Friday, April 12, 2013

MENGERJAKAN `UMRAH BERULANG KALI DALAM SETAHUN



Sebenarnya haji dan `umrah sudah pun terkenal di zaman jahiliyah. Masyarakat Jahiliyah bertawaf dengan bertelanjang. Apabila Islam datang, adat Jahiliyah yang keji ini dihapuskan, begitu juga dengan adat-adat dan kemungkaran yang lain.
`Ibadah haji juga terdapat dalam syari'at yang lain. Ada yang mengatakan bahawasanya Nabi Adam عليه السلام berulang kali mengerjakan haji. Jibri عليه السلام memberitahunya bahawa malaikat bertawaf mengelilingi Kaa`bah. Nabi Ishaq dan nabi-nabi yang lain عليهم السلام juga mengerjakan haji. Menurut sebahagian ulama رحمهم الله , semua Nabi عليهم السلام mengerjakan haji.
Di antara ayat-ayat yang menandakan bahawasanya haji telah pun ada dan di laksanakan sebelum Islam, adalah :
وإذ بوأنا لإبراهيم مكان البيت ألا تشرك بي شيئاً وطهر بيتي للطائفين والقائمين.والركع السجود
" Dan ingatlah ketika KAMI ( الله ) tempatkan untuk Ibrahim tempat Al BAIT, Kami titahkan: Hai Ibrahim ! janganlah engkau menyengutukan sesuatu dengan-KU dan sucikanlah rumah-KU untuk mereka yang tawaf, i'tikaf, ruku` dan sujud. " ( Al Hajj : 26 ).
Dan firman ALLAH :
" Serulah manusia wahai Ibrahim, tentang haji nescaya mereka akan datang kepadamu dari segenap penjuru. "( Al Hajj : 22 ).
Diriwatkanlah oleh Al Bukhari, Muslim dari Ash Sya'bi رضي الله عنه , ujarnya :
" Di Safa ada satu berhala yang dinamakan Asaf dan di Marwah ada satu patung yang dinamakan Naa ilah . Masyarakat jahiliyah bersa'i di antara keduanya " . Setelah Islam datamg , berhala-berhala itu disingkirkan dari situ. Umat Islam beranggapan bahawa orang-orang Jahiliyah bersa'i kerana berhala. Lantaran itu ummat Islam enggan bersa'i, maka الله menurunkan ayat :
إنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللهِ
" Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah dari syi'ar-syi'ar الله " ( Al-Baqarah ;158 ).
Dalam sebahagian riwayat diterangkan bahawa ketika turun ayat haji :
ومن كفر فإن الله غني عن العالمين
“Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya الله Maha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Aali `Imran 3 : 97) Rasulullah صلى الله عليه وسلمmengumpulkan orang-orang musyrikin, Nasrani dan Yahudi, Majusi dan Saabi'in serta memberitahu mereka bahawasanya الله telah memfardhukan haji, dan hendak lah mereka semua berhaji. Perintah ini ditaati oleh Muslimin رحمهم الله dan ditolak oleh orang-orang Kafir.
Oleh itu turunlah firman
ومن كفر فإن الله غني عن العالمين
" Dan barang siapa yang kufur ( tidak mahu mengerjakan haji ), maka sesungguh nya الله Maha kaya dari semesta alam." (Aali Imran: 97 ).
Sebelum ini kita telah menjelaskan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم berhaji sekali sahaja iaitu pada tahun 10 Hijriah. Manakala para Muslimin رحمهم الله telah berhaji pada tahun 9 Hijriah iaitu sesudah Fathu Makkah ( Pembukaan dan pembebasan Makkah ). Sahabat yang dilantik mengetuai haji ketika itu ialah Abu Bakr رضي الله عنه .
Pada tahun tersebut Nabi صلى الله عليه وسلم bersama para sahabat رضي الله عنهم tidak turut serta kerana orang-orang musyrikin masih berpegang kepada perjanjian Hudaibiyah. Mereka masih masuk ke dalam masjid dan bertawaf dengan bertelanjang. Lantaran itu Nabiصلى الله عليه وسلمmenunda hajinya selama satu tahun.
Pada tahun 9 Hijriah itu Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh `Ali menyusul Abu Bakr radhiallaahu `anhuma dan menyampaikan kepada khalayak yang berkumpul pada hari Nahar ( hariraya ) bahawa orang-orang musyrikin tidak dibenarkan berhaji lagi pada tahun akan datang dan tidak boleh lagi bertawaf dengan bertelanjang.
Dengan demikian murnilah Kaa'bah sebagai tempat beribadah kepadaالله dan murnilah Al Masjidil Haram untuk orang-orang yang mengerjakan tawaf, ruku' dan sujud.
Pada tahun 10 Hijriah Nabi صلى الله عليه وسلم mengerjakan haji yang kemudian terkenal dengan “ Hajjatul Wada “ ( Haji Selamat Tinggal atau Haji Perpisahan ). Haji yang dikerjakan Nabi
صلى الله عليه وسلم inilah yang menjadi pegangan kita dalam mempelajari ibadah haji dan `umrah.
