Monday, August 27, 2012

RENUNGAN


Stephen Covey, dalam bukunya”Seven Habits of Highly Effective People” menceritakan satu peristiwa begini:-

Kita sedang duduk di sebuah bangku dalam taman. Sedang kita enak menikmati sandwic dan Coke kita di tengah taman dengan udara bertiup lembut itu,tiba-tiba datang seorang lelaki bersama 2 orang anak kecilnya duduk di sebelah kita. Lelaki itu hanya menung panjang melihat ke tasik dan mendiamkan diri, sementara anak-anaknya berlarian macam setan menjerit-jerit sekuat hati. Orang yang lalu lalang semuanya melihat dengan kening berkerut-kerut akan perangai budak-budak yang tak tahu hormat pada orang lain tu.

Kita pun lama-lama semakin bengang. Setan sungguh budak ni! Apahal mamat ni diammm buat deek je, tak nak tegur ke anak-anak dia ni? Lepas dah tak tahan sangat, kita pun tegur lelaki itu. “Boleh tak encik suruh anak-anak encik tu dok diam-diam, saya tengah nak makan sandwic ni!”

Lelaki itu melihat pada kita seketika sebelum tersenyum sedikit. “Maafkan saya,” kata lelaki itu. “Dan maafkan anak-anak saya tu.Sebenarnya, isteri saya – ibu mereka – baru meninggal dunia sebab kanser di hospital, dan saya tak tahu macamana nak terangkan pada mereka hal ini.”

Kemudian dia sambung, “Biarlah saya bawa mereka ke tempat lain supaya tak menganggu anda makan.”

Apa rasa kita masa itu? Sebab itulah bila teringat ayat Qur’an mengatakan, beza antara manusia itu hanyalah iman dan taqwa, saya sering berasa menyesal, sebab! saya selalu menghukum orang dengan hanya melihat keadaan luarannya!

Bagaimana dengan anda?  Renung di sini..
Wallahualam.

PEDOMAN DALAM MEMILIH FATWA


Pada hari ini umat Islam berdepan dengan kekeliruan dan kebuntuan di dalam memilih pendapat agama dan fatwa di dalam kehidupan mereka. Masalah ini tidaklah semudah sentuhan mata kerana ianya melibatkan banyak perkara termasuk berhubung kait dengan faktor individu, lokasi tempat tinggal dan pendedahan kepada perkembangan ilmu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl : 43)

Ayat di atas menjadi dalil dan pertunjuk kepada orang ramai untuk meminta fatwa atau bertanya masalah agama kepada orang alim dan mereka yang mempunyai pengetahuan agama.
Walaubagaimanapun orang ramai pada hari ini mempunyai pelbagai macam ragam dan perangai, apabila bertanya soal jawab agama pun ada di kalangan kita yang hanya mahu mengambil pendapat yang mudah dan membawa kepentingan kepada dirinya sendiri.

Misalnya, ada orang bertanya  “Apakah hukumnya bersentuhan tangan antara lelaki dan perempuan ?” Apabila diberitahu kepadanya bahawa hukumnya ialah haram maka dia pun berhujah kembali akan pendapat itu dan ini untuk cuba mempertahankan pendapat keharusan bagi lelaki dan wanita untuk bersalaman atau bersentuhan tangan selama tidak syahwat.

Sebenarnya orang seperti ini sudah pun bertanya ke sana sini dan mempunyai pendapatnya sendiri tetapi mereka mahukan persetujuan daripada para ustaz atau ahli agama supaya mereka boleh mengamalkan pendapat pilihan mereka dengan senang hati. Jika kelak pendapat mereka itu dipertikaikan maka mereka pun berkata dengan angkuh : “Pendapat ini sudah pun saya tanyakan dan dipersetujui oleh ustaz sekian dan sekian.”

