Wednesday, September 19, 2012

Punca Hilangnya Iman



Antara ungkapan paling menyentuh hati dalam Khutbah Istisqa’ Shaikh Shuraym ialah; beliau memetik ungkapan Seorang Sahabat Nabi saw, Abdullah bin Mas’ud ra tentang punca hilangnya iman manusia akibat perangai mengampu. Ia suatu perbuatan yang amat Allah murkai hingga boleh mengundang bala kepada umat manusia.
Abdullah bin Mas’ud menyatakan tentang manusia yang berjumpa pembesar dengan memuji pembesar itu dengan demikian dan demikian bentuk pujian dan ampuan sambil mengharapkan redha dan habuan daripada pembesar itu. Kata Ibnu Mas’ud, manusia itu balik setelah perjumpaan itu dalam keadaan imannya sudah hilang kerana dia tidak mencari redha Allah, bahkan mengampu untuk mendapatkan reda manusia.
Astaghfirullah! Sungguh sayu seduan tangisan Shaikh Shuraym menaqalkan ingatan sahabat ini tentang dosa-dosa manusia yang menghapuskan amalan mereka dan mengundang kemurkaan Allah.
Shaikh Shuraym juga mengingatkan tentang punca bala Allah turunkan kepada manusia selain sifat jahat manusia yang mengutamakan reda manusia hingga membekalangkan redha Allah, ialah sifat tamak haloba yang tiada batasannya. Kata beliau, hari ini ramai yang makan, tapi tak pernah kenyang, ramai yang mengumpul harta tapi tak pernah cukup, ramai yang mengampu tetapi tak pernah puas. Allah! Ampunilah hamba-hamba-Mu. Astaghfirullah! Sendunya tangisan Shaikh Shuraym mengundang tangisan para jemaah yang memahami bahasa Arab beliau yang amat mudah lagi menusuk kalbu. Kelihatan Sang Amir yang duduk di kaki mimbar, di hadapan Khatib turut mengesat airmatanya akibat ingatan dosa-dosa dan perlakuan manusia ini.
Pemandangan cukup indah gandingan umara dan ulama yang saling mengingati tugas dan tanggungjawab memelihara iman umatnya.
Inilah sepatutnya yang dikutip oleh para jemaah sewaktu berada di Tanah Suci. Saki baki amalan Salaf dan Sunnah Nabi SAW yang hampir tidak wujud di tempat kita. Bagaimana mungkin negara boleh kekal dirahmati jika para ulama tidak diberikan peluang sebebas-bebasnya menasihatkan ummah dan perlakuan jahat mereka yang lari daripada agama dengan sandaran asas agama yang kukuh? Para umara perlu mengkaji hal ini. Pada pihak para ulama pula, sampai bila perlu ada rasa gerun dengan umara apabila menyampaikan yang haq? Bukankah kebenaran yang disampaikan itu adalah untuk memelihara iman dirinya dan iman umatnya. Bukankah dengan terpeliharanya iman, maka rahmat Allah akan berterusan turun mencurah dari langit. Langit dan bumi jadi saksi perlakuan kita semua. Hari akhirat nanti Allah akan membalas dan menilai menurut amalan kita. Umara akan dihisab, ulama juga tidak akan terlepas. Ya Allah, ampunilah kami! Betapa daif dan lemahnya diri ini. Astaghfirullah! Ya Allah! Turunkanlah hujan rahmat-Mu di bumi yang mulia ini. Amin! 
Dari catatan Abu Anas Madani[Terjemahan Ringkasan Khutbah & ulasan oleh: Dr Juanda]

No comments:

Post a Comment