Nafi` رحمه الله menerangkan , bahawa Abdullah Ibnu `Umar رضي الله عنهber`umrah dua kali setiap tahun di masa pemerintahan Az Zubair رضي الله عنه .
Al Qassim menerangkan bahawa 'Aisyah رضي الله عنها ber`umrah dua kali dalam setahun. Ada orang bertanya adakah perbuatan 'Aaisyah رضي الله عنها itu dicela oleh sebahagian sahabat
رضي الله عنهم atau adakah yang mencelanya ? Al Qassim رحمه الله berkata : " Subhaanallaah ! tiada siapa yang mencela perbuatan Ummul Mu'minin radhiallaahu `anha. “
Demikianlah pendapat `Ulama رحمهم الله , disukai ber`umrah berulang kali dalam setahun seperti yang dilakukan oleh `Ali, Ibnu `Umar, Anas, Ibnu `Abbas dan `Aaishah
رضي الله عنهم , kerana Nabiصلى الله عليه وسلم bersabda : “Dari satu `umrah ke `umrah yang berikutnya adalah kaffarah ( pembersih dosa ) yang ada di antara keduanya.”( HR Ahmad, Al Bukhari dan Muslim رحمهم الله ).
Dan dari Ibnu Mas`ud رضي الله عنه , bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلمbersabda : " Iringilah ( susulilah ) antara haji dan `umrah kerana keduanya dapat menghilangkan kemiskinan dan dosa sebagaimana ahli logam membuang karat dari besi, perak, dan emas. Tiada lain pahala yang diterima haji yang mabrur kecuali syurga ." ( HR At Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban . Kata At Tirmidzi : hadith ini darjatnya hasan sahih ) .
kata Ibnu `Abbas Radhiallaahu `anhuma bahawa Nabi صلى الله عليه وسلمbersabda : “ Satu `umrah dalam bulan Ramadhan menyamai satu haji atau haji bersamaaku.“ ( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله ) .
Imam Malik رحمه الله pula tidak menyukai kita berihram lebih dari sekali dalam setahun.
Kata Ash Sheikh `Abdul `Aziz Bin Abdullah Bin Baz رحمه الله : “ Ada pun mengerjakan `umrah berulang kali selepas selesai mengerjakan haji dengan keluar untuk berihram ke Tan`im, Ji`raanah atau lainnya, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang padahal sudah mengerjakan `umrah sebelum haji, tidak mempunyai satu dalil pun yang menunjukkan disyariatkan amalan ini. Bahkan nas-nas yang ada menunjukkan bahawa yang utama ialah meninggalkannya kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat رضي الله عنهم tidak pernah melakukannya setelah mereka menyelesaikan haji , kecuali `Aaishahرضي الله عنها . Beliau mengerjakan `umrah adalah kerana beliau belum lagi mengerjakan `umrah bersama orang lain ketika masuk Makkah kerana datangnya haidh. Kerana keuzurannya beliau meminta izin Nabiصلى الله عليه وسلم untuk mengerjakan `umrah , sebagai ganti umrahnya yang telah diniatkan sejak dari Miqat dan Nabi صلى الله عليه وسلمmengizinkannya . Dengan demikian beliau telah mengerjakan `umrah sebanyak dua kali, iaitu `umrah yang dilakukan bersamaan dengan amalan hajinya dan `umrah secara tersendiri. Oleh itu sesiapa yang mempunyai kes sama seperti `Aaiahah رضي الله عنها maka tidak mengapa dia mengerjakan `umrah selepas selesai haji kerana mengamalkan hadith ini dan memberi keluasan kepada umat Islam . Namun begitu, tidak diragukan lagi, selain `umrah yang telah mereka lakukan ketika masuk Makkah , adalah menyusahkan orang ramai dan menyebabkan berasak-asakan serta boleh menyebabkan kecelakaan , di samping menyalahi sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم . “
Shaikhul Ibnu Taimiah رحمه الله memakruhkan memperbanyakkan keluar dari Makkah untuk mengerjakan `umrah sunat dan ianya bid`aah kerana ittifaq ( sepakat ) `ulama rahimahullah menyatakan bahawa ianya tidak pernah dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم , para sahabat dizamannya kecuali `Aaishah رضي الله عنهم kerana kesnya berlainan seperti yang telah diterangkan di atas. Menurut beliau lagi mengerjakan `umrah pada selain bulan-bulan haji adalah lebih afdhal dari ber`umrah dalam bulan-bulan haji dan yang afdhal ialah dalam bulan Ramadhan kerana hadith :
“ `Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai satu haji .“ ( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله ) .
Manakala Ibnul Qayyim رحمه الله pula berpendapat bahawa ber`umrah dalam bulan-bulan haji lebih afdhal dari ber`umrah pada selain bulan-bulan haji .
Pendapatnya ini berasas kerana menurut pandangannya bahawa masyarakat Jahiliyyah menganggap bahawa ber`umrah di bulan haji merupakan kejahatan besar. Mereka mengatakan bahawasanya `umrah dilakukan setelah berakhirnya bulan Safar apabila telah selesai jejak kaki orang berhaji dan semua mereka telah kembali dari haji .
