Monday, August 20, 2012

Bagaimana Menghafal Al-Quran?


Saya bukanlah di kalangan orang yang bagus hafalannya.  Namun di dalam hati tidak pernah lekang rasa ingin menghafal banyak ayat-ayat al-Quran.  Supaya apabila dapat menghafal ayat-ayat al-Quran yang banyak, maka dapatlah mencontohi Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, para sahabat Baginda, tabi`in, tabi`ut tabi`in dan orang-orang yang soleh selepas mereka yang berdiri lama tatkala mereka mendirikan solat malam seorang diri kerana membaca kalam-kalam mulia dari ALLAH Jalla wa A`la.
 
Semoga saya dan kalian semua dikurniakan keazaman, kesungguhan dan dijauhkan dari sifat malas dan putus asa selepas mendapat tip-tip sebagai perkongsian yang diberikan oleh Sheikh Wahid Abdus-Salam Bali (semoga beliau dipelihara ALLAH) berikut:-

Daripada penerangan Sheikh, dapat saya fahami bahawa cara untuk menghafal al-Quran untuk jangka masa panjang adalah seperti berikut:

1)  Baca ayat dalam baris pertama sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf.  Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.
(Mesti 10 kali.  Jangan baca 2 kali, terus mahu mengulang.  Cara ini salah.  Ikut pesanan Sheikh dengan membacanya sebanyak 10 kali, barulah kemudiannya mengulang tanpa melihat mushaf, supaya ayat yang mahu dihafal melekat di dalam minda dan tahu kedudukan ayat tersebut di dalam mushaf.)
Jika ada masalah dengan perkataan tertentu, maka bacalah perkataan tersebut dengan satu perkataan sebelumnya dan satu perkataan selepasnya sebanyak 5 kali.  Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.

2)  Kemudian, bacalah ayat dalam baris kedua sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf.  Selepas itu, ulangi ayat dalam baris kedua tanpa melihat mushaf.
3)  Setelah ayat dalam baris pertama dan kedua dapat dihafal, bacalah kedua-dua ayat dalam baris pertama dan kedua tersebut dengan melihat mushaf pula sebanyak 3 kali.  Selepas itu, ulanginya sebanyak 3 kali juga tanpa melihat mushaf.

4)  Ulangi perbuatan di atas untuk ayat dalam baris ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sehingga habis satu muka surat.
Cara di atas adalah cara penghafalan jangka masa pendek.  Dan hafalan boleh hilang dalam masa beberapa minggu.
Bagaimana untuk menukar penghafalan jangka pendek ini kepada penghafalan jangka panjang?

1)  Ambil mushaf dan buka muka surat yang sudah dihafal itu.  Baca muka surat tersebut sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf.  Sebaik-baiknya semasa membaca, jari diletakkan di baris berkenaan.

Perbuatan begini, insyaALLAH akan melekatkan apa yang dihafal kuat di dalam minda.  Anda tidak akan lupa, insyaALLAH.  Segala puji bagi ALLAH.  Kenapa?
Kerana apabila anda membacanya sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf, mata anda akan merakam muka surat tersebut dalam bentuk foto ke dalam minda.  InsyaALLAH ia akan melekat kuat di dalam ingatan anda dan takkan melupakannya.

No comments:

Post a Comment