Showing posts with label Alam Ghaib. Show all posts
Showing posts with label Alam Ghaib. Show all posts

Saturday, April 20, 2013

Roh suami datang bersetubuh dengan isteri



Roh suami telah mati datang bersetubuh dengan isteri setiap malam

Persoalannya bolehkah roh suami yang sudah mati kembali meniduri isterinya yang masih hidup?

Soalan: Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya ?

ii) Bolehkah roh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya ?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Jawapan:

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.”

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.

Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”
Ayat al-Quran lain ada menyebut,
“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh. Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.

Wallahu a’lam.

-Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din

Tuesday, April 16, 2013

Pertanyaan Munkar Dan Nakir Dan Seksa Kubur!



Seseorang yang baru masuk ke alam kubur, maka dikala itulah dia akan terkenang akan perbuatannya yang lalu. Teringatlah dia akan dosa-dosanya, menyesallah dia akan perbuatan dirinya, mengapa dia selalu menuruti hawa nafsunya? Mengapa dia berlengah-lengah sahaja? mengapa dia tidak mahu segera bertaubat? padahal suara hatinya yang suci dalam dirinya selalu memberikan peringatan. Sudah terlalu banyak contoh tauladan, ibu dan bapa yang telah meninggal dunia, tua muda, kecil dan besar tidak terkecuali. Kadang-kadang dirinya sendiri pernah melawat ke tanah perkuburan. Tetapi hal itu dianggap ‘biasa-biasa’ sahaja, tidaklah diambil perhatian.

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ * حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ * كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ * ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ * كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ * لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ * ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ * ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Bermegah-megahan telah melalaikan kamu *1 -Sampai kamu masuk ke dalam kubur -Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu) -Dan janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin -Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim -Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan 'ainul yaqin *2 - Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).

*1: Maksudnya: bermegah-megahan dalam soal banyak harta, anak, pengikut, kemuliaan, dan seumpamanya telah melalaikan kamu dari ketaatan.
*2: 'Ainul yaqin ertinya melihat dengan mata kepala sendiri sehingga menimbulkan keyakinan yang kuat.

Kini dia sedang mengalami dengan saksi matanya yang yakin, kini benar-benar kenyataan dirinya sendiri mengalami alam kubur.

"Amboi, alangkah dungunya aku! Alangkah bebalnya diriku! Hidupku di dunia hanya menuruti kehendak nafsuku! oh syaitan! betul-betul terkutuklah engkau! engkau telah memperdayakan aku. Semasa dia terpaku dalam kebingungan, ketakutan dan kekuatiran! Maka timbullah penyesalan yang sangat besar. Dalam perasaan yang penuh penyesalan itu, tiba-tiba dilihatnya dua makhluk raksasa yang entah dari mana munculnya lalu datang menghampirinya. Seram, hebat rupanya dan menakutkan sehingga rasa nak tercabut sendi dan tulangnya dan terbang semangatnya.

"Hai insan yang derhaka!"
"Sekarang giliranmu untuk menjawab pertanyaan kami, bersiaplah engkau menjawabnya!"
"Siapakah Tuhanmu?"
"Siapakah Nabimu?"
"Apa agamamu?"
"Apa kitabmu?"
"Dimana kiblatmu?"
"Dan siapakah saudaramu?"

Mendengar pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir sedemikian, ia menjadi sangat gugup. Bibirnya gementar, terasa berat bibirnya untuk menjawab "Allah Tuhanku" kerana selama hidupnya di dunia dia tidak pernah mengingati "Allah", bibirnya tidak pernah mengucapkan "Kalimat Allah", kerana dia telah meninggalkan solat lima waktu.

Hendak mengaku “Muhammad Nabiku”, lidah pula terasa berat untuk mengucapkannya kerana semasa hayatnya tidak pernah mengucapkan kalimat Shahadat dan Selawat. Untuk menjawab “kaa'bah kiblatku” pun tetap sama, meskipun hatinya tahu, namun mulutnya seolah-olah berat untuk menjawabnya, kerana dia tidak pernah menghadap kiblat, lantaran dia tidak pernah solat! Dan begitu juga terhadap pertanyaan-pertanyaan yang lain, dia tidak mampu lagi menjawabnya! pendek kata semua pertanyaan-pertanyaan itu tidak dapat dijawabnya.

Malaikat Munkar dan Nakir menjadi teramat murka! Seketika itu, ia mengangkat cambuknya lalu…
Tar! Tar! Tar!!
Terimalah hadiah dari kami!"

Seketika itu, menghentamlah cambuk malaikat itu ke tubuhnya bertubi-tubi seribu kali cambukan lalu terbenam tubuhnya sehingga 7 petala bumi. Dia memekik melolong, menjerit kesakitan, akan tetapi kedua-dua malaikat itu tidak merasa belas kasihan langsung, dihentamnya lagi cambuk itu berkali-kali sehinggalah dia pengsan tidak sedarkan diri lagi!

