Wednesday, February 6, 2013

TAUBAT - Siri 2



Ulama zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersolat? Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak. Kaum Muslimin memainkan peranan yang penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada ketidak-stabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Allah SWT Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat merupakan kurniaan Allah SWT yang besar kepada orang-orang yang beriman demi faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat solat dan lain-lain. Mereka mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Allah SWT di dalam solat.

Taubat, sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat yang berada dalam batin. Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fiqah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Allah SWT dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Allah SWT dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan solat.

Taubat yang benar menggabungkan cara fiqah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat melakukan solat sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi kesalahan kepada orang lain dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.

Taubat yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut kepada Allah SWT. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Allah SWT memohonkan keampunan-Nya. Dia takut dicampakkan jauh daripada Allah SWT. Dia takut ‘kehilangan’ Allah SWT yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Allah SWT Melihat dan Mendengar segala perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Allah SWT yang sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Allah SWT memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan Allah SWT itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.

Orang arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut Sunah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada Sunah Rasulullah SAW, mendakwa dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka. Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan darah daging.

Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu ilmu fiqah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang fikah lebih bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya menuju matlamat dengan selamat.

Adam A.S, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Adam A.S mengakui kesalahannya dan merujuk kembali kepada Allah SWT, memohon agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam A.S beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Adam A.S bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT yang mengajarkan Adam A.S bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam A.S kepada Allah SWT as-Salam, Yang Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh Adam A.S adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.

Iblis, jin yang pertama diciptakan Allah SWT, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Adam A.S adalah lupa kepada pesanan Allah SWT. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Allah SWT. Adam A.S mengakui kesalahan dan bertaubat. Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Adam A.S yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT. Adam A.S kembali kepada Allah SWT dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak jauh dari Allah SWT dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam a.s kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling buruk dan paling azab

Ehsan - Alhakiki

No comments:

Post a Comment