Thursday, April 18, 2013

Mengurus dan Menghargai Nikmat



Kehidupan dalam zaman yang serba mencabar menuntut manusia untuk sentiasa berdaya saing, kedepan, sering menggoda jiwa dan fikiran kita supaya sentiasa mahu merasa lebih atau setidak-tidaknya setanding dengan orang di sekeliling. Kita tidak pernah merasa puas dengan apa yang kita ada kerana jiwa dan fikiran kita sentiasa melihat kelebihan orang lain. Orang lain itu begini, untungnya dia. Orang lain itu begitu, untunglah dia. Kita tidak lagi berminat untuk menjadi diri sendiri. Sebaliknya, sentiasa mengikut arus perdana orang lain. Perasaan serba kekurangan pada diri menyebabkan jiwa tidak damai dan tenang. Sangat ramai di kalangan manusia sibuk berfikir bagaimana hendak mendapat yang diidamkan. Tetapi sangat sedikit manusia yang berfikir, bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dengan apa yang dimiliki
Kita jarang sekali cuba menghitung nikmat-nikmat Allah Ta’ala kepada kita kerana kita dapat melakukannya seperti firman Allah,

وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٨) 
 “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkaan kepada kamu), tiadalah kamu dapat menghitungnya satu persatu…” – An Nahl : 18. 

Apa yang kita sering hitung adalah apa yang bukan milik kita. Kita tidak memberi kesempatan kepada diri sendiri untuk menghargai apa yang telah dianugerahkan dalam hidup ini. Apa jua yang kita tidak perolehi sering kita ungkit-ungkit. Sedangkan apa saja yang ada pada kita yang mungkin tiada pada orang lain, tidak pernah kita hitung dan hargai.

Diantara nikmat-nikmat Allah SWT yang tak terhitung, dianugerahkan ada lima nikmat yang paling besar untuk kita renungkan dan fikirkan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.


إِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَا بَكَ قَبْلَ هَرَ مِكَ ، وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ ، وَ غِنَا كَ قَبْلَ فَقْرِ كَ ، وَ فَرَا غَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ ،وَ حَيَا تَكَ قَبْلَ مَوْ تِكَ
 
Pertama : masa sihat sebelum sakit.

Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).

Ketiga masa lapang sebelum tiba masa sibuk.

Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan

Kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah SAW begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang atau nikmat yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan. Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu. Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.

Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.

Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah SWT. Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu.

Seterusnya Rasulullah SAW menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah SWT. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.

Perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah untuk mengerjakan solat sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah SWT. Kenapa Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat. Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.

Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, kita perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah SAW yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran."

Sebenarnya, kedamaian jiwa akan kita perolehi apabila kita cuba untuk bersyukur dan merasa puas dan berbangga dengan apa sahaja nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita walaupun sedikit. Sebagai contoh, kesihatan kita. Alangkah indahnya bila kita cuba berusaha untuk menghargai nikmat kesihatan dengan jasad ini dikerah untuk mengerjakan perintah Allah SWT. Kerana, di luar sana, ada orang yang terlantar di katil melalui hari-hari dengan kesakitan. Menanti ketentuan Allah SWT. Ada orang, yang merintih dan merungut kerana rupa paras tidak cantik jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang ada di sekelilingnya. Tapi cubalah berfikir, di luar sana ada orang lain yang lebih buruk rupa paras dan tidak sempurna tubuh badan mereka akibat kecacatan semulajadi atau akibat kemalangan.

Jiwa hanya akan menjadi tenang apabila dalam hidup ini, kita tidak bandingkan diri dengan orang lain, jika itu hanya mendatangkan sifat kufur. Kita wajib bersyukur kerana dengan bersyukur kita mendapat jaminan pertambahan dan gandaan. Yang menjamin ini datang daripada Tuhan Yang Maha Kaya lagi Berkuasa iaitu Allah. Firman Allah bermaksud: "Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." Jika kita perhatikan, zaman sekarang mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil, sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan. Tetapi Allah, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bil seperti udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah semuanya tidak kena bayar. Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu Allah. Itulah namanya bersyukur. Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Tetapi jika tidak bersyukur jadi kufur.

Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Sebenarnya ada lima bentuk syukur nikmat perlu kita renungkan.

Pertama: Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.

Kedua: Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucap saja 'alhamdulillah' (segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.

Ketiga: Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibu ayah.

Keempat: Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mereka yang menjadi guru dan mempunyai ilmu patut berkhidmat dengan ikhlas untuk umat.

Kelima: Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi dalam bab ini, kita mesti berhati-hati, kerana dibimbangi mengundang riya'.

Sesungguhnya di dalam setiap nikmat duniawi itu terkandung suatu bencana sekalipun ianya dihiaskan dengan rupa yang begitu indah dan mempersonakan bagi setiap manusia. Nikmat dan kurniaan Allah terhadap hamba-hambaNya adalah sebagai satu anugerah yang wajib disyukuri, sekalipun nikmat tersebut akan berubah menjadi suatu musibah, ianya juga wajib disyukuri. Sebagai contoh ; seseorang yang dalam kemiskinan dan kesakitan, mungkin itu lebih baik untuk dirinya daripada ia dikurniakan kesihatan, kerana barangkali jika kemewahan dan kesihatan diberikan kepadanya, maka dia akan membuat kederhakaan dan penyelewengan daripada batas agama. Jika dipandang daripada sudut zahir, sesuatu yang ditarik daripada nikmat, ia akan dianggap kesusahan, manakala nikmat yang dihamparkan ianya dianggap sebagai anugerah terbaik, sedangkan kedua-dua keadaan tersebut itu, samada baik ataupun buruk dikira sebagai Nikmat, jika keduanya tidak disyukuri maka manusia akan menyalahi nikmat dengan malampaui segala batasan yang telah dianugerahkan kepadanya. Seharusnya kita sebagai hamba, hendaklah pandai mengurus nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Di samping itu, kita diajar agar sentiasa merasa cukup dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita daripada nikmat ataupun sebaliknya agar kita sentiasa berada di dalam batasan.