Setelah ia tersedar, malaikat itu sudah pun berlalu pergi. Aduh sakitnya! Sekujur tubuhnya yang kelihatan amat mengerikan, bekas luka cambuk nampak berjurai-jurai pada tubuhnya. Begitulah nasib untuk orang yang meninggalkan sembahyang, dan begitulah juga nasib untuk orang yang gemar membuat dosa!

Kemudian tidak berapa lama selepas itu, muncullah sesusuk tubuh makhluk yang keji rupanya dan menjijikan! Tubuhnya dipenuhi najis serta kudis-kudis yang buruk! Dari kudis-kudisnya itu mengalirlah nanah pekat dan darah yang sangat busuk baunya, pakaiannya selekeh, compang-camping dan sangatlah berbau bangkai.

Orang yang gemar melakukan maksiat akan ditemani oleh 'amalan dirinya' yang jijik di alam kubur!
"Hei siapa kamu?" kata simati, "Mengapa kamu kemari? Hei orang yang busuk!" "Apa hubunganmu dengan aku, kenapa kamu datang kemari?" "Pergilah kamu hai manusia busuk! Aku sangat jijik melihatmu!"
Kata orang busuk itu: "Hai insan derhaka! Tidak usahlah kau mengusir aku, meskipun bagaimana, tidak akan ku pergi meninggalkan engkau! Tahukah kamu, akulah amalmu! Maka kerana perbuatanmulah aku jadi sebegini jijik. Tidak satupun dari amalmu yang soleh. Hidupmu cuma menuruti hawa nafsu sahaja, penuh dengan dosa dan nista, derhaka kepada Allah Ta'alaa. Mengapa kamu jijik melihat keadaanku begini? Sedangkan ketika hidupmu tidak segan-silu berbuat amal yang keji?"
"Mengapa aku harus pergi dari sisimu? Kerana aku inilah amal perbuatanmu? Sebagaimana kamu suka beramal yang keji, maka kerana itu aku sangat cinta padamu dan tidak akan ku berpisah padamu buat selama-lamanya!"

Setelah makhluk itu mengucapkan kata-kata sedemikian, lalu melompatlah ia menjerkah orang itu serta merangkulnya sekuat-kuat hatinya!
Meskipun ia mengelupur sekuat-kuatnya untuk melepaskan diri daripadanya, tapi sia-sia sahaja. Semakin dia memberontak semakin kuatlah pelukannya.
Cubalah bayangkan, demikianlah antara lain seksaan kubur dan bermacam-macam pula lagi yang akan diterimanya seperti dibelit ular, disengat kala jengking, dimamah ulat dan lain-lain, kerana dosanya pelbagai. Dosa meninggalkan solat, dosa meninggalkan puasa, dosa tidak mengeluarkan zakat, dosa,dosa,dosa dan dosa!
Wallahu a'lam...

Sunday, March 17, 2013

MALAM PERTAMA BUAT YANG TERAKHIR



Malam pertama…
Malam itu ialah Malam Pertama Di Alam Kubur
Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?
Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan sengsara? Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur?
Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza. ”Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi Malam Pertama Di Alam Kubur! Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut.

Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat: “Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah! Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti? Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”

Kematian itu pasti. Ia tidak meleset meski hanya sedetik. Ia biasa datang menyerap dengan tiba-tiba. Ia misteri. Kerananya setiap orang semestinya selalu siap. Dan tentu, husnul khatimah harus menjadi pilihan. Untuk mencapai itu, harus melalui jalan syari’at dengan menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah Ta’ala. Tanpanya, husnul khatimah itu nihil. Bukankah, perahu tak akan berjalan di daratan?

Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap-siap menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta dan sejuta asa, apakah engkau telah bersiap-siap menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.
(Dipetik dari buku Dr Aidh Abdullah Al- Qarni)

Saturday, March 16, 2013

9 JENIS SYAITAN



Umar al-Khattab r. a berkata, terdapat 9 jenis anak
syaitan:
1. Zalituun
Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat
cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan
membeli barang-barang yang tidak perlu.
2. Wathiin
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya
bersangka buruk terhadap Allah.
3. A’awan
Menghasut sultan/raja/pemerintah supaya tidak
mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan/kekayaan
hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu
mendengar nasihat par a ulama.
4. Haffaf
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri
orang yang berada di tempat-tempat maksiat (cth :
disko, kelab mlm & tempat yg ada minuman keras).
5. Murrah
Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan
muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam
dalam keseronokan dan glamour etc.
6. Masuud
Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah,
gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yg mula dari
kata-kata mulut.
7. Daasim (BERILAH SALAM SEBELUM MASUK KE RUMAH…)
Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam
ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar
berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri
bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri,
isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak
didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga
lagi).
8. Walahaan
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya
ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan
ibadat-ibadat kita yg lain.
9. Lakhuus
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.