-dua lafaz doa ini serta fadhilat yang ditetapkan itu tidak pernah wujud dalam mana-mana kitab-kitab hadis dan tidak ada juga hadis walaupun yang bertaraf lemah (dha’if) mahupun palsu (mawdhu’) yang mengkhabarkan tentangnya. Menurut Syeikh Jamaluddin al-Qasimi r.h doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal daripada Nabi s.a.w. tidak juga berasal daripada para sahabat, tabi’in dan tidak diriwayatkan dalam musnad-musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam kitab maudhu’at (iaitu kitab yang memuatkan hadis-hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan “berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini” merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya.

Tetapi sekiranya sesiapa yang hendak membacanya tanpa beri'tiqad seperti yang ada di dalam fadhilat yang direka tersebut silakan, kerana ia termasuk di dalam keumuman doa, dan perlu diingat tidak ada upacara khas atau dibaca beramai-ramai (untuk membaca doa tersebut).

Hendaklah kita sentiasa berdoa memohon keampunan daripada Allah S.W.T., memohon perlindungan dari hasutan syaitan, memohon perlindungan dari mengerjakan perbuatan maksiat dan memohon agar kita sentiasa terbuka hati untuk mengerjakan amal-amal soleh. Menetapkan doa-doa tertentu, dibaca pada waktu tertentu dengan fadhilat-fadhilat yang tertentu tanpa perintah daripada Allah dan Rasul-Nya merupakan satu perbuatan mencipta hukum syarak yang baru dan perbuatan ini adalah diharamkan. 
Firman-Nya:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. –(al-An’aam (6) : 153)

Selanjutnya Allah S.W.T. menegaskan lagi hal ini melalui firman-Nya:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya-fitrah) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-Rum (30) : 30)

Maksud melakukan perubahan terhadap ciptaan Allah dalam ayat di atas adalah mengubah agama Islam seperti menambah-nambah satu upacara ibadah yang tiada sandarannya dari al-Qur’an dan al-Sunnah iaitu dengan mengamalkan amalan bidaah seperti mengkhususkan amalan-amalan yang tertentu sempena kedatangan tahun baru hijrah. Adalah penting bagi kita untuk memastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan amal ibadah sebelum kita mengamalkannya. Ini adalah kerana setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697)

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. (Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718)

Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. seperti ibadah tertentu sempena kedatangan bulan Muharram ini pada hakikatnya ia bukan sebahagian dari agama pada masa itu. Sekira ianya bukan sebahagian dari agama pada zaman Rasulullah s.a.w. maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam.
Imam Malik r.h berkata:
Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ
Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. - al-Maaidah (5) : 3

Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49

oleh Ustaz Mohd Yaakub bin Mohd Yunus