Masalah sikap umat Islam yang suka menjual nama ustaz, mufti dan para ulama ini sudah berlaku sejak zaman awal Islam lagi apabila wujud sebahagian umat Islam yang suka mengikut hawa nafsu mereka sanggup membuat dakwaan bahawa sesuatu pendapat itu merupakan pendapat ulama sekian dan sekian sedangkan hakikatnya ia adalah bukan dan dilakukan oleh mereka yang tidak takutkan Allah dan hari akhirat.

Pernah juga berlaku sebuah kisah benar dalam masyarakat, sepasang kekasih yang telah bercinta sekian lama namun akhirnya mendapati mereka sebenarnya mempunyai tali persaudaraan dan hubungan darah. Jika mengikut hukum Islam mereka sepatutnya harus berpisah dan haram bernikah. Namun demi menghalalkan perhubungan cinta mereka, pasangan kekasih ini kemudian memilih untuk mengikut mazhab syiah yang mengharuskan perkahwinan sedemikian.

Oleh itu jika anda bertanyakan  mengenai isu perselisihan umat Islam dan masalah memilih pendapat agama. sebenarnya masalah umat Islam bukanlah kerana para ustaz dan alim ulama yang berselisih di dalam isu-isu agama tetapi sikap umat islam itu sendiri yang suka mengikut hawa nafsu dan hanya mahukan “agama yang menyenangkan kehidupan duniawi dan kepentingan peribadi mereka.”

Ulama yang jahat, ustaz yang sesat dan ahli agama yang mengikut hawa nafsu sememangnya ada di dalam sejarah umat Islam sejak zaman awal Islam lagi tetapi ianya bukanlah alasan untuk anda berkata itulah punca kekeliruan umat. Ini kerana Allah SWT sentiasa mengirimkan bantuan dan hidayah-Nya berupa petunjuk yang jelas dan mampu memerangi kebathilan dan kesesatan.

Al-Quran yang kekal sepanjang zaman dan As-Sunnah dari hadis-hadis Rasulullah saw yang terpelihara serta kewujudan para ulama Islam yang gigih dan ikhlas mempertahankan agama ini daripada kesesatan boleh dikatakan sentiasa berada di dalam masyarakat kita tanpa pernah sepi walau pun sehari melainkan diberi ganti oleh Allah SWT.

Apabila matinya para ulama’ yang gigih mempertahankan kebenaran pastinya akan ada penganti dan mereka-mereka yang menyambung tali-tali perjuangan sehingga ke hari akhirat. Justeru tiada alasan oleh orang awam untuk mengatakan bahawa banyaknya kesesatan dan kebathilan berlaku adalah disebabkan tiada ulama dan ahli agama yang mempertahankan kebenaran.

Mereka sentiasa ada di sisi anda dan berada di dalam masyarakat sebagai pejuang-pejuang kebenaran. Malangnya kewujudan mereka itu tidak dihargai oleh anda dan oleh masyarakat sekeliling dan nasihat serta pendapat-pendapat agama mereka jarang mahu didengari oleh orang ramai lantaran kerana ianya tidak memberikan kesenangan dan tidak menyokong tindakan dan perbuatan popular orang ramai.

Itulah puncanya iaitu hilangnya taqwa dan keikhlasan manusia sehingga walau kebenaran di depan mata namun ianya tidak dipedulikan. Itulah jawapan pertama buat mereka yang ingin mencari kebenaran dan pendapat agama yang mampu membawa kebaikan buat kehidupan di dunia dan di hari akhirat. Daftar sini...
Oleh: Ustaz Emran Ahmad (urusanulama-hl.blogspot.com)

Sunday, August 26, 2012

TANDA-TANDA TERJEBAK DENGAN SYIAH

SIAPAKAH SYI‘AH?
Syi‘ah ialah golongan yang mendakwa Sayyidina ‘Ali lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mereka mengkafirkan kesemua sahabat kecuali beberapa orang sahaja. Inilah  perkara pokok yang membezakan golongan Syi‘ah daripada golongan-golongan yang lain. Terdapat beberapa aliran di dalam Syi‘ah itu sendiri tetapi pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep yang tersebut di atas iaitu mengkafirkan sahabat. Risalah ini akan memberikan tumpuan kepada Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Syiah Imam 12) kerana kekeliruan yang timbul di dalam masyarakat sekarang ini ialah berhubung dengan Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah. Syi‘ah inilah yang dipertikaikan oleh para ‘ulama’ di setiap tempat pada masa ini. Mereka adalah ramai bilangannya dan agak popular terutamanya selepas tercetusnya revolusi Iran.