Ada pun mengerjakan umrah sebanyak 7 kali sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang adalah menyalahi sunnah. Yang lebih teruk lagi ialah beriktiqad bahawa mengerjakan 7 kali umrah menyamai satu haji kerana tiada hadith yang menerangkanya. Oleh itu hendaklah menjauhkan diri dari berikiqadkan sedemikian kerana di khuatiri menambahkan hadith palsu. Sabda Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam : Baransiapa yang mengtakan ucapan yang bukan aku ucapkan maka sesungguhnya dia telah menempah sebuah kerusi dalam neraka ".
Adalah lebih baik sekiranya seseorang yang telah selesai mengerjakan umrah buat pertama kalinya megerjakan pula umrah untuk arwah yang telah meninggal dunia. Selepas itu memperbanyakkan tawaf di Baitullah kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan kepada umat Islam agar mereka melaksanakan tawaf di Baitullah Ka’bah, sebagai rumah pertama yang dibinakan untuk manusia, di mana kaum muslimin berkumpul di tempat tersebut sebagai tanda berserah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Demikian besarnya peranan tawaf dalam amalan haji dan umrah, sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan amalan pertama yang dilakukan seorang yang menunaikan ibadah haji dan umrah ketika memasuki Masjidil Haram adalah tawaf. Demikian pula akhir amalan mereka diakhiri dengan Tawaf Wada’. Telah diriwayatkan dalam Al-Bukhari dan Muslim dari hadith `Aisyah radhiyallahu 'anha dia berkata:
“Sesungguhnya yang pertama Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memulai dengannya ketika datang adalah berwudhu kemudian tawaf.”
Ini juga menunjukkan bahwa tawaf di Ka’bah merupakan ibadah yang mulia dan ketaatan yang amat besar, amalan yang sangat dicintai Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sehingga seseorang tidak diperbolehkan melakukan tawaf di suatu tempat (selain Ka’bah) dengan maksud bertaqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: “Kaum muslimin telah bersepakat bahwa tidak disyariatkan tawaf kecuali di Al-Baitul Ma’mur (Ka’bah). Sehingga tidak boleh tawaf di batu besar Baitul Maqdis, tidak di kamar Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, tidak di kubah yang ada di bukit Arafah, dan tidak pula di tempat lainnya.” (Majmu’ Fatawa, 4/522)
Beliau rahimahullah juga berkata: “Di bumi ini, tidak ada sebuah tempat yang dibolehkan tawaf padanya seperti tawaf di Ka’bah. Barangsiapa berkeyakinan bahwa tawaf di tempat lainnya disyariatkan maka dia lebih jahat dari orang yang meyakini bolehnya solat menghadap selain Ka’bah. Sebab Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam tatkala berhijrah dari Makkah ke Madinah, beliau solat memimpin kaum muslimin selama 18 bulan menghadap ke Baitul Maqdis, yang menjadi kiblat kaum muslimin selama kurun waktu tersebut. Lalu Allah Subhanahu wa Ta'ala pindahkan kiblat ke arah Ka’bah dan Allah Subhanahu wa Ta'ala turunkan Al-Qur`an tentang hal tersebut, sebagaimana yang disebutkan dalam Surat Al-Baqarah. Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersama kaum muslimin solat menghadap ke Ka’bah yang telah menjadi kiblat, dan itu adalah kiblat Ibrahim dan para nabi selainnya. Maka barangsiapa yang menjadikan sakhrah (batu besar di Baitul Maqdis) pada hari ini sebagai kiblat yang dia solat menghadap ke arahnya, maka dia kafir murtad dan diminta bertaubat. Jika tidak mahu maka dia dibunuh. Padahal dahulu batu itu berstatus sebagai kiblat. (Al-Fatawa, 27/10-11)
KESIMPULANNYA :
Tidaklah menjadi kesalahan kita melakukan umrah yang sunat untuk kali yang kedua , sekiranya kita mempunyai wang untuk mengerjakan haji tetapi jika dengan sebab kita mengerjakan umrah maka kita tidak mempunyai wang untuk mengerjakan haji maka itu adalah salah dan mungkin jadi haram..
Walaubagaimanapun sekiranya kita nak kerjakan umrah sunat tetapi kalau ada jiran atau saudara mara kita memerlukan kewangan maka lebeh baik kita bantu mereka kerana itu keperluan yang lebeh mendesak . Dalam pada itu kalau kita nak juga pergi melancung ke tempat lain maka adalah lebeh baik kita mengerjakan `umrah.
Sekian semoga bermanfaat. WALLAAHU `AA`LAM. Semoga kita semua sentiasa dibimbing, diberkati, dirahmat dan di lindungi ALLAH dari segala musibah.Aamin Yaa Rabbal `aa lamin. Wassalaamu `alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.
Saudaramu sesama Islam
naasiha@yahoo.com

No comments:

Post a Comment