Kadangkala dalam perjalanan
kehidupan ini, manusia jatuh sakit.
Allah ujinya dengan kesakitan.
Kadangkala manusia hanya tidak
perasan,
Allah sedang memberikan kepadaNya
titik perhentian untuk bermuhasabah.
Sungguh sebenarnya, sakit itu
nikmat.
Nikmat Peringatan
Kita perlu sedar bahawa kita adalah
manusia. Dinamakan manusia kerana fitrah manusia adalah pelupa. Ada antara kita
berilmu luas, ada pula antara kita harta melaut, ada pula kita kebolehan tak
tertanding, dan 1001 nikmat lagi. Tetapi dengan sakit, semuanya itu seakan
tidak berguna langsung. Yang kita mahu adalah sihat.
Ketika itu kita akan tersedar. Kalau
ilmu, harta, kebolehan dan kebanyakan nikmat material lain kadangkala boleh
menjauhkan kita daripada Allah SWT apabila disertai bongkak, angkuh, riya’ dan
sebagainya, sakit membuatkan kita beringat.
Kadangkala kita akan terfikir,
apakah yang telah kita lakukan atas tubuh kita yang sihat sebelum ini?
Kadangkala kita akan teringat, perbuatan-perbuatan kita yang tidak sepatutnya
kita buat semasa kita sihat.
Ada pepatah berkata:
“Hanya orang yang miskin tahu nikmat
kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu
nikmat kehidupan”
Sakit, mampu menjadikan kita beringat.
Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita:
“Sesungguhnya Aku mampu menarik
nikmatKu bila-bila masa sahaja”
Maka wajiblah kita memperingatkan
diri
Allah SWT berfirman:
“Demi Sesungguhnya , Kami akan
menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari
harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan brikanlah khabar gembira kepada
mereka yang sabar” Surah
Al-Baqarah ayat 155.
“Dan patutkah mereka tidak mahu
memerhatikan, bahawa mereka diuji, pada setiap tahun, sekali atau dua
kali(paling kurang), kemudian mereka tetap juga tidak bertaubat dan tidak juga
mereka mahu mengingat?” Surah
At-Tawbah ayat 126.
“Alangkah baiknya kalau mereka
berdoa kepada Kami dengan merendah diri(taubat dan insaf) ketika mereka
ditimpakan azab Kami?…” Surah
Al-An’am ayat 43.
“Tidak ada satu kesusahan, yang
menimpa di bumi dan juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia diadakan
di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya yang mengadakan
demikian(kesakitan, cubaan, bencana) itu, adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu
tidak bersedih hati dengan apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu tidak
bongkak dengan apa yang ada pada diri kamu, dan ingatlah bahawa Allah tidak
suka pada setiap mereka yang takabbur lagi membanggakan diri” Surah Al-Hadid ayat 22-23.
Tiadalah sakit-sakit ini menimpa
kita, tiadalah bencana itu ini menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah
ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali
kehidupan kita.
Sakit adalah petanda bahawa kita
adalah manusia.
Ya, manusia yang lemah. Sebagai yang
lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita.
Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa kita hakikatnya langsung
tidak patut mendongak bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.
Penutup: Maka bersyukurlah atas
nikmat ini
Jangan dicela sakit yang menimpa.
Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa,
dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan.
Dan tidaklah peringatan itu tiba
dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah hakikatnya
sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?
Tetapi bagaimana kita melayan sakit
kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?
Ada antara kita menyumpah Allah
kerana menyukarkan kehidupan kita.
Namun Allah SWT berfirman:
“Dan apa jua bencana, kesakitan yang
menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan
salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu)
Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu” Surah Asy-Syura ayat 30.
MasyaAllah… sudahlah segala bencana,
sakit, adalah disebabkan oleh kita – tak jaga kesihatan, buat makar, buat onar,
dll – tetapi Allah ampunkan sebahagian besar dosa kita atas bencana yang
datangnya kerana kita.
Bukankah kita sentiasa mendegar:
Sakit itu kaffarah dosa?
Di sini kita muhasabah kembali
kehidupan kita.
Sakit itu nikmat, yang tidak boleh
kita biarkan ia berlalu sia-sia.
No comments:
Post a Comment