TANDA-TANDA SESEORANG TELAH DIPENGARUHI / TERJEBAK DENGAN SYIAH 
Ciri-ciri di bawah adalah sebahagian dari petanda seseorang yang menganut ajaran Syiah. Berwaspadalah jika anda dapati tanda-tanda sebegini ini tampak mula kelihatan pada orang-orang yang anda sayang.
* Senantiasa memuja Sayyidina Ali dan melebihkan beliau daripada Sayyidina Abu Bakar & Umar
* Memperlekeh dan memandang rendah kepada sahabat-sahabat Nabi s.a.w.
* Sering menghimpunkan (jamak) sembahyang Zuhur bersama Asar dan Maghrib bersama Isya’ tanpa sebarang sebab.
* Kaki tidak dibasuh ketika berwuduk sebaliknya hanya disapu sahaja.
* Sujud di atas batu Karbala ketika solat.
* Menepuk paha ketika memberi salam sesudah sembahyang.
* Tidak mahu makan ikan yang tidak bersisik.
* Melewatkan berbuka puasa sehingga hampir waktu Isya’.
* Memarahi orang yang puasa Asyura.
* Sering memperkatakan tentang keperluan kepada imam zaman ini (imam
mahdi).

SYARAT LA ILAHA ILLA ALLAH?


Kalimah   لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ bermaksud bahawa tidak ada Tuhan yang disembah, yang ditaati, yang benar, yang mentadbir, dan yang segala-galanya melainkan Allah. Mengikut (Fatwa Sheikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid), Syarat  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ  terbahagi kepada tujuh.
 
1)  Mengetahui (أعلم), iaitu berlawanan dengan jahil.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH.”  -  Surah Muhammad:  19.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada TUHAN melainkan ALLAH, dia akan masuk Syurga.”  -  Riwayat al-Bukhari.

2)  Yakin
Sesiapa yang mengucap  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ mesti yakin sepenuhnya maksud kalimah itu.  Pengakuan ini tidak sah jika seseorang itu berasa ragu.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah mereka yang benar-benar percaya pada ALLAH dan RasulNYA.  Kemudian mereka tidak lagi berasa ragu.  Mereka berjuang dengan harta dan jiwa raga pada jalan ALLAH.  Mereka itulah orang-orang yang benar.”  -  Surah al-Hujurat:  15.

Orang yang ragu terhadap ALLAH dan RasulNYA dianggap munafik.  Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Aku beraksi bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan aku adalah pesuruh ALLAH.  Seorang hamba yang bertemu ALLAH dengan kedua-dua kalimah syahadah ini tanpa meraguinya, dia akan masuk Syurga.”  -  Riwayat al-Bukhari.
Hadith ini menjelaskan jika seseorang ingin memasuki Syurga dengan kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ  dia perlu benar-benar yakin maksud kalimah itu.  Jika dalam hatinya terselit perasaan ragu, dia tidak termasuk dalam hadith di atas.

3)  Menerima dan mengakui kalimah ini dengan hati dan lidah.
Ummat terdahulu terselamat daripada bencana disebabkan kalimah  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ Mereka juga mendapat bencana kerana enggan menerima kalimah itu.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“(ALLAH berfirman kepada malaikat): Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah. Yang lain dari ALLAH serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke Neraka. Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal.  Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu)?  (Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili).  Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.  Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu.  Ketua-ketuanya menjawab: (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!  Dan kami (selain daripada mengajak kamu) tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.  (Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).  (Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat.  Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.  Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.  Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; (ketahuilah, bahawa) tiada TUHAN yang sebenar-benarnya melainkan ALLAH mereka bersikap takbur mengingkarinya.  Serta mereka berkata: Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?  -  Surah as-Saffat:  22-36

