Thursday, April 10, 2014

Membaca Surah Al-Mulk Sebelum Tidur



Bacalah dan hafallah Surah Al-Mulk atau surah Tabarakallazi sebelum tidur setiap malam kerana ia adalah penyelamat daripada azab kubur. Ianya cuma 30 ayat sahaja dan tidak mengambil masa yang lama.
Daripada Ibn Abbas r.a katanya: Sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w memasang khemahnya di atas sebuah kubur tanpa menyedari tempat itu adalah kubur. Tiba-tiba didapati ia adalah kubur seorang manusia yang sedang membaca surah al-Mulk sehingga habis. Lalu sahabat itu datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah, saya telah memasang khemah di atas sebuah kubur, tanpa menyedari ia adalah kubur. Tibatiba (terdengar suara) seorang yang sedang membaca surah al-Mulk iaitu: Tabarak sehingga dikhatamkannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia (surah tabarak) adalah penghalang, ia adalah penyelamat yang menyelamatkannya daripada azab kubur. (Riwayat al-Tirmidzi). 
Al-Tabarani meriwayatkan sebuah hadith bersumber daripada Ibn Abbas, katanya:Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka jika ia berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku, yakni surah tabarakallazi biyadihi al-mulk.
(Riwayat al-Tabarani). 
Daripada Ibn Abbas, beliau berkata kepada seorang lelaki: Mahukah aku hadiahkan kamu dengan sebuah hadith yang akan menggembirakan kamu? Lelaki itu menjawab: Bahkan. Katanya: Bacalah surah Tabarakallazi biyadihi al-mulk, dan ajarkanlah kepada keluargamu serta semua anak pinakmu, kanak-kanak di dalam rumahmu, serta jiran tetanggamu. Kerana surah ini adalah penyelamat dan juru bicara yang akan berhujah bagi pihak pembacanya pada hari kiamat di sisi Tuhannya. Ia (surah ini) akan meminta kepada Allah supaya menyelamatkan pembacanya daripada azab neraka, dan menyelamatkannya daripada azab kubur. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka surah ini berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku.
Allah cipta kita untuk diuji dan kita akan dibalas samada syurga atau neraka…
Mulk[2] Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Allah Mencipta dan Menghiasi Langit Dengan Bintang-Bintang
AL-Mulk [3] Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; (Mulk:5)
Allah Saja Boleh Menahan Langit dan Bumi 
Kita hidup di bawah jagaan Allah, samada ketika berada di atas (langit) atau pun di bawah (bumi). Kita juga perlu kepada Allah samada kita berada di darat atau di laut. Bersyukurlah dan takutlah kepada Allah swt, kalau Dia mahu Dia boleh meruntuhkan bumbung rumah ketika kita sedang tidur nyenyak pada waktu malam. Patutkah manusia melakukan maksiat dan tidak merasa takut kepada Allah swt, sedangkan Allah swt berkuasa menyuruh bumi menelan atau menghantar angin untuk membinasakan manusia sepertimana umat terdahulu.
Al-Mulk [16] : Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?
Al-Mulk [17] : Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?
Tanda Kekuasaan Allah:Menahan Burung Terapung Di Udara.
Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (Mulk:19)

Neraka itu adalah tempat yang sangat hodoh.
Mulk [6] : Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Suara Neraka  
Neraka adalah makhluk Allah yang mempunyai suara. Apabila ia mengamuk dan marah dengan mengeluarkan suaranya yang garang dan hanya Allah yang mampu mengawalnya.
Mulk [7] : Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Neraka juga menjawab dengan suaranya bila ditanya oleh Allah, Qaf [30] : (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahanam: Adakah engkau sudah penuh? Dia menjawab: Adakah lagi sebarang tambahan? Mulk [8 ]: Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. ….
Allah Sahaja Yang Memberi Rezeki
Mulk [21] Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah swt menahan rezekiNya?(Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).
Sembahlah Allah kerana dialah memberikan rezeki dan menanggung segala keperluan kita.
Al-Mulk [15] Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya.

No comments:

Post a Comment