Monday, February 4, 2013

TAUBAT - Siri 1



JANGAN SAMPAI PINTU TAUBAT TERTUTUP
Taubat adalah jalan kembali kepada Allah SWT. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari sisi Allah SWT. Jika dia tidak bertaubat dia tetap tinggal jauh dari Allah SWT. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Allah SWT. Dia boleh melakukan suruhan syariat tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Allah SWT. Hamba yang melakukan kesalahan sangat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Allah SWT. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. 

Pahala bukan sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu. 

Bani Adam memiliki tabii keadaman. Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad SAW yang suci bersih pun sering bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya melakukan perintah Allah SWT dengan sempurna.

Ramai manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu taubat. Adam A.S yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau  melalui pintu taubat dan menerima keampunan dari Allah SWT. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat. Orang yang bertaubat dan Allah SWT mengampunkan dosanya, kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Allah SWT. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Allah SWT akan memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Allah SWT dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.

Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.

Taubat luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Taubat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam A.S yang telah melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.

Orang yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah SWT. Jihad membuang nilai-nilai buruk daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada daerah nafsu suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.

Dalam perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan makanan, minuman, pakaian, tidur, melakukan yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego yang jahat seperti takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.

Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan segenap tubuh boleh menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi pintu dosa. Dosa adalah umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan, pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.

Syahwat yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi penyakit aids.

Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.

Fikiran dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu dan bom nukliar untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan dan anggota yang berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam dunia daripada memberi kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah yang mengheret dunia kepada kiamat.

bersambung dalam siri 2....


Ehsan - Alhakiki

No comments:

Post a Comment