Sebagai asas yang paling utama mendasari ugama islam, ilmu akan memimpin dan memandu manusia dalam pembinaan peribadi mukmin yang kamil.
Thursday, October 4, 2012
Masalah Bid’ah
Bid’ah akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam menghadapi musuh-musuh mereka yang semakin hebat dan semakin licik mengatur serangan. Melakukan bid’ah sememangnya suatu kesalahan atau dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid’ah sahaja satu-satunya penyakit yang bakal merosakkan umat Islam dan kekuatan mereka. Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifaq, munkar, dosa dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali oleh Allah di dalam al-Quran (malah juga as-Sunnah) berbanding dengan bid’ah yang disebut dalam beberapa hadis sahaja.
Malah dewasa ini munkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat kita, namun terdapat sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan persoalan bid’ah dalam hal-hal furu’.
Para ulamak sepakat bahawa istilah bid’ah mengikut Syarak hanya berlaku dalam masalah agama. Secara khususnya ia merangkumi tiga persoalan;
1. Aqidah
2. Ibadah
3. Halal dan haram
Begitu juga, mereka mensepakati bahawa perkara baru dalam agama yang direka-reka tanpa mempunyai sebarang asas atau asal-usul dari Syarak (sama ada dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak atau sebarang bentuk pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid’ah yang sesat. Ia dinamakan sebagai bid’ah haqiqiyah yang disepakati ulamak bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah;
1. Dalam masalah aqidah; bid’ah Muktazilah, Jabariyah, Qadariah. Pada hari ini dapat kita masukkan dalam bid’ah jenis ini; Islam liberal, Sekular, Sosialis dan sebagainya.
2. Dalam masalah ibadah; memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar kepada selain Allah.
3. Dalam masalah halal-haram; menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.
Di sana terdapat bentuk bid’ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu bid’ah yang dinamakan sebagai bid’ah idhafiyyah. Bid’ah Idhafiyyah ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah yang bermaksud sandaran/tambahan. Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah idhafiyah ini ialah;
1. Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).
2. Bersalaman selepas solat fardhu.
3. Membaca tahlil beramai-ramai.
4. Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.
5. Tambahan Saidina dalam selawat.
6. Membaca Yaasin malam jumaat.
7. Berpuasa nisfu Syaban
8. Himpunan maksurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.
Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan;[11] Umrah disini
Pertama; Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa membahagikannnya kepada bid’ah hasanah dan bid’ah saiyyiah atau mazmumah. Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini. Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga tergolong dalam bid’ah yang diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah kaifiyat dan cara mengamalkan juga perlu ada dalil.
Kedua; Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah saiyyiah. Bid’ah hasanah ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil Syarak. Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan dalil-dalil Syarak. Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm, Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan sebagainya. Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh dinamakan bid’ah yang sesat jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak bertentangan dengan Syarak. Kecualilah jika terdapat dalil yang menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan dengan kaifiyat tertentu, maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima waktu dan sebagainya.
Berkata Imam Syafi’ie; “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis;
Pertama; Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah bid’ah yang sesat.
Kedua; Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun yang mempertikainya, maka ia adalah perkara baru yang tidak tercela.
Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang dilakukan berjamaah di belakang seorang imam); “Sebaik-baik bid’ah ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah dilakukan sebelumnya…”.[12]
Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu yang mempunyai dalil yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”.[13] Umrah disini
Dalam apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid’ah idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan sesama mereka. Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah dari menyebukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada penyudahnya. Hal tersebut telah diperingatkan oleh Syeikh Hasan al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah Usul al-‘Isyrinnya;
“Setiap bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya semata-mata dipandang elok oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi. Namun untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar”. (Usul ke 11)
“Bid’ah Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak merupakan khilaf fiqh di mana setiap ulamak terdapat pandangannya tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran berdasarkan dalil dan bukti”. (Usul ke 12).
Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak harus kita menghukum suatu amalan sebagai bih’ah yang diharamkan kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa bahawa ia adalah bid’ah. Adapun jika mereka berikhtilaf dalam membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah luas (yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam. Adapun bagi orang yang mengetahui jalan-jalan dalil, maka perkara tersebut baginya lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun tidak ada hak baginya untuk berkeras mengingkari orang yang mengikuti imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah seumpama itu…”.[14]
Umrah disini
*** والله أعلم بالصواب***
Akhukum,
Us. Ahmad Adnan Fadzil,
Pusat Bimbingan Wawasan Ummah,
[11] Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, hlm. 123.
[12] Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, jil. 3, hlm. 21.
[13] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (dinaqalkan dari kitab Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 361).
[14] Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 341-342
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment