Ramadan Bulan Mustajab
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ
لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ
وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ بِعِزَّتِي
لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Daripada Abu Hurayrah katanya
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak,
pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka dan doa orang
yang dizalimi. Allah s.w.t. mengangkatnya di atas awan-awan pada hari Kiamat
dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Dia berfirman: “Demi kemuliaan-Ku
pasti Aku akan memberi pertolongan walaupun selepas seketika.” (Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Khuzaymah,
Ibn Majah)
عن عَبْدِ الله بْنِ عَمْروٍ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ
لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr
katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa
ketika saat berbuka satu doa yang tidak ditolak. (Ibn Majah, al-Hakim)
قَالَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو يَقُولُ إِذَا أَفْطَرَ اللَّهُمَّ إِنِّي
أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Ibn Abi Mulaykah berkata: “Saya
mendengar ‘Abdullah bin ‘Amr mengucapkan ketika berbuka, ya Allah, aku memohon
dengan rahmat-Mu yang maha luas meliputi segala sesuatu agar Engkau
mengampunkanku.”
Hendaklah orang yang berpuasa merebutkan peluang sebelum berbuka
dengan memperbanyak doa dan zikir kepada Allah s.w.t. dengan hati yang hadir
dan khushu’ kepada-Nya. Walau bagaimanapun, tidak dikhususkan dengan doa yang
tertentu, setiap orang boleh berdoa dengan mana-mana doa yang dihajatinya.
Sebab doa sangat diperkenankan pada bulan ini ialah kerana
berhimpunnya pelbagai keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Selain itu, jiwa
dan hati orang mu`min lebih suci dan khushu` lantaran penguasaan hawa nafsu
menjadi lemah kerana kesan puasa. Dengan berpuasa seseorang itu dapat
meninggalkan keinginan nafsunya dan hatinya menjadi bersih. Apabila dia berdoa
dengan hatinya yang kosong kegelapan shahwat maka ia lebih khushu’ dan ia
dipanjatkan dengan penuh pengharapan kepada Allah s.w.t. Sama ada segera
dimakbulkan, disimpan di Akhirat atau dijauhkan musibah daripadanya.
عن أبي سعيد الخدري قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم إن لله
عتقاء من النار في كل يوم وليلة ولكل مسلم في كل يوم وليلة دعوة مستجابة
Daripada Abu Sa’id al-Khudri,
katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap hari dan malam Allah
melepaskan orang-orang dari ikatan (api neraka) dan bagi setiap orang Islam
pada setiap hari dan malam doa yang diperkenankan.” (al-Tabarani, al-Mu’jam al-Awsat
dan al-Bazzar)
Maksud pada setiap hari dan malam ialah pada bulan Ramadan.
عن عبادة بن الصامت أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال يوما وحضر
رمضان أتاكم رمضان شهر بركة فيه خير يغشيكم الله فيه فتنزل الرحمة وتحط الخطايا
ويستجاب فيه الدعاء فينظر الله إلى تنافسكم ويباهي بكم ملائكته فأروا الله من
أنفسكم خيرا فإن الشقي من حرم فيه رحمة الله عز و جل
Daripada ‘Ubadah bin al-Samit
bahawa pada ketika datangnya Ramadan, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Telah datang
kepada kamu Ramadan, bulan keberkatan, padanya Allah s.w.t. melitupi kamu
dengan kebaikan lalu diturunkan rahmat, dihapuskan dosa-dosa dan diperkenankan
doa-doa, maka Allah s.w.t. memerhatikan kepada perlumbaan kamu dan berbangga
dengan kamu di hadapan malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah kebaikan dari
diri kamu (yang kamu kerjakan) kerana sesungguhnya orang yang malang ialah orang
yang terhalang dari rahmat Allah s.w.t. pada bulan Ramadan.” (al-Tabarani dalam Musnad
al-Shamiyyin)
Oleh sebab itulah, Allah s.w.t. menyebutkan ayat ini bersama hukum
puasa.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ
الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ
يَرْشُدُونَ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa
apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan
mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka
menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah: 186)
Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Baydawi menulis: “Ketahuilah
bahawa setelah Allah s.w.t. memerintahkan orang-orang beriman supaya berpuasa
Ramadan dan menjaga hari-harinya serta mengalakkan mereka melaksanakan
tugas-tugas membesarkan Allah dan mensyukurinya, maka Allah s.w.t. mengemukakan
ayat ini selepasnya yang menunjukkan bahawa Dia maha mengetahui keadan mereka,
maha mendengar ucapan mereka, amat memakbulkan doa-doa mereka dan memberi
balasan untuk amalan mereka sebagai penegasan dan dorongan.”
Difahami juga daripada ayat ini bahawa apabila seseorang yang
beriman itu mahu supaya diperkenankan segala doanya maka hendaklah dia menyahut
seruan Allah s.w.t. dengan beriman dengan sepenuh hati dan melaksanakan segala
perintah-Nya.
Dalam hadis lain, terdapat juga perintah supaya beristighfar,
memohon syurga dan dijauhkan dari api neraka.
و استكثروا فيه من أربع خصال : خصلتين ترضون بهما ربكم و خصلتين لا
غنى بكم عنهما فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم فشهادة أن لا إله إلا الله و
تستغفرونه و أما اللتان لا غنى بكم عنهما فتسألون الله الجنة و تعوذون به من النار
Hendaklah memperbanyak empat
perkara, dua yang menyebabkan Allah reda kepada kamu dan dua yang kamu sangat
memerlukannya. Adapun dua yang menyebabkan Allah reda kepada kamu ialah
shahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan kamu
memohon ampun dari-Nya. Adapun dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah
kamu meminta syuga dari-Nya dan kamu memohon perlindungan dari api neraka. (Ibn Khuzaymah)
Waktu yang paling baik untuk beristighfar ialah semasa bersahur
dan sebab itu sahur itu mempunyai banyak keberkatan. Antaranya ialah waktu
orang-orang soleh berdoa memohon ampun dari Allah s.w.t.
الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا
إِنَّنَا آَمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (16) الصَّابِرِينَ
وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ
بِالْأَسْحَارِ (17)
(16.) (Iaitu)
orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami
dari azab neraka"; (17.) (dan juga)
orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang
benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah
Allah), dan orang-orang Yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan
orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Surah Aal ‘Imran: 16-17)
كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ
مَا يَهْجَعُونَ (17) وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (18)
(17.) Mereka
sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
(18) Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu
beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (Surah al-Zariyat: 17-18)
Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net
No comments:
Post a Comment