Apakah ruang untuk rasa bersyukur itu hanya akan ada apabila manusia menerima kenikmatan dan mengecap bahagia dengannya, tapi mengapa pula ruang bersyukur itu tertutup apabila manusia menerima cubaan yang bertentangan dengan kehendak dirinya. Walhal, cubaan yang Allah SWT datangkan itu sebenarnya adalah kesan dari perbuatan manusia itu sendiri. Cubaan itu Allah berikan untuk membersihkan diri manusia, malahan!

Kenapa ya, manusia memilih situasi untuk bersyukur? Manusia lebih cenderung akan belajar mengenai rasa bersyukur kepada Allah SWT apabila berada dalam keadaan yang susah. Tapi manusia akan cenderung menjauh daripada Allah jika berada dalam kesenangan. Kata orang, cepat lupa daratan, tapi bukan semua manusia begini. Kebanyakannya sahaja. Bila fikir kembali, kerana manusia itu angkuh untuk merendahkan diri dan tunduk kepada Allah SWT setiap masa. Kerana, ada manusia yang akan tunduk setunduk-tunduknya kepada Rabb apabila dirinya ditimpa masalah sahaja. Dengan izin Allah, Allah hilangkan masalah tersebut, dia kembali lupa kepada kerendahan dirinya sebagai hamba Allah SWT. Malah, ada juga yang berpaling dari-Nya sesudah itu!

Kita renung kembali lembaran kehidupan yang telah dilalui. Atau kita menoleh sejenak melihat kehidupan silam. Kita pasti, mesti ada saat-saat yang suka, membahagiakan. Tidak kurang juga saat-saat duka, yang menyedihkan jiwa. Siapapun sangat wajib mensyukuri apabila mengimbas lembaran kehidupan silam. Walau seluka manapun pun kita pada masa yang lalu, sepahit manapun pengalaman lalu, Kita masih hidup sehingga hari ini. Ada manusia, yang berdendam dengan setiap manusia yang terlibat dengan masa lalunya, termasuk berdendam kepada Allah SWT kerana dia merasakan ketidakadilan seringkali berlaku dan nasib yang baik tidak menyebelahinya sepanjang hidup. Tapi sebenarnya, dia lupa untuk melihat diri sendiri. Kehidupannya hari ini adalah kerana kehidupan yang sangat dibencinya pada masa silam. Mungkin, dia terlepas pandang bahawa, apa yang telah dikecapinya pada hari ini adalah kerana hal itu Allah SWT yang membenarkan. Dan bukannya terjadi sendiri. Kalau pun kerana usahanya sendiri, usahanya itu juga Allah SWT yang telah benarkan, kerana hakikatnya kudrat kekuatan seorang manusia itu datangnya dari Allah SWT

Kita manusia, memang begitu, penuh dengan kelemahan walaupun memperlihatkan segala kekuatan. Lihat diri sendiri pada alam. Maksud, bukan melihat pada alam semulajadi sahaja, tapi lihat diri kita pada alam serta isinya sekali; manusia dan makhluk Allah SWT yang lain. Jangan lihat kekurangan diri kita pada mereka. Tapi lihat apa yang kita ada, tapi mereka tiada. Selepas itu, lihatlah apa yang kita tiada, ada pada mereka. Jangan melihat dengan keangkuhan. Lihatlah dengan kerendahan hati. Sangat pasti, jika kita melihat sesuatu dengan kerendahan hati, Allah SWT tidak mensia-siakan usaha kita. Malah, Allah turut membantu kita.

Walaupun sebenarnya kehidupan silam kita tidak seindah dan seteratur kehidupan orang lain, ia bukan sesuatu yang perlu kita sedihkan, selepas itu kita berdendam dengannya. Sesekali mengimbas kembali kehidupan yang penuh perit itu akan mengundang airmata tanpa sedar. Tapi, kerana keperitan itulah kita ada dan masih hidup sehingga hari ini. Buktinya, Allah Ta’ala tidak membiarkan kita mati sia-sia pun dengan ujian itu. Setiap rasa syukur yang manusia buat dengan redha, Allah tetap berikan ganjaran. Allah Maha Penyayang. Dan Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Sebaliknya, kita inilah yang selalu menzalimi diri sendiri. Dan Allah SWT datangkan cubaan untuk membuka mata hati kita, agar tidak terus-menerus menzalimi diri sendiri yang hanya akan membawa kerugian di akhirat kelak Allah SWT berfirman,

 وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ (٧) 
 “Jika kamu bersyukur pasti akan aku tambah (nikmat-Ku) untukmu dan jika kamu kufur maka sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” – Ibrahim : 7

Ingatlah, semua manusia pun masih dan akan terus belajar. Marilah kita pula belajar dan mendidik diri untuk bersyukur kepada Allah SWT. Syukur itu, banyak cara. Kata pada diri kita yang kita berjiwa hamba yang mahukan kebaikan. Senyum. Tak perlu kata apa-apa ….. Subhanallah

No comments:

Post a Comment