Keengganan mereka mengucapkan kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ dan menolak dakwah para rasul adalah penyebab mereka diseksa oleh ALLAH.  Mereka tidak melaksanakan segala tuntutan kalimah tauhid.  Bahkan dengan bongkak mengatakan: “Patutkah dia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: TUHAN hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!  Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi perangsang dengan berkata): Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki.  Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan TUHAN) itu dalam agama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata.“  -  Surah Sad:  57

ALLAH menolak kata-kata mereka itu melalui firmanNYA yang bermaksud:
“(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid) dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).“  -  Surah as-Saffat:  37

Firman ALLAH SWT berhubung orang-orang yang meyakini kalimah  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ :
“Kecuali hamba-hamba ALLAH yang dibersihkan dari sebarang syirik.  Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum.  Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan.  Di dalam Syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.“  -  Surah as-Saffat:  40-43

Abu Musa r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Perumpamaan ALLAH mengutuskan aku dengan ilmu dan hidayah bagaikan hujan yang lebat yang jatuh ke permukaan bumi.  Sebahagian daripadanya mengenai tanah yang subur dan menyimpan air dengan baik.  Lalu ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan dengan subur.  Sebahagian yang lain mengenai tanah yang tandus yang tidak dapat menyimpan air.  Maka ALLAH memberi manfaat dengannya kepada manusia.  Mereka meminum dan memberi minuman (kepada binatang ternakan dan sebagainya) dan bercucuk tanam.  Ada juga hujan yang jatuh ke bahagian lain, iaitu di tanah yang tidak dapat menakung air dan tidak ditumbuhi rumput.  Itulah perumpamaan orang yang alim tentang agama ALLAH dan memanfaatkan ilmu yang ALLAH utuskan padaku.  Dia belajar dan mengajarkan ilmu itu.  Perumpamaan kedua pula merujuk kepada orang yang keras kepala dan tidak mahu menerima hidayah ALLAH yang dengan itu aku diutuskan”  -  Riwayat al-Bukhari

4)  Bersedia meninggalkan perkara yang bercanggah dengan tuntutan  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
Firman ALLAH yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada ALLAH jualah kesudahan segala urusan.“  -  Surah Luqman:  22.

Sesiapa yang tidak mahu berserah diri kepada ALLAH dengan ikhlas, bererti dia tidak berpegang pada tali ALLAH.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:
“Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”   Surah Luqman:  23.

5)  Jujur dengan pengakuan yang dibuat.
Seseorang hendaklah mengucapkan kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ dengan jujur dari hati.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.“  -  Surah al-`Ankabut:  2-3.

ALLAH menceritakan keadaan orang-orang munafiq yang berdusta ketika mengucapkan kalimah tauhid ini. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.  Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.  Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).“  -  Surah al-Baqarah:  8-9.

6)  Ikhlas dan membersihkan diri daripada amalan syirik.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik)“  -  Surah az-Zumar:  3.
ABu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Manusia yang paling beruntung kerana memperoleh syafaatku pada Hari Kiamat adalah orang yang mengucapkan  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ dengan ikhlas dari hati atau jiwa raganya” - riwayat al-Bukhari.

7)  Mencintai kalimah itu.
Cara mencintai kalimah itu ialah dengan mengamalkan segala tuntutan, mematuhi syarat-syarat dan membenci perkara-perkara yang bercanggah dengan maksudnya.
Firman ALLAH SWT yang maksudnya:
“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah“  -  Surah al-Baqarah:  165

Orang-orang mukmin teramat cinta pada ALLAH.  Mereka tidak menyekutukan ALLAH dalam percintaan itu.  Sebaliknya kaum musyrikin pula telah menjadikan sekutu ALLAH sebagai kekasih mereka.
Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Iman seseorang itu tidak akan sempurna sehingga dia menjadikan aku orang yang paling dicintainya berbanding ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia”  -  Riwayat al-Bukhari dan